janji dicapati syarikat game

Peminat permainan video di seluruh dunia sudah diketahui sangat teruja dengan visi masa depan evolusi permainan video yang dirancang.

Bagaimanapun, tidak semua perancangan akan berhasil walaupun pada awalnya pengeluar tampak sangat yakin akan berjaya memenuhi visi mereka. Kegagalan itu boleh berpunca daripada teknologi yang lambat dibangunkan, kekurangan peruntukan atau mungkin juga pengeluar sendiri tidak faham had sebenar keupayaan mereka.

Janji-janji yang bersifat mega ini memang mampu menarik minat orang ramai untuk sama mengikuti perkembangannya, tetapi manusia memang boleh berjanji. Berikut adalah lima janji pengeluar permainan video yang akhirnya jadi 'janji dicapati.'

1. Project Milo

project milo yang tak berhasil

Ketika pembentangannya, Project Milo merupakan satu demo yang sangat-sangat-sangat mengagumkan. Tengok penulis guna tiga kali sangat tu. Ini kerana ketika itu apa yang dipersembahkan, merupakan sesuatu yang belum pernah ada dalam industri permainan video.

Gabungan watak 3 dimensi yang mampu berkomunikasi dengan pemain, berinteraksi, memahami arahan dan bertutur dengan lancar membuatkan ramai peminat permainan video nampak 'inilah masa depan videogame!' Gabungan perisian dan peranti Project Natal yang dijenamakan semula sebagai Kinect ciptaan Microsoft, diramalkan mampu merealisasikan visi yang cuba dicapai.

Bagaimanapun, setelah persembahan mengagumkan pada tahun 2010, tidak ada sebarang khabar berita daripada pengeluar. Microsoft akhirnya menghentikan sokongan pada peranti Kinect dan 'Project Milo' ditamatkan pembangunannya. Punah impian orang ramai mahu berinteraksi dengan sebuah watak realistik yang mampu berfikir serta berkomunikasi dengan kita.

2. Emotion Engine

emotion engine pemasaran power sony

Salah satu gimik paling diingati sehingga kini adalah bagaimana syarikat Sony dari Jepun menjanjikan sesuatu yang sangat mustahil untuk dicapai pada era keluaran Sony Playstation 2 (PS2). Dengan menamakan prosesor Playstation 2 sebagai 'Emotion Engine', Sony menjual PS2 sebagai sebuah mesin yang bukan sahaja mampu memproses grafik 128 bit, malahan mampu mencipta sistem kepintaran yang hidup dan mampu meniru tabiat manusia.

Sony menyebut prosesor Emotion Engine berkuasa untuk mencipta algoritma pergerakan dan menjanjikan setiap pergerakan serta reaksi lawan yang realistik serta mirip dengan dunia sebenar. Bagaimanapun, janji yang disebutkan Sony tidak kesampaian. Tidak ada apa-apa yang benar-benar revolusi tentang konsol PS2 dari segi kemampuannya untuk mencipta tingkah laku watak. Amat jelas semua itu hanyalah strategi pemasaran Sony.

Walaupun demikian, ramai peminat tetap memilih PS2 sebagai konsol mereka.  Dibantu dengan status pemain DVD paling murah dalam pasaran ketika itu, PS2 menjadi konsol paling laris dalam sejarah dunia; namun janji Emotion Engine tetap akan diingati sampai bila-bila.

3. Wii Vitality Sensor

wii vitality sensor janji kosong palsu capati

Tidak diketahui kenapa syarikat Nintendo tanpa sebarang sebab, mengumumkan sebuah peranti baru yang mereka bangunkan untuk konsol Nintendo Wii. Apa perantinya?

Sebuah alat pengesan kesihatan badan, yang perlu dipakaikan ke jari. Diumumkan pada tahun 2009, tidak banyak yang diketahui apa sebenarnya tujuan utama peranti itu dibangunkan. Ada yang berpendapat sensor itu akan digunakan untuk mengukur kadar jantung pemain semasa bermain bagi membolehkan mereka bertenang.

Ada juga yang berpendapat sebaliknya - peranti itu akan digunakan untuk mempercepatkan lagi kadar jantung pemain menggunakan perisian. Janji Nintendo untuk menunjukkan bagaimana peranti itu akan digunakan melalui perisian khusus pada 2010 tidak berhasil.

Malangnya pada tahun 2013, Nintendo mengumumkan pembangunan untuk peranti itu ditamatkan kerana masalah teknikal yang tidak dapat diatasi serta kegunaan yang terlalu terhad. Sehingga kini Wii Vitality Sensor menjadi antara janji paling misteri kerana fungsinya yang lebih sebagai alat kesihatan.

4. Playstation 3

playstation 3 overhype janji

Berikutan kejayaan mengungguli industri permainan video melalui Playstation 2, Sony berasa terlalu yakin untuk mengulangi pencapaian mereka melalui penggantinya, Sony Playstation 3 (PS3). Diumumkan pada tahun 2005 dan dilancarkan pada tahun 2006, konsol ini menjadi bukti ada masanya syarikat gergasi seperti Sony mempunyai ego terlalu besar untuk mendengar maklumbalas pengguna.

Tidak ada lagi gimik Emotion Engine, Sony kembali dengan prosesor yang mereka gelarkan sebagai 'Cell', yang mampu melakukan kalkulasi-kalkulasi kompleks serta dikatakan 43 kali ganda lebih berkemampuan berbanding PS2.

Dilancarkan dengan harga $599.99 (RM2505 mengikut tukaran semasa) konsol Sony dikritik terlalu mahal serta sangat sukar untuk dibangunkan perisiannya. Revisi-revisi PS3 seterusnya membuang salah satu fungsi paling penting pada pengguna, iaitu keupayaan memainkan semula perisian PS2 menjadikan reaksi peminat semakin negatif.

Akhirnya, Sony gagal mengulangi pencapaian mereka terpaksa berpuas hati sekadar berada di belakang Nintendo dan Microsoft dari segi jualan.

5. No Man's Sky

no mans sky janji kosong 0engeluar video game

Dijadikan salah satu perisian utama dalam persembahan syarikat Sony pada tahun 2015, sambutan yang diterima oleh perisian video 'No Man's Sky' sangat mengagumkan.

Janji pengeluar mereka iaitu Hello Games bahawa 'No Man's Sky' akan mampu membina alam lain secara virtual, lengkap dengan sistem suria masing-masing serta berbillion planet yang mempunyai sistem flora dan fauna sendiri, mengujakan peminat-peminat di serata dunia.

Teknologi procedural yang dibangunkan dikatakan mampu mencipta planet-planet yang boleh dilawati secara rawak, memberikan peminat permainan video impian bagi menerokai alam secara virtual yang belum pernah ada sebelum ini. Hello Games juga berkata kemungkinan pemain untuk menemui pemain lain dalam alam tersebut adalah sangat tipis - kerana galaksi yang ada terlalu besar.

Berikutan janji-janji yang disebutkan, peminat memang menantikan perisian ini dilancarkan. Pada 2016, selepas No Man's Sky dilancar, kebanyakan janji-janji yang disebut Hello Games tidak kelihatan. Jutaan planet yang ada tidak banyak perbezaan antara satu sama lain. Fauna dan flora yang ada juga kelihatan tidak ada bezanya selepas pemain menjelajah beberapa planet. Kontroversi mula melanda Hello Games dengan kritikan peminat mengkritik janji yang nyata tidak ditunaikan.

Nasib baiklah walaupun berdepan kritikan dari pelbagai pihak - Hello Games meneruskan usaha memperbaiki perisian mereka melalui beberapa versi penambahbaikan yang ditawarkan secara percuma.

Kini selepas 2 tahun dilancarkan, walaupun No Man's Sky semakin hampir menyerupai janji-janji mega mereka pada 2015 - parut janji-janji itu tetap dikenang peminat-peminat mereka.



Hakcipta iluminasi.com (2017)