watak lgbt dalam permainan video

Watak-watak bersifat LGBT semakin lama semakin mendapat tempat dalam industri permainan video. Walaupun fenomena ini kelihatan masih baru bermula beberapa tahun kebelakangan ini, realitinya penggunaan watak-watak LGBT dalam permainan video sudah dimulakan sangat lama, cuma kita tidak menyedarinya.

Sedarkah anda kewujudan watak-watak transgender dalam permainan video kegemaran anda? Sukar sekali untuk menyedari perkara ini benar-benar berlaku, apatah lagi apabila pereka watak popular ini menyembunyikan perkara tersebut.

Berikut adalah lima watak permainan video popular yang membawa perwatakan berbeza dengan jantina asal watak imaginasi ciptaan pembikinnya.

1. Leo (siri Tekken)

leo tekken lgbt

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007 melalui siri Tekken 6, watak Leo sejak mula menimbulkan tanda tanya di kalangan permainan video tersebut. Ini kerana pada luarannya dia kelihatan seperti seorang lelaki, tetapi gaya pertarungannya kelihatan agak 'gemalai' berbanding biasa.

Hanya selepas empat tahun watak itu diperkenalkan, dalam salah satu adegan akhir yang dimainkan - barulah pemain mengetahui watak Leo yang menjadi ikutan ramai sebenarnya adalah seorang perempuan yang bernama Eleonore Kliesen. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau adalah seorang lesbian atau hanya perempuan yang gemar berpakaian lelaki.

2. Bridget (Guilty Gear)

bridget guilty gear lgbt

Dalam salah satu pembinaan latar belakang watak paling gila pernah dilakukan pembina permainan video Jepun, watak Bridget dalam siri Guilty Gear mungkin antara yang paling gila latar belakangnya. Dilahirkan sebagai seorang bayi lelaki bersama kembarnya, Bridget dibesarkan oleh sepasang suami isteri yang memilih untuk membesarkan dia sebagai seorang perempuan bagi melindungi anak mereka daripada dibunuh.

Bagi mana-mana peminat siri Guilty Gear pasti tidak menyedari kisah ini, kerana Bridget digambarkan sebagai seorang gadis yang sangat sopan, berpakaian seperti seorang biarawati lengkap dengan salib sebagai hiasan selendangnya dan agak gemar beraksi seksi - untuk seorang remaja lelaki.

3. Ellie (The Last of Us)

ellie lesbian the last of us

Peminat siri The Last of Us yang pertama pasti mengalirkan air mata selepas melalui pengalaman pertama Ellie dan Joel, ayah angkatnya meredah serangan zombi dan kumpulan penjahat dalam memastikan mereka terus hidup. Sekiranya anda belum pernah menonton video permainan ini, silakan. Jalan ceritanya jauh lebih hidup mirip dengan filem-filem yang berkualiti.

Bagaimanapun, keputusan untuk secara terang-terangan menjadikan watak Ellie yang kini sudah dewasa sebagai seorang wanita lesbian, mendapat reaksi berbeza peminat permainan video.

Ada yang mengkritik, ada yang memuji langkah berani ini. Ada juga yang mengatakan pengaruh siri The Last of Us pada industri permainan video bakal membuka lebih banyak penceritaan daripada perspektif sisi pandang LGBT, dalam merealisasikan impian aktivis LGBT membenarkan tabiat songsang mereka. Sama-samalah kita tunggu apa impaknya kelak pada peminat permainan video tahun 2019 nanti.

4. Poison (Final FIght, Street Fighter)

poison street fighter

Watak super seksi ini menjadi kegilaan ramai remaja lelaki satu masa dulu. Walaupun hanya merupakan watak sampingan dalam penampilan pertamanya, Poison mengejutkan ramai peminat kerana pakaiannya yang tidak berupa pakaian. Ini menyebabkan watak ini mendapat kritikan daripada golongan ibu bapa namun digemari remaja-remaja lelaki yang mengalami ketidak seimbangan hormon.

Walau demikian, desas-desus mengatakan watak tersebut asalnya direka sebagai seorang lelaki tidak pernah hilang. Hanya pada tahun 2012, selepas dijadikan objek nafsu ramai remaja - pihak pengeluar Capcom mengesahkan watak itu adalah seorang lelaki.

Namun kisah ini belum habis. Oleh kerana disebabkan wujudnya perbezaan penerimaan budaya di antara peminat Jepun dan Amerika Syarikat, pihak Capcom terpaksa menjelaskan watak Poison adalah seorang lelaki yang sudah menjalani pembedahan membuang alat kelamin, hanya dalam versi Amerika Syarikat. Sementara itu di Jepun, watak tersebut adalah watak seorang lelaki menyerupai wanita seksi yang belum melakukan pembedahan. Mengarut!

5. Tracer (Overwatch)

overwatch tracer lgbt

Salah satu watak paling popular di dunia ketika ini berikutan fenomena yang dicetuskan oleh permainan video hangat berjudul 'Overwatch,' watak Lena Oxton atau nama kodnya 'Tracer' hanya disahkan sebagai seorang lesbian, selepas salah satu komik bertemakan Overwatch menampilkan adegan Tracer dan pasangannya, Emily berciuman semasa sambutan Krismas.

tracer overwatch

Menurut jurucakap syarikat Blizzard, pengeluar permainan video 'Overwatch' - watak Tracer diberikan penghormatan untuk menjadi watak LGBT pertama secara rasmi bagi meraikan masyarakat zaman sekarang yang semakin berbilang jenis. Blizzard menjamin mereka akan terus menampilkan lebih banyak watak yang membawa banyak variasi jantina, agar konsep yang mereka perkenalkan lebih seiring dengan permintaan peminat permainan video generasi baru.


Apa yang penting, sekiranya generasi muda terdedah kepada watak-watak ini kelak dan merasa keliru - pastikan anda tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada mereka kenapa kekeliruan ini boleh berlaku dan usahakanlah, agar mereka terus berada di jalan yang lurus; tidak menyimpang-nyimpang hanya disebabkan pengaruh permainan video.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)