Pengumuman barisan kabinet bahawa sistem percukaian di negara kita akan dikaji semula, selepas pemansuhan sistem GST ditukarkankan (kembali) kepada SST berlaku pada hujung tahun 2018.

Usaha pertukaran kembali itu yang dikatakan mampu menurunkan harga barang, bagaimanapun tidak memberikan kesan yang digembar-gemburkan; sebaliknya harga barangan harian terus meningkat. Malangnya pertukaran ke SST semula itu turut sama membawa kepada peningkatan kebergantungan ekonomi negara kita kepada hasil minyak - menyebabkan risiko berlakunya kejatuhan ekonomi dalam suasana harga minyak yang kurang stabil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh sebab itu, sistem GST dikatakan akan menjadi salah satu sistem percukaian yang boleh diperkenalkan semula bagi menangani masalah ini. Kita pernah merasai kadar 6% dahulu tetapi ramai juga yang mengeluh dengan kadar tersebut. Bagaimana pula agaknya dengan mereka yang datang daripada 5 negara berikut?

5. Denmark

vat forms denmark

Majoriti negara Scandinavia memperkenalkan kadar standard 25% sebagai kadar nilai VAT/GST di negara mereka, namun Denmark merupakan satu-satunya negara yang meringkaskan sistem VAT mereka berbanding negara jiran mereka yang lain. Di Norway, Sweden dan Finland sebagai contoh, mereka menggunakan sistem kadar berkurangan disamping kadar standard.

Di Denmark, hanya ada dua kadar sahaja sama ada 25% atau kadar sifar. Ini bermakna semua produk dan perkhidmatan di Denmark akan dikenakan sekurang-kurangnya 25% cukai VAT secara konsisten di seluruh negara tersebut. Apa yang dikecualikan atau dikenakan kadar sifar?

Produk dan servis melibatkan penerbitan surat khabar, pembekalan barangan untuk industri perkapalan dan penerbangan serta beberapa perkhidmatan lain dikenakan kadar sifar. Perkhidmatan perubatan, pendidikan, perbankan dan kewangan, insurans, kesenian, kebudayaan, pelaburan emas, penyewaan hartanah dan pengangkutan awam dikecualikan daripada dikenakan VAT/GST.

4. Croatia

croatia resit jualan vat

Croatia menggunakan kadar standard GST nasional pada nilai 25%, satu nilai yang boleh tahan tinggi nilainya. Bagaimanapun, berbeza dengan negara Hungary yang lebih ketat peraturannya dan akan diceritakan sebentar lagi, Croatia pula lebih longgar serta banyak memasukkan produk-produk asas dalam kategori kadar cukai berkurangan.

Antara barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar 13% di Croatia adalah sesetengah jenis makanan dan minuman, surat khabar, tiket konsert, penginapan hotel, kade dan restoran, kerusi kereta kanak-kanak dan banyak item lain lagi.

Bagi barangan keperluan asas pula, majoritinya diletakkan di bawah kadar 5% merangkumi barangan seperti roti, susu, formula bayi selain daripada produk kecantikan, buku dan tiket wayang. Semua sistem pengangkutan awam yang tidak melibatkan penggunaan jalan raya dan rel keretapi dikenakan kadar sifar.

3. Brazil

pengharantan pos kena cukai brazil

Di Brazil, mereka mengamalkan sistem percukaian GST yang berbeza dengan biasa - di mana cukai GST akan diperkenalkan mengikut ketetapan negeri dan negara; menyebabkan wujudnya perbezaan kadar yang dikenakan pada pengeluar dan pengguna.

Secara umumnya, kadar purata nilai Value Added Tax (VAT) di Brazil yang mirip dengan GST adalah 17% dengan majoriti negeri mengekalkan kadar tidak jauh dari nilai purata, pada nilai 17 ke 19%. Sebagai contoh, di Sao Paulo mereka menggunakan nilai 18% sementara Rio de Janeiro pula menggunakan kadar 19%.

Bagaimanapun, oleh kerana kelonggaran sistem ini - ada sesetengah negeri menggunakan kadar lebih tinggi untuk sesetengah kategori; menjadikan barangan dan perkhidmatan mempunyai kadar lebih tinggi berbanding purata nasional, mampu mencecah 25% nilai cukai dikenakan apabila dibandingkan dengan nilai harga asalnya.

2. Hungary

pm hungary umum perubahan dasar vat

Sebelum India memperkenalkan penggunaan kadar 28%, negara Hungary merupakan juara kadar GST dalam tempoh masa yang agak panjang dengan kadar maksima 27%. Apa yang menakutkan tentang kadar maksim 27% di Hungary? Kadar ini adalah kadar standard.

Ini bermakna majoriti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di negara tersebut secara automatik akan dikenakan kadar standard 27% kecuali beberapa kategori barangan yang ditetapkan. Beberapa produk makanan serta tiket konsert terbuka dikenakan kadar berkurangan 18%. Barangan makanan tertentu, ubat-ubatan, buku, perkhidmatan restoran, perhotelan dan kadar sewa perumahan dikenakan kadar 5%.

DI Hungary, hanya dua perkhidmatan saja dikenakan kadar sifar - kadar bayaran perkhidmatan pengangkutan awam melibatkan destinasi domestik dan pengangkutan antarabangsa. Realitinya, Hungary mungkin tidak mengenakan GST setinggi India, tetapi di sana kesan GST kepada penduduk, sudah pastilah sangat dirasai.

1. India

india gst tertinggi didunia

Di antara semua negara di dunia ketika ini, India merupakan negara yang meletakkan kadar GST tertinggi antara semua, dengan pengenalan kadar 28% sebagai nilai maksima. Diperkenalkan pada tahun 2017 bagi menggantikan sistem cukai sedia ada sebelum itu, India menggunakan 5 kategori produk dan perkhidmatan yang dikenakan cukai, merangkumi kadar sifar, 5%, 12%, 18% dan 28%; kadar tertinggi di dunia.

Antara servis dan produk perkhidmatan di India yang dikenakan kadar GST 28% adalahpendingin hawa, coklat, beberapa produk kegunaan harian, kenderaan dan yang terbaru dikategorikan, adalah kadar perkhidmatan hotel yang melebihi Rs 7,500 atau RM429.18.

Kadar standard negara tersebut pada ketika ini adalah 18%, merangkumi servis telekomunikasi, insurans, perkhidmatan restoran, hiburan, tiket, permainan video, alat elektronik, sesetengah jenis sayur-sayuran beku, alat ganti enjin dan banyak lagi produk lain. Bagaimanapun, kadar itu diimbangi dengan penggunaan kadar sifar pada produk asas seperti daging dan ikan, sayur segar, buku dan suratkhabar.

Rujukan

A comparison of tax rates by countries

International VAT and GST rates for 2020




Hakcipta iluminasi.com (2017)