Oleh pada 20 Jul 2019 kategori

Masalah penyebaran wabak kerap kali kedengaran di seluruh dunia. Wabak besar seperti ebola, selesema burung, selesema babi serta bermacam lagi jenis wabak kerap kali dilaporkan, dengan negara kita juga tidak terkecuali merasai kesannya.

Membaca laporan-laporan berkenaan wabak penyakit ini, ada beberapa terma yang akan muncul melibatkan tiga terma berbeza tetapi hampir sama bunyinya - pandemik, endemik dan epidemik. Ketiga-tiga istilah yang ada diambil daripada istilah asal bahasa Inggeris (pandemic, endemic & epidemic) dan ditukarkan ejaannya kepada bahasa Melayu; dengan perubahan yang minima.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Istilah-istilah ini biasa disebut, tetapi jika anda diminta menerangkan apa perbezaan di antaranya - tahukah anda perbezaannya? Mari kita belajar tentang istilah ini serta beberapa kisah di belakangnya.

Apakah makna epidemik?

Epidemik (B. Melayu) atau 'epidemic' merupakan istilah yang merujuk kepada wabak yang menyerang sekumpulan manusia atau komuniti. Sekiranya kita rujuk kamus dewan, epidemik membawak makna penyakit berjangkit yang mudah merebak di kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama.

Perkataan asalnya datangnya daripada perkataan Greek 'epi'+'demos' dengan 'epi' bermakna 'kelompok tertentu' dan 'demos' bererti 'orang ramai, komuniti, kumpulan.'

'Epidemia' mula digunakan untuk merujuk kepada wabak dalam kelompok komuniti oleh orang Greek sebelum orang Perancis mengubah ejaannya kepada 'epidemique' yang menjadi asas kepada ejaannya sekarang - 'epidemic.' Istilah Inggeris ini mula digunakan pada tahun 1600 dan kekal sehingga kini.

Contoh wabak epidemik di negara kita : serangan virus nipah yang menyerang komuniti di daerah Kinta, Perak pada tahun 1998.

Endemik pula mewakili kategori wabak bagaimana?

Endemik pula merupakan istilah yang merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud disesuatu kawasan atau daerah tertentu, termasuklah dalam skop yang lebih besar seperti sebuah negara misalnya.

Sekiranya kita meneliti asal perkataan ini dalam bahasa Inggeris, 'endemic' merujuk kepada kumpulan orang asal atau orang 'native' yang duduk di sesuatu kawasan. Perkataan asalnya dalam bahasa Greek adalah 'in+demos' yang membawa makna 'kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat khas.'

Perkataan 'endemic' mula direkodkan pada tahun 1650 sebagai perkataan Inggeris dipinjam daripada evolusi perkataan asal 'indemos' yang ketika itu dieja sebagai 'endemos.'

Oleh kerana sifat wabak endemik sentiasa menjadi ancaman masyarakat tertentu, hanya wujud beberapa penyakit ketika ini yang dikategorikan sebagai kategori endemik. Wabak endemik paling popular adalah penyakit malaria yang sentiasa menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika.

Tiga negara dalam dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan juga Peru. Di Congo, mereka diancam penyakit demam kuning dan malaria, di Madagascar pula adalah wabak bubonik yang sangat berbahaya sementara Peru pula berdepan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi.

Pandemik - wabak paling digeruni

Istilah pandemik atau 'pandemic' merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar, tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata - mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Sesebuah pandemik bermula daripada wabak peringkat epidemik yang merebak terlalu luas sehingga tidak terkawal. Selain itu kita juga perlu memahami sekiranya sesuatu wabak itu berada pada peringkat endemik dan menyerang satu negara misalnya, tetapi berada dalam keadaan terkawal - wabak itu tidak akan dikategorikan sebagai satu pandemik. Endemik adalah wabak yang wujud dan terkawal, sementara pandemik pula merebak pantas tanpa dapat dikawal.

Asal-usul perkataan ini pula diambil daripada istilah Greek 'pan' yang bermaksud semua dan 'demos' yang bermakna orang, membawa maksud penuh 'semua orang.' Istilah Inggeris yang ada sekarang diambil daripada pinjaman istilah Latin 'pandemus' dengan pangkalnya digantikan dengan akhiran '-ic' pada tahun 1660.

Pasukan banteras wabak pada tahun 1980an

Oleh kerana menyerang dalam skop yang luas, wabak pandemik yang berlaku merupakan ancaman berisiko tinggi serta kerap kali diperkatakan, ekoran kesannya yang mampu membunuh ramai orang dalam masa yang singkat. Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Justine serta 'The Black Death' yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke 14.

Pada ketika ini, satu-satunya pandemik yang sedang berlaku adalah penyakit HIV/AIDS yang diramalkan mampu mengorbankan sehingga 100 juta orang pada tahun 2025 kelak. Sehingga kita menemui penawar kepada AIDS, pastikan anda amalkan cara hidup sihat ya!

Nak tahu apa beza HIV dan AIDS? Anda boleh rujuk artikel ini. Belajar juga tentang 7 wabak pandemik paling teruk dalam sejarah manusia kalau anda berminat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)