Sesebuah kerajaan akan membentuk dasar yang bersesuaian bukan saja dengan visi pentadbiran mereka, bahkan akan sama mengambil kira faktor masyarakat yang duduk di bawah pemerintahan mereka.

Pembangunan sesebuah negara memerlukan kerajaan melabur banyak dana ke dalam sektor dan aspek yang sudah terbukti mampu membangunkan masyarakat, seterusnya memperbaiki kualiti hidup mereka yang di dalamnya. Ada negara yang memilih untuk mengenakan cukai tinggi, ada yang memilih cukai rendah tetapi mengorbankan fasiliti yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada juga negara yang memilih untuk menawarkan secara percuma fasiliti dan khidmat sosial, membuatkan mereka agak berbeza berbanding negara kita. Tahu tak di negara manakah ada bantuan ditawarkan secara percuma?

Di mana saya boleh belajar secara percuma?

negara yang tawar pendidikan percuma

Beberapa negara di seluruh dunia menawarkan pendidikan percuma kepada rakyat mereka, untuk membolehkan pendidikan tinggi diakses oleh semua.

jerman merupakan contoh yang terbaik di mana universiti awam di sana tidak mengenakan yuran pengajian kepada pelajar sarjana muda, tanpa mengira kewarganegaraan. Oleh kerana itulah pelajar kita juga berharap dapat hadir ke sana.

Norway juga menyediakan pendidikan percuma di universiti awam dengan syarat pelajar perlu mampu menanggung kos sara hidup yang dikatakan agak tinggi. Di Finland pula, pendidikan adalah percuma untuk pelajar dari Kesatuan Eropah dan hanya yuran minimum untuk pelajar lain.

Polisi-polisi seperti ini sering dipuji kerana nampak jelas komitmen kerajaan terhadap pendidikan sebagai salah satu bentuk kepentingan awam, membantu menjadikan isu kewangan tidak menghalang pertumbuhan akademik dan profesional.

Namun nak laksana sistem sebegini, cukai pendapatannya juga agak tinggilah.

Di negara mana pengangkutan awam percuma?

pengangkutan awam percuma

Luxembourg adalah sebuah negara kecil tetapi kaya di Eropah, menarik perhatian dunia pada tahun 2020 apabila menjadi negara pertama menawarkan pengangkutan awam percuma kepada semua penduduk dan pelawat.

Inisiatif ini menyeluruh, merangkumi bas, kereta api dan tram, bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan kesaksamaan sosial².

Semuanya berpunca daripada bilangan kereta per kapita yang tinggi di sana serta kewujudan banyaknya perjalanan kawasan lintasan yang berisiko, mendorong kerajaan Luxembourg menjadikan pengangkutan awam percuma agar menggalakkan lebih ramai orang meninggalkan kereta mereka di rumah.

Ada tak negara yang perkhidmatan perubatannya percuma?

khidmat perubatan percuma

Mestilah ada! Sistem kesihatan Cuba terkenal kerana sepenuhnya percuma dan boleh diakses oleh semua rakyat.

Kerajaan Cuba membiayai sistem ini melalui cukai, membolehkan penjagaan kesihatan sebagai perkhidmatan awam yang tersedia untuk semua, tanpa mengira pendapatan atau status sosial. Sistem ini dibentuk berasaskan kepercayaan bahawa kesihatan adalah hak asasi manusia dan sejak Revolusi Cuba pada tahun 1959, negara ini telah memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan sebagai dasar sosial utamanya.

Rakyat Cuba boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perubatan, termasuk konsultasi doktor, rawatan hospital, pembedahan, dan penjagaan pencegahan, tanpa sebarang kos langsung.

Ada ke negara yang bagi rumah percuma?

bantuan perumahan percuma

Di Turkmenistan, kerajaan mereka menyediakan bantuan perumahan percuma terutamanya kepada kakitangan awam dan warganegara yang memerlukan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan mereka dalam memastikan semua warganegara mempunyai akses kepada keperluan asas yang mencukupi.

Venezuela juga mempunyai program yang dinamakan Gran Misión Vivienda Venezuela, bertujuan untuk memerangi kekurangan perumahan dengan membina dan menyediakan rumah tanpa kos kepada keluarga berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang terjejas oleh bencana alam atau tinggal di penempatan tidak formal.

Jangan tergelak pula ya! Korea Utara pun memperuntukkan perumahan secara percuma kepada warganegaranya, dengan kriteria pekerjaan dan status sosial menentukan kelayakan. Walaupun sistem ini memastikan perlindungan asas, kualiti perumahan yang disediakan sering dikritik tidak konsisten, tetapi siapa yang berani mengadu di sana?

Ada tak kerajaan yang bagi duit percuma secara tetap?

penduduk alaska dapat dividen percuma

Ini yang paling best. Pernah dengar tentang Dividen Dana Tetap Alaska atau Permanent Fund Dividend (PFD)? PFD adalah pembayaran tunai tahunan yang dibuat kepada warganegara Alaska yang layak, datang daripada hasil minyak negeri dan pendapatan kerajaan.

Ditubuhkan pada tahun 1982, PFD mengagihkan sebahagian daripada kekayaan negeri daripada sumber semula jadi kepada warganya, mempromosikan kestabilan ekonomi dan menggalakkan penglibatan komuniti.

Untuk seseorang itu dianggap layak, pemohon mesti telah menjadi penduduk Alaska selama sekurang-kurangnya satu tahun dan mesti kekal di negeri tersebut sepanjang tahun pembayaran.

Sejak tahun 2020, jumlah PFD telah menyaksikan naik turun ketara: pada tahun 2020, mereka menerima RM4,650, manakala pada tahun 2021 pembayaran adalah RM5,180.10. Pada tahun 2022, jumlah tersebut meningkat kepada RM15,270.60, mencerminkan tahap tinggi dalam kutipan hasil negeri.

Bagaimanapun bagi tahu 2023, dividen menjunam kembali ditetapkan pada kadar RM6,100.80 setiap warganegara yang layak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)