metal gear solid hideo kojima

Pada satu hari pertengahan tahun 1998 - di salah sebuah butik elektronik milik Sony bernama Sony Wings (ketika itu) terletak di dalam kompleks Suria KLCC, penulis bersama puluhan lagi pengunjung berkerumun di depan sebuah televisyen yang dipasangkan dengan satu unit Playstation pertama.

Kami semua menonton bagaimana pengunjung lain sedang mencuba demonstrasi permainan video paling hangat ketika itu - 'Metal Gear Solid.'

Publisiti yang diberikan kepada judul Metal Gear Solid ketika itu sangat meluas. Sebelum dilancarkan lagi, judul itu dikatakan bakal membawa sesuatu yang belum pernah dilihat dalam industri permainan video.

Tanpa sedar penulis yang ketika itu masih remaja bersama puluhan orang lain berlainan bangsa, agama dan usia bersorak menonton judul itu dimainkan. Kami juga khusyuk melihat adegan-adegan yang dipaparkan dalam filem itu, khasnya adegan di mana watak utama Solid Snake berjaya menyusup masuk ke dalam lif kemudian menanggalkan topeng muka yang dia pakai. Macam filem!

Apa yang kami saksikan secara tak langsung pada hari tersebut, sebenarnya telah mengubah bagaimana masyarakat dunia melihat permainan video sebagai satu bentuk media yang berbeza dan 'Metal Gear Solid' atau MGS yang memulakannya.

Teknologi era 8-bit dan 16-bit yang terhad

image 473

Sekiranya anda adalah individu yang sempat melalui era permainan video 8-bit dan 16-bit; lebih beruntung sempat merasai era 70-an dan 80-an di mana permainan video sedang dibangunkan -  kita pasti sedar keupayaan pembangunan teknologi ketika itu jauh berbeza berbanding sekarang.

Kebanyakan permainan video masih lagi menggunakan grafik 2D, ringkas animasi pergerakannya serta tidak berjaya menggabungkan elemen sinematik dengan berkesan - ekoran keterbatasan kuasa pemprosesan yang ada. Untuk merasai judul yang lebih mirip dengan filem, peminat perlu memiliki sebuah komputer yang mampu memproses grafik lebih berkuasa namun malangnya ketika itu, harganya pula terlampau tinggi berbeza dengan zaman sekarang.

Skrin komputer yang digunakan orang ramai ketika itu pun hanya bersaiz 15 inci sementara tablet zaman sekarang pun ada yang dah mencecah 10 ke 12 inci.

Kemunculan konsol Playstation pertama mengubah kualiti pemproses visual, membawa era grafik 3 dimensi yang memberikan ruang serta bentuk lebih pejal pada watak dan latar belakang; namun usaha untuk menggabungkan elemen sinematografi filem ke dalam permainan video masih berlaku dengan perlahan.

final fantasy vii psone

Judul 'Final Fantasy 7' keluaran Squaresoft berjaya mempopularkan keupayaan untuk menggunakan video pergerakan penuh sebagai elemen penting penceritaan dalam permainan video, namun video yang dipaparkan masih bersifat tidak interaktif.

Pengguna tidak berupaya mengawal apa yang mereka lihat dan hanya sekadar menjadi penonton semata-mata. Namun kejayaan judul tersebut membuktikaan penerimaan peminat kepada bentuk penceritaan yang lebih matang dalam permainan video; menunjukkan potensi yang ada dalam medium tersebut, untuk diperkembangkan.

Atas sebab itulah 'Metal Gear Solid' diberikan perhatian sejak mula diumumkan pada tahun 1995 oleh peminat permainan video. Ini kerana tajuk itu dikatakan mahu menggabungkan semua elemen yang terbaik media - sinematografi, lakonan, muzik, watak, penceritaan dan elemen permainan yang mampan dalam satu judul permainan video yang moden.

Kami yang berkerumun di Suria KLCC hari itu bersorak seronok melihat apa yang kami lihat, kerana itu adalah kali pertama penulis menyaksikan sendiri sesuatu yang belum pernah ada sebelum itu. Apa yang pasti, demonstrasi yang dilakukan menggunakan 'Metal Gear Solid' berbahasa Jepun itu walaupun tidak kami fahami dialognya - benar-benar mengubah bagaimana kami melihat 'videogame'.

Pengaruh Hideo Kojima

metal gear solid grafik 286

Bagi peminat permainan komputer, nama pengarah Jepun Hideo Kojima mungkin sudah mereka kenali berikutan kejayaan dua judul permainan video yang dilancarkan sebelum itu iaitu Snatcher' dan 'Policenauts.'

Terkenal sebagai tukang karang cerita yang handal ekoran dua judul itu, Kojima gemar memasukkan elemen penceritaan sains fiksyen yang berbelit-belit temanya serta teori falsafah sebagai tulang belakang jalan cerita tulisan beliau.

Kedua judul klasik itu mempunyai satu persamaan yang amat ketara di mana kedua-duanya cuba membawakan unsur-unsur sinematik yang terhad, penataan dialog yang kompleks serta lakonan drama yang ringkas hasil kekurangan teknologi ketika itu untuk menyampaikan jalan ceritanya.

policenauts snatcher

Berbeza dengan pengeluar lain ketika itu yang masih berpegang kepada dunia fantasi medieval, Kojima mengambil pendekatan berbeza mencedok dunia punk siber - menggabungkan falsafah teknologi pembangunan manusia serta dunia berteknologi tinggi sebagai latar belakang permainannya. Bagaimanapun, kedua-dua judul itu diakui sendiri oleh beliau berdepan kekangan teknologi, menggagalkan usaha Kojima mahu memenuhi visi yang besar kemungkinan dia sahaja nampak.

Peranti Sony Playstation pertama mampu memproses grafik 3 dimensi, memainkan semula dialog dalam bentuk audio sebenar serta sistem bunyi yang mempunyai kadar resolusi sama seperti cakera padat (ketika itu) memberikan Kojima yang ketika itu salah seorang penulis sains fiksyen terbaik permainan video, peluang pertama merealisasikan apa yang dihajatinya selama ini.

Bertentang mata kali pertama dengan 'grafik lawa'

solid snake bertemu meryl

Sekiranya anda membandingkan kualiti grafik 'Metal Gear Solid' dengan apa yang dapat kita lihat hari ini, sudah pastilah jelas jauh berbeza tarafnya. Namun di sebalik watak Solid Snake yang tidak mempunyai mata, mulut, hidung dan jari yang betul serta tekstur yang agak kabur visualnya - apa yang dipertontonkan Metal Gear Solid ketika itu merupakan sesuatu yang belum ada sebelum itu.

Metal Gear Solid adalah judul permainan video pertama yang dikatakan berjaya merapatkan jurang di antara permainan video dengan filem, dengan penghasilan grafik, audio dan skrip yang setaraf dengan sebuah filem sebenar. Berbeza dengan filem - kita sebagai pemain, mampu memandu jalan cerita.

mgs1 liquid snake metal gear rex

Selain itu, pada hari demonstrasi MGS di Suria KLCC itulah kali pertama penulis merasakan penggunaan 'gamepad' yang benar-benar sebati dengan apa yang kita nampak di skrin.

Setiap kali kita dikesan musuh, 'gamepad' Playstation akan bergetar mengikut situasi. Apabila musuh hanya mengesyaki sesuatu, getarannya perlahan. Apabila cuba dikesan, getarannya kuat sedikit.

Apabila musuh sedang mengejar - gegaran yang diberikan memberikan penulis satu pengalaman baru. Pada ketika itulah penulis sedar, perkara sekecil itu pun membantu mempertingkatkan lagi pengalaman pemain dalam menghayati apa yang sedang dilalui watak.

Itu sesuatu yang filem gagal lakukan sehingga kini; menarik peminat masuk ke dalam filem bukan secara dari segi visual bahkan dari segi fizikal.

Metal Gear Solid dalam era moden

grafik 3d metal gear solid

Kali terakhir penulis menghabiskan Metal Gear Solid dari mula sampai penamat, sekitar tahun 2002 atau 2003 sebelum konsol Playstation penulis mula menunjukkan tanda-tanda sukar nak membaca cakera padat sehingga perlu diterbalikkan. Bagi mereka yang lalui zaman tu, pasti anda tersenyum membaca apa yang penulis sebutkan.

Melihat balik video permainan 'Metal Gear Solid' di Youtube, banyak nostalgia akan kembali segar. Lakonan, dialog dan sinematografinya yang pada ketika itu hanya boleh dilawan filem The Matrix. Jalan ceritanya pula sukar untuk difahami sekiranya kita tidak faham istilah-istilah genetik, sejarah peperangan dan teori-teori konspirasi. Terus terang penulis tak faham sangat apa yang dipertontonkan ketika itu.

Grafiknya memang menyakitkan mata kalau kita saksikan secara langsung. Dah terbiasa dengan grafik yang lebih terperinci zaman moden, kesemua elemen yang dipaparkan dalam Metal Gear Solid akan kelihatan hodoh dan kabur. Bagaimanapun, dari segi aspek isi kandungan serta penggunaan elemen sinematografi filem dalam judul tersebut, Metal Gear Solid menyediakan satu acuan khas kepada industri bagaimana hendak menyatukan apa yang baik tentang filem dan permainan video ke dalam satu bentuk yang berjaya.

grafik 3d zaman dulu

Sistem komunikasi CODEC yang senantiasa boleh dihubungi pemain memberikan identiti kepada jalan cerita, membuatkan pemain tidak kesunyian. Mesej anti nuklear yang dipertontonkan juga berjaya mencapai matlamatnya. Sementara itu kisah melibatkan watak utama Solid Snake dan konfrontasi beliau dengan adiknya, Liquid Snake mampu menyaingi mana-mana filem ejen James Bond yang pada ketika itu, seakan hilang arah.

Metal Gear Solid amat penting dalam industri permainan video bukannya kerana menjadi judul pertama berjaya menggabungkan elemen filem ke dalam permainan video dengan berkesan, tetapi kerana semua gabungan elemen itu berjaya membuatkan pemain rasa matang; mengubah persepsi masyarakat dunia ketika itu yang masih meletakkan permainan video sebagai 'hobi kegemaran kanak-kanak.'

20 tahun selepas dilancarkan, Metal Gear Solid kekal relevan. Industri filem kini tidak lagi segan mahu memaparkan visual janaan komputer penuh untuk menggantikan pelakon sebenar, ibarat permainan video.

Penggiat industri filem juga berusaha untuk memperkenalkan cara baru menonton filem, dengan pengenalan sistem sinema 3D, VR dan juga yang terbaru sinema 4D - memasukkan aspek fizikal seperti gegaran, percikan air, angin, haba dan pelbagai aspek lain, untuk memuaskan hati penonton.

hideo kojima solid snake

Pada tengah hari itu tahun 1998, kami yang berada dalam kedai Sony Wings sama-sama berkongsi kegembiraan serupa menyaksikan sendiri bagaimana satu format baru interaktiviti media terpapar depan mata.

Melihat kembali 20 tahun lalu dan bagaimana jurang filem dan permainan video mula bercantum, tak salah untuk penulis katakan terima kasih banyak pengarah tersohor Jepun yang tak pernah mengeluarkan filem bernama Hideo Kojima.



Hakcipta iluminasi.com (2017)