Oleh pada 22 Mar 2020 kategori

Dalam dunia fiksyen, salah satu visi yang kerap kali dijadikan latar belakang kepada penghasilan karya, adalah bagaimana rupa dunia selepas masyarakat menghadapi kesan pandemik.

Syukurlah setakat ini kita pada zaman sekarang belum pernah mengalami pandemik wabak yang benar-benar mampu mengakibatkan apa yang diimaginasikan berlaku. Walaupun demikian, fantasi-fantasi ini tetap tidak dapat dielak - memang benar boleh jadi kenyataan sekiranya wabak gagal dibendung, apatah lagi dalam situasi sekarang di mana mudah untuk kita merentas negara/negeri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu medium paling berkesan dalam membawakan kisah manusia hidup selepas mengharungi pandemik panjang, adalah permainan video. Bersifat interaktif, permainan video mampu membolehkan kita menjalani sendiri fantasi yang cuba dibawakan secara maya. Berikut adalah lima judul permainan video yang menjadikan kehidupan selepas pandemik, sebagai topik utama.

1. Days Gone

days gone sony pandemik

Salah satu judul yang pada awalnya diberikan liputan hangat, 'Days Gone' yang terbit pada April 2019 diterima baik tetapi tidak lari daripada kritikan, kerana disifatkan tiada inovasi. Bagaimanapun, penceritaannya dipuji kerana memaparkan kisah hidup manusia yang terus cuba bertahan walaupun dunia di sekeliling mereka sudah musnah - sehingga memerlukan permulaan baru.

'Days Gone' bermula 2 tahun selepas pandemik global membunuh majoriti manusia. Individu yang dijangkiti bertukar menjadi makhluk yang hilang kawalan diri akibat perubahan virus yang menukarkan sifat mereka menjadi ganas. Kelompok-kelompok individu yang terselamat daripada jangkitan, memencilkan diri dek takut dengan wabak yang melanda serta serangan 'zombi-zombi manusia' yang berkeliaran merata-rata.

Dalam judul ini, virus yang menyebabkan perubahan pada manusia dikenali sebagai 'Hooligan Virus', hasil kajian sepasukan penyelidik di Oregon. Selepas cubaan mendedahkan rahsia sebenar penyelidikan itu menyebabkan jangkitan pertama, virus itu disebarkan bermula daripada pekerja-pekerja di makmal penyelidikan itu sebelum mereka pulang - menjangkitkan lebih ramai orang di sekeliling mereka.

2. Left 4 Dead

hospital left 4 dead

Siapa masih bermain judul kegemaran penulis ini pada tahun 2020? Sangat seronok dimainkan dalam kumpulan empat orang, 'Left 4 Dead' merupakan antara judul berbilang pemain paling mahsyur pada era kemuncaknya.

Kisah dalam judul ini bermula selepas usaha kerajaan Amerika Syarikat menutup kebocoran virus yang dikenali dengan nama 'Green Flu' dengan mengatakannya hanya sebagai influenza biasa, menyebabkan jangkitan kepada orang ramai. 'Green flu' dikatakan terhasil daripada jangkitan virus yang dibentuk berasaskan kepada virus sama penyebab penyakit anjing gila.

Setiap watak yang boleh dipilih oleh pemain merupakan individu-individu yang bersifat asymptomatic atau tiada simptom, walaupun mereka sebenarnya turut dijangkiti virus tersebut; yang mampu mengubah manusia. Jalan cerita Left 4 Dead ringkas - 4 individu yang selamat berusaha menggunakan apa saja untuk menyelamatkan diri mereka, kerana bagi pihak kerajaan - mereka sebenarnya sudah mati.

3. DayZ

dayz prison island

Salah satu judul yang cukup popular di kalangan peminat permainan video berorientasikan keperluan untuk terus hidup, 'DayZ' memberikan pemain ruang sebesar 225 km persegi yang akan menjadi lokasi di mana pemain perlu bertahan. Pulau itu yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Republik Chernarus kini kosong, hanya dihuni penduduk asal pulau itu yang dijangkiti serta pemain-pemain lain.

Walau ulasan yang diterima oleh judul ini kurang memberangsangkan, komuniti disebalik judul ini yang bermula hanya sebagai projek peribadi penciptanya mencapai jualan yang baik. Ini kerana pada tahun penerbitannya, tidak banyak judul lain yang memberikan senario serupa kepada pemain - menyebabkan judul 'DayZ' menjadi antara judul paling popular.

Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang kisah bagaimana pulau tersebut menjadi lokasi di mana manusia perlu terus bertahan, melainkan beberapa petunjuk rambang yang ada. Oleh kerana ketiadaan matlamat yang jelas serta boleh dikatakan tiada penamat, banyak pemain mengkritik judul ini kerana gagal memberikan noktah sebenar pada rekaan mereka.

4. Resident Evil

raccoon city resident evil

Francais gergasi yang telah diterbitkan dalam terlalu banyak medium, melibatkan permainan video, filem, komik, siri animasi malahan novel, 'Resident Evil' bermula dengan judul pertama yang terbit pada tahun 1996. Sekiranya anda mahu tahu bagaimana kisahnya, maaflah - terlalu panjang untuk kami tulis.

Jadi kami mulakan dengan judul pertama siri ini yang mengisahkan tentang dua orang anggota polis, ditugaskan untuk menyiasat sebuah rumah agam di mana beberapa orang polis telah menghilangkan diri. Selepas mereka tiba di rumah itu, didapati anjing serta manusia yang ada telah menjalani mutasi disebabkan oleh jangkitan wabak.

Tanpa disangka majoriti penghuni rumah agama itu telah pun dijangkiti sejenis virus yang hanya dikenali sebagai 'T-Virus' atau 'Tyrant virus', dibangunkan untuk tujuan pembangunan senjata biologi. Selepas insiden di rumah agam itu berakhir, virus itu gagal dikawal penularannya menyebabkan jangkitan mula merebak dan pandemik bermula.

5. The Last of Us

the last of us sony ps4

Tidak banyak judul permainan video yang mampu membuatkan penulis mengalirkan air mata. 'The Last of Us' adalah salah satu yang berjaya. Sukar untuk dikategorikan judul ini kerana genrenya tampak sangat berjaya menggabungkan karya sinematik dan permainan video dengan sangat berkesan. Ini kerana skrip serta jalan cerita judul ini diolah begitu baik - jauh lebih baik berbanding banyak filem yang ada.

Mengisahkan tentang seorang lelaki pertengahan umur yang ditugaskan untuk menghantar seorang remaja wanita ke sebuah pusat kawalan, tanpa diceritakan sebabnya. Amerika Syarikat pada ketika itu telah runtuh, disebabkan oleh pandemik wabak cordyceps yang melanda - menyebabkan tamadun manusia tiada jalan lain, melainkan berusaha menyelamatkan diri.

Sepanjang perjalanan jauh mereka berdua, lelaki bernama Joel itu mula mempelajari sebab kenapa dia perlu menghantar gadis bernama Ellie itu yang akhirnya memaksa dia membuat pilihan yang sangat sukar; sama ada mahu menyelamatkan seluruh tamadun manusia atau kembali merasai nikmat menjadi seorang ayah.

Sesuatu yang menakutkan berkenaan virus dalam judul ini, adalah kerana virus ini benar-benar wujud - tetapi buat masa sekarang hanya menjangkiti serangga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)