Oleh pada 30 Jan 2024 kategori

Menghasilkan filem biasanya bermula dengan penawaran skrip oleh penulis kepada rumah-rumah penerbitan sebagai pilihan, yang kemudiannya diolah semula agar menjadi lebih padat dan berisi idea asalnya.

Sistem yang digunapakai ini menyebabkan ada ketika beberapa filem yang berbeza, boleh berkongsi tema yang serupa dan lebih menghairankan, turut sama ditayangkan dalam tempoh waktu yang dekat saja jaraknya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehinggakan kita sebagai penonton merasa aneh bukankah kita baru saja tonton filem tersebut di pawagam. Berikut adalah 8 situasi yang pernah berlaku dan kami yakin akan berlaku lagi.

1. Dante's Peak dan Volcano

dantes peak volcano

Dalam tahun 1997, tak semena-mena peminat filem disajikan dengan dua buah filem berkait letusan gunung berapi!

Dante's Peak diterbitkan pada 7 Februari 1997, menampilkan aktor 'James Bond' Pierce Brosnan serta pelakon aksi wanita Linda Hamilton. Lebih 2 bulan berikutnya pada tanggal 25 April 1997, filem dengan judul 'Volcano' membariskan pelakon Tommy Lee Jones mula ditayangkan dipawagam.

Kedua-dua filem menampilkan babak bagaimana manusia berusaha cuba menyelamatkan diri daripada bencana gunung berapi yang meletus, bekerjasama di antara satu sama lain.

Kedua-dua buah filem mendapat sambutan baik daripada penonton walaupun ulasan yang diterima agak suam-suam kuku, meneruskan trend Hollywood era tersebut yang banyak menerbitkan filem berorientasikan bencana alam.

2. Deep Impact dan Armageddon

deep impact armageddon

Karya sains fiksyen biasa menjadikan topik apa akan berlaku kepada bumi, sekiranya kita ditimpa komet gergasi sebagai bahan utama filem. Uniknya dalam tahun 1998, kita mendapat 2 buah filem yang membawa topik sama dan lebih aneh, kedua-dua filem boleh dikatakan membawa jalan cerita yang hampir serupa.

Deep Impact ditayangkan lebih awal pada 8 Mei 1998, membawakan kisah bagaimana tamadun manusia cuba menyelamatkan diri dengan membawa sepasukan kru penyelamat ke angkasa untuk cuba meletupkan komet tersebut terlebih dahulu sebelum menimpa kita.

Armageddon juga membawakan jalan cerita sama, tetapi penataan penceritaannya lebih drama dengan watak-watak yang lebih diingati serta adegan yang berjaya membuatkan kita menitiskan air mata. Dibantu dengan runut bunyi dendangan kumpulan rock Aerosmith yang syahdu memukau.

Kedua-dua filem secara kutipannya berjaya, namun Armageddon jauh mendahului senarai dinobatkan filem paling laku di seluruh dunia bagi tahun 1998.

3. A Bug's Life dan Antz

antz bug s life filem

Bagaimana dua buah filem yang bermula daripada dua idea berbeza, boleh membawa jalan cerita serupa dan ditayangkan dalam tahun sama? Itulah yang menghairankan peminat selepas filem A Bug's Life dan Antz ditayangkan.

Banyak tuduh-menuduh berlaku di antara kedua-dua rumah penerbitan, menafikan tuduhan berkait tindakan ciplak telah terjadi. Apa yang mengejutkan, yang saling balas-membalas dakwaan ini adalah individu-individu berpengaruh dalam industri animasi Hollywood yang juga bergelar kawan-kawan baik.

Walau apa pun, Antz muncul lebih awal pada awal bulan Oktober tahun 1998 sebelum 'A Bug's Life' ditayangkan pada 25 November tahun sama.

Kedua-dua buah filem menampilkan watak utama seekor semut jantan yang biasa, tetapi akhirnya perlu bangkit bagi menyelamatkan koloni semutnya daripada serangan makhluk perosak dan juga politik dalaman.

Secara peribadi, penulis lebih menggemari 'A Bug's Life' kerana jalan ceritanya lebih kepada sebuah pengembaraan, membawa watak utamanya meneroka dunia luar yang menemukannya dengan lebih banyak serangga yang aneh, kelakar dan unik.

4. Saving Private Ryan dan The Thin Red Line

filem yang hampir serupa

Tidak tahulah kenapa tahun 1998 menampilkan banyak filem yang membawa tema hampir serupa.

Tetapi persamaan itu jugalah membawakan kita kepada dua buah filem hebat iaitu Saving Private Ryan yang mula ditayangkan pada 24 Julai 1998 dan The Thin Red Line pada 25 Disember tahun serupa.

Ada banyak persamaan dalam kedua-dua filem berbeza ini. Kedua-duanya menjadikan perang sebagai latar belakang utama, membariskan barisan pelakon handalan sebagai teraju utama dan lebih penting, ditunjangi pengarah yang layak diletak dalam kategori terbaik dalam industri, menerusi Steven Spielberg dan Terrence Malick.

Profil tinggi kedua-dua filem membawa kepada banyak pencalonan bagi keduanya, dalam anugerah Academy ke 56 tahun 1999. Walaupun tercalon dalam kategori filem terbaik, malangnya kedua-dua buah filem kalah - sehingga mencetuskan kontroversi.

Apa pun yang penting impak kedua-dua buah filem kepada budaya pengkaryaan dunia jelas kelihatan, di mana filem-filem ini terus menjadi bahan rujukan pengkarya dalam menghasilkan filem yang bersandarkan kepada sejarah dunia nyata.

5. The Illusionist dan The Prestige

filem yang hampir sama

Situasi yang telah berlaku dalam dua filem perang berbeza di atas, layak kami katakan berulang kembali melalui tayangan dua buah filem dengan tema silap mata- The Illusionist yang ditayangkan pada 18 Ogos 2006 dan The Prestige yang terbit pada 10 November tahun serupa.

Walaupun kedua-dua filem berjaya membawakan dunia yang memukau serta watak yang penuh karisma, nyata pengaruh The Prestige yang diarahkan oleh Christopher Nolan bertahan lebih lama, masih lagi dipetik sebagai antara filem yang benar-benar mencabar minda penontonnya.

Dunia The Prestige juga lebih kompleks, dengan penampilan dua watak utama yang saling bersaing antara satu sama lain sehingga menyebabkan kita sebagai penonton pun tidak tahu siapa protagonis dan antagonisnya.

Kami duduk dalam kem peminat tegar filem 'The Prestige.' Anda pula bagaimana?




Hakcipta iluminasi.com (2017)