Tren mengambil karya-karya lama untuk diberikan sentuhan baru, bukanlah sesuatu yang jarang berlaku dalam mana-mana industri kreatif. Filem kerap dikeluarkan semula menggunakan teknologi baru agar dapat disampaikan kepada penonton generasi baru.

Penerbit muzik juga kerap kali menerbitkan semula album-album lama bersifat klasik yang dicerahkan nadanya atau ditingkatkan lagi kualiti audionya. Permainan video juga nampaknya sedang melalui fasa serupa di mana pengeluar-pengeluar kini lebih berani memandang ke belakang untuk membangunkan semula siri-siri klasik yang menjadi pujaan jutaan peminat di seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh kerana jumlah judul yang terlalu banyak serta kos yang diperlukan sangat tinggi - sudah pastilah bukan semua judul layak diberikan nafas baru. Walau demikian, ada lima judul permainan video yang penulis rasakan sangat layak untuk dipersembahkan semula pada generasi muda pemain permainan video.

1. Vagrant Story (PS1)

cd vagrant story

Konsol Sony Playstation yang pertama menjadi tuan rumah kepada beratus siri RPG Jepun, namun satu yang agak mendahului zaman adalah 'Vagrant Story' keluaran Squaresoft (ketika itu). Mempunyai tema yang matang membawakan elemen politik dalam penceritaanya, malangnya grafik Vagrant Story seandainya dilihat sekarang sedikit menyakitkan mata - walaupun pada zamannya, kualiti grafiknya dikatakan antara yang terbaik.

agrant story playstation screenshot

Dengan teknologi yang ada sekarang sudah mampu menghasilkan adegan sinematik yang realistik dalam permainan video - sudah tiba masanya kisah Vagrant Story diperbaharui agar visi sebenar penerbitnya ketika itu, dapat direalisasikan dengan lebih sempurna.

2. Chrono Trigger (Super Nintendo)

kotak chrono trigger snes

Penulis tidak sempat memainkan Chrono Trigger semasa zamannya dan terpaksa bermain permainan klasik ini menggunakan kaedah lain, bagi memahami kenapa judul ini sangat disanjung sebagai salah satu permainan video terbaik sehingga sekarang. 'Chrono Trigger' memaparkan jalan cerita panjang merentasi masa serta rekaan watak oleh pelukis komik Dragon Ball, Akira Toriyama.

chrono trigger

Menjadi medan untuk penerbitnya mencuba beberapa perubahan baru, siri ini tetap segar dimainkan sekarang walaupun sudah berpuluh tahun dikeluarkan berikutan kualiti penulisan serta jalan ceritanya yang unik.

3. Onimusha (Playstation 2)

onimusha takeshi kaneshiro

Penulis kurang faham kenapa penerbit permainan video Capcom enggan meneruskan siri ini dalam era konsol zaman moden. Menjadi antara judul blockbuster terbesar dunia satu masa dulu, Onimusha mendapat pujian ramai pihak kerana keunikan gabungan elemen feudal Jepun dan tema seram yang diperkenalkan sangat menjadi.

onimusha warlords playstation

Onimusha juga memulakan trend mengambil wajah pelakon terkenal untuk digunakan sebagai asas watak utama, dengan pelakon terkenal Jepun, Takeshi Kaneshiro terpilih untuk memegang watak utama sebelum disertai beberapa orang lagi nama besar seperti Jean Reno, pelakon lejen Perancis.

4. Metal Slug (Neo Geo)

metal slug neo geo

Tidak ramai mampu memiliki konsol Neo Geo satu masa dulu, berikutan harganya yang sangat melampau tak tercapai dek akal. Menjadi rumah kepada banyak permainan hebat, ramai peminat permainan video terpaksa berpuas hati mencuba nasib mereka bermain 'Metal Slug' di arked yang ada.

metal slug grafik

'Metal Slug' adalah satu judul permainan yang sukar namun sangat seronok untuk dimainkan berdua. Animasi yang cantik serta rekaan watak kartun yang diperkenalkan juga memperkuatkan lagi identiti judul ini, menjadikannya antara permainan video tembak-menembak paling terkenal di dunia. Walau demikian, sehingga kini tidak ada nampak sebarang usaha mahu mengangkat kembali judul popular ini dalam resolusi tinggi.

5. Typing of the Dead (Dreamcast)

kulit typing of the dead

Salah satu permainan video paling unik pernah dihasilkan, 'Typing of the Dead' merupakan sebuah spin-off daripada siri 'House of the Dead.' Bezanya, kisah yang dipersembahkan dalam 'Typing of the Dead' memaparkan dua ejen kerajaan yang perlu menentang zombi serta makhluk ghaib menggunakan papan kekunci.

the typing of the dead screenshot

Untuk mengalahkan makhluk yang menyerang, pemain perlu menaip perkataan yang dipaparkan sepantas mungkin, mengikut saiz huruf, simbol dan jarak yang dipaparkan. Selain daripada unik, siri ini juga turut sama membantu ketepatan seseorang menaip serta dapat melatih kita menaip dengan lebih pantas.

Berkat permainan ini, artikel ini siap ditulis hanya dalam masa 5 minit. Laju kan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)