Setiap kali berlangsungnya pelancaran perkakasan permainan video terbaru, pasti ramai peminat permainan video akan ternanti-nanti apakah fungsi terbaru yang ditawarkan. 

Bagaimanapun sejarah sudah membuktikan, industri permainan video khasnya penghasilan konsol permainan video mudah alih bukanlah satu cabang yang mudah diceburi sesiapa saja pun. Banyak syarikat gergasi yang telah mencuba tetap berdepan kegagalan yang mengerikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika ini syarikat Jepun iaitu Nintendo terus bergelar satu-satunya jenama yang konsisten dalam penghasilan konsol mudah alih, dengan pencabar terbaru mereka iaitu Steam Deck hasil keluaran syarikat Steam cuba memberikan saingan segar.

Adakah Steam Deck akan kekal relevan atau hanya akan menjadi catatan sejarah, sama seperti lima konsol mudah alih yang kami senaraikan di bawah?

1. Nokia N-Gage

phone game nokia ngage dulu dulu

Kita mulakan dengan antara perkakasan eksperimen paling membingungkan dalam sejarah - iaitu Nokia N-Gage.

Dibangunkan syarikat gergasi (ketika itu) Nokia dari Finland sebagai jawapan kepada penguasaan Nintendo, N-Gage adalah peranti yang diharapkan dapat menyatukan dua perkakas iaitu telefon dan konsol video, ke dalam satu unit. Bagaimanapun rekaannya yang lemah menyukarkan penerimaan pembeli. 

Sistem kawalan peranti ini lemah. Skrinnya mempunyai saiz dan resolusi kurang sesuai. Grafiknya pula walaupun boleh tahan untuk peranti era tersebut, sukar diterima ekoran bentuk skrinnya yang menegak. Sebagai sebuah telefon, N-Gage pelik - kerana perlu dipegang melintang ketika melakukan panggilan.

n gage cara bercakap

Kena pegang begini. Ya, begini. Kami tak tipu.

Dilancarkan pada tahun 2003, dianggarkan hanya 1 juta unit N-Gage terjual berbanding sasaran awal Nokia 6 juta unit untuk tempoh satu tahun.

Terdapat 58 judul permainan berjaya dikeluarkan sepanjang unit ini ditawarkan sehingga tahun 2007, sebelum N-Gage mula lenyap digantikan dengan telefon-telefon pintar lebih moden yang mempunyai kemampuan lebih baik.

2. Sega Genesis Nomad

sega genesis nomad

Penulis tak pernah nampak unit ini di mana-mana di Malaysia, mungkin disebabkan konsol mudah alih ini hanya dipasarkan di Amerika Syarikat. Kita di Malaysia mungkin lebih mengenali adik-beradiknya, Sega Game Gear yang terkenal gemar meratah bateri.

Direka bentuk sebagai konsol mudah alih yang mampu memainkan judul sama seperti ibunya Sega Genesis, Genesis Nomad mula dijual pada tahun 1995.

Menggunakan paparan 3.25 inci berwarna serta memerlukan 6 biji bateri bersaiz AA yang hanya bertahan sekitar 2 jam, saiz Nomad yang terlalu besar dikritik 'tidak mudah alih.' Terlalu banyak kelemahan terdapat pada konsol tersebut, dikatakan membuatkannya tidak berbaloi untuk dimiliki.

Sega bertindak menurunkan harga konsol itu kepada hanya USD80 daripada harga asal USD180, namun sambutan yang diterima tetap serupa. Hanya 1 juta unit konsol ini terjual walaupun mempunyai kemampuan memainkan kesemua judul dalam perpustakaan Sega Genesis sebenar.

3. Nintendo Virtual Boy

virtual boy gagal teruk

Walaupun mempunyai reputasi sebagai sebuah syarikat yang jarang silap dalam percaturan, Nintendo Virtual Boy merupakan antara langkah kiri yang tidak sengaja dilakukan syarikat Jepun, Nintendo.

Harga jualan yang terlalu tinggi iaitu USD180 menjadi punca utama. Keengganan Nintendo membuka akses peranti itu kepada syarikat lain, menoktahkan nasib Virtual Boy sejak mula mengakibatkan hanya 22 judul dikeluarkan untuk peranti unik ini. 

Virtual Boy cuba memberikan impak realiti maya kepada penggunannya pada dekad di mana idea itu masih baru bermula, tetapi 'keseronokan versi baru' itu datang dengan pelbagai aspek buruknya.

Kanak-kanak di bawah usia 7 tahun dinasihatkan untuk tidak menggunakannya. Pemainnya pula dinasihatkan agar berhati-hati dengan serangan sawan, pening dan muntah yang boleh berlaku, hasil rangsangan grafiknya.

Semua reputasi buruk ini mula mengakibatkan ibu bapa enggan mendapatkannya - walaupun pada satu ketika, harga jualan rasmi Virtual Boy adalah USD20.

4. Atari Lynx

atari lynx konsol mudah alih gagal

Berbeza dengan sekarang, satu ketika dulu nama Atari merupakan nama pujaan peminat permainan video.

Kemampuan itu membolehkan Atari menjadi pengeluar pertama dunia, memasarkan konsol mudah alih dengan skrin berwarna pertama - dinamakan sebagai Atari Lynx.

Berikutan kekuatan teknologi yang ada dalam setiap unit Lynx, Atari tidak takut untuk memperbodohkan pencabar terkuatnya ketika itu Nintendo Gameboy yang hanya mempunyai skrin satu warna monokrom - sebagai perkakasan lapuk.

Pemasaran agresif ini walaupun berjaya pada awalnya didokong oleh kemampuan peranti yang jelas jauh lebih moden - gagal menyaingi nilai yang ditawarkan Gameboy dalam jangka masa panjang. 

Dilancarkan pada tahun 1989, sebanyak 3 juta Atari Lynx terjual sehingga pengeluarannya ditamatkan pada tahun 1995. Di atas kertas, nampak baik.

Tetapi Nintendo Gameboy yang primitif serta kuno itu, dilancarkan pada tahun sama dengan pesaingnya membina legasi jenama itu menerusi dua model baru yang hanya ditamatkan pengeluaran pada tahun 2003 dengan angka jualan 56 juta keseluruhan bagi unit asalnya.

5. Gizmondo

gizmondo konsol permainan video teruk

Nama 'Gizmondo' mungkin kurang dikenali di kalangan masyarakat Malaysia, melainkan mereka benar-benar fanatik mengikuti industri permainan video dunia. Dinobatkan sebagai 'konsol permainan video paling teruk jualannya di dunia', peranti ini sejak mula berdepan masalah.

Dibangunkan oleh sebuah firma Sweden bernama Tiger Telematics yang mahu mencabar dominasi Nintendo dalam pasaran, peranti Gizmondo dibangunkan bukan saja mampu memainkan judul permainan, malahan mampu menjadi komputer mini, peranti GPS serta kamera. Untuk era 2004, itu sesuatu yang menakjubkanlah.

Keyakinan mereka kepada produk mereka cukup tinggi. Tiger Telematics tidak takut untuk mempromosikan Gizmondo secara besar-besaran, menggunakan selebriti seperti Sting, Pharrell William, Jamiroquai dan ramai lagi sebagai duta produk - sebelum Gizmondo dilancarkan. 

Sehinggalah latar belakang pengasas syarikat itu iaitu Stefan Eriksson kepada kumpulan mafia dibongkarkan. Tetapi itu tidak menghalang Gizmondo dilancarkan pada tahun 2005, di United Kingdom, Sweden dan Amerika Syarikat. Dengan harga jualan USD400, tidak ramai mampu membelinya.

Sekitar tahun 2006, wartawan berjaya membongkar tahap kewangan sebenar Tiger Telematics yang tenat kerana penyalahgunaan dana. Taktik pemasaran agresif, penyewaan kedai jualan berkos tinggi serta pembaziran wang syarikat oleh pengasasnya menyebabkan Tiger Telematics menanggung kerugian jutaan ringgit.

Pada tahun sama, syarikat itu diisytiharkan bankrap masih menanggung hutang sebanyak USD300 juta. Majoriti kerugian itu berpunca daripada peruntukan gaji pengarah yang terlalu tinggi serta kos sewa kereta untuk kegunaan eksektif tertinggi syarikat yang tidak terkawal.

Nilai jualan Gizmondo dilaporkan hanya menyumbang kepada USD1.4 juta keuntungan kasar syarikat, dengan anggaran 25,000 unit Gizmondo dihasilkan - tidak jelas berapa angka jualannya. Hanya 14 judul berjaya dilancarkan sepanjang Gizmondo ditawarkan kepada pelanggan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)