deadpool juggernaut austin power dr evil

Versatiliti seorang pelakon biasanya diukur melalui kategori-kategori watak yang mampu dimainkannya. 

Pelakon seperti Daniel Day Lew cukup terkenal kerana mampu menjiwai pelbagai jenis watak, yang memerlukan dia memainkan keseluruhan spektrum jiwa dalam filem-filem lakonannya. 

Ada juga pelakon yang bertuah kerana diberi peluang memainkan watak utama dan dalam masa yang sama, diberikan juga tanggungjawab melakonkan penjahat utama yang mempunyai perwatakan serta rupa yang jauh berbeza; semuanya dalam satu cerita.

Berikut adalah lima pelakon yang pernah memainkan watak-watak tersebut. Ada yang kita tak tahu pun mereka melakokannya.

1. Mike Myers - siri Austin Powers

austin powers mike myers

Sudah separa bersara dari dunia lakonan, legasi Mike Myers kepada filem komedi tersemat dalam siri filem animasi 'Shrek' dan juga siri filem popular yang memaparkan watak Austin Powers.

Cukup gemar memparodikan filem-filem yang bertemakan penyiasatan dan ejen kerajaan, Myers memainkan dua watak utama berbeza - 'protagonis Austin Powers' dan antagonis serta seteru ketat Powers, 'Dr. Evil.'

Myers memegang dua watak teraju itu dalam ketiga-tiga filem yang dikeluarkan, memahatkan nama beliau sebagai pelakon komedi popular untuk beberapa tahun. Selain dua watak itu, Myers juga memainkan watak 'Fat Bastard', pembantu kepada Dr.Evil dan 'Goldmember', penjahat utama dalam filem ketiga trilogi filem ini.

2. Ryan Reynolds - Deadpool 2

deadpool juggernaut

Dalam filem 'Deadpool 2', keseluruhan watak mutan gergasi Juggernaut yang dipaparkan, adalah hasil ciptaan grafik komputer sepenuhnya. Tetapi suaranya perlu datang dari individu - jadi Ryan Reynolds yang memegang watak utama filem tersebut, terpilih untuk melakonkan suaranya.

Walaupun begitu, itu bukanlah perancangan asalnya. Pada awalnya, 'Juggernaut' dirancang untuk diolah menggunakan grafik yang digabungkan dengan rakaman mimik wajah pengarah filem tersebut, David Leitch. Suaranya pula akan dirakamkan kemudian oleh seorang pelakon suara yang lebih sesuai.

Tetapi disebabkan oleh kesukaran pengambaran berlaku tanpa sebarang dialog dari Juggernaut diungkapkan, Reynolds menawarkan diri membantu melakukan rakaman dialog watak tersebut yang sementara - bagi melancarkan kerja produksi berjalan.

Bagaimanapun, akhirnya kesemua dialog yang dirakamkan hanya sebagai panduan itu digunakan dalam versi filem terakhir - melayakkan Ryan Reynolds memainkan watak anti-hero Deadpool serta watak gergasi Juggernaut dalam satu filem.

3. Jack Black - Goosebumps

jack black goosebumps premiere

Filem 'Goosebumps' digarap daripada siri novel remaja bergenre seram tulisan R.L.Stine, menampilkan Jack Black yang memainkan watak penulis terkenal itu dalam dunia ciptaannya sendiri.

Dalam filem fantasi seram yang menggabungkan pelbagai elemen dari siri novel dengan judul yang sama, kesilapan yang dilakukan oleh anak Stine mengakibatkan kesemua raksasa fiksyen direka bapanya terlepas ke dunia realiti - menyebabkan huru-hara kepada masyarakat. 

Salah satu raksasa paling digeruni adalah satu raksasa bernama Slappy the Dummy, sebuah anak patung bernyawa yang mengakibatkan lebih banyak kerosakan berlaku disebabkan azamnya untuk membalas dendam terhadap penciptanya.

Black bertanggungjawab memainkan watak tersebut, selain turut sama melakonkan suara kepada satu lagi watak jahat dalam filem tersebut, seorang kanak-kanak lelaki halimunan bernama Brent Green.

4. Eddie Murphy - The Nutty Professor

nutty professor eddie murphy

Satu ketika dulu nama Eddie Murphy cukup terkenal sebagai pelakon komedi dan dia sering diberikan peluang muncul sebagai watak utama, dengan gimik-gimik watak berbeza.

Salah satu filem terbaik beliau, adalah The Nutty Professor - sebuah filem garapan semula sebuah filem lama dengan judul sama dalam era moden (ketika itu). Murphy tampil sebagai Professor Sherman Klump, seorang lelaki bijak dan baik namun mengalami masalah berat badan melampau.

Selepas satu insiden yang memalukan dirinya, Klump bertindak nekad meminum sejenis serum yang mampu mempercepatkan proses perubahan berat badan. Dalam sekelip mata dia bertukar menjadi seorang lelaki kurus yang mempunyai keegoan tinggi berbadan sasa, digelarkan sebagai Buddy Love.

Sifat Buddy Love yang egoistik serta kurang menghormati orang lain, akhirnya mula mengambil alih perangai asal Klump yang penyayang - menyebabkan kedua-dua identiti berbeza itu mula berlawan antara satu sama lain disebabkan hanya satu saja boleh terus kekal.

5. Benedict Cumberbatch - Dr. Strange

dr strange vs dormammu

Salah satu filem dalam dunia sinematik Marvel, iaitu 'Doctor Strange' menyimpan satu rahsia yang tidak diperjelaskan dengan formal. Watak utama filem itu 'Dr. Stephen Strange' seperti yang sudah kita ketahui dimainkan aktor Britain, Benedict Cumberbatch.

Namun dalam kredit filem tersebut, tidak dinyatakan Cumberbatch sebenarnya turut memainkan watak penjahat utama filem tersebut, sejenis makhluk intra-angkasa bernama Dormammu.

Semasa pembikinan filem itu, pasukan produksi filem itu telahpun memutuskan untuk menggunakan teknologi grafik komputer sepenuhnya untuk memainkan watak Dormammu, termasuklah dari segi perubahan wajahnya. 

Cumberbatch sendiri mencadangkan kepada pengarah filem tersebut Scott Derrickson, untuk membenarkan dirinya melakonkan wajah Dormammu dengan bantuan teknologi rakaman pergerakan.

Derrickson bersetuju dengan cadangan tersebut, merasakan perlunya wujud persamaan di antara watak protagonis dan antagonis filem tersebut - jadi siapa lagi yang layak untuk direkodkan sebagai watak gergasi itu selain Cumberbatch.

Desas-desus mengatakan Cumberbatch turut melakonkan suara Dormammu, tetapi pendapat itu dinafikan Derrickson - yang menyatakan suara penjahat itu dimainkan seorang aktor Britain yang dia dah terlupa namanya.

Begitulah bagaimana Benedict Cumberbatch memainkan satu watak besar dalam filem, tetapi tidak diberikan kredit penuh dalam filem itu sendiri.



Hakcipta iluminasi.com (2017)