Oleh pada 13 Aug 2019 kategori

Beraksi lasak di dalam filem tidak menyamai langsung dunia nyata. Ramai aktor yang gagah di layar perak, tak semestinya mampu menampakkan karakter dan watak serupa yang tidak terkalah, apabila berdepan situasi sebenar.

Walaupun begitu, ada ketikanya kedua-dua dunia bergabung dan pelakon terkenal itu, selain daripada dikurniakan bakat dalam bidang lakonan - turut sama mempunyai latar belakang seni pertahanan diri yang cukup mantap.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima aktor pilihan kami, yang kami rasakan mempunyai kelayakan dunia nyata sebenar dalam bidang seni pertahanan diri, membantu mereka membawakan watak dalam filem yang dilakonkan.

1. Taylor Lautner

taylor lautner dalam twilight

Nasib malang pelakon siri filem 'Twilight' yang satu masa dulu dipuja gadis-gadis, kini semakin merudum. Kebanyakan filem lakonannya yang diharapkan kembali menghidupkan namanya gagal, berbeza dengan nasib Robert Pattinson, seteru utamanya dalam filem tersebut.

Bagaimanapun, Lautner sejak muda lagi memang seorang juara karate peringkat kebangsaan. Mula mempelajari seni pertahanan diri Jepun itu sejak usia 6 tahun, dia mula menyertai pertandingan karate secara serius setahun kemudian.

Selepas berlatih beberapa tahun dan mendapat tali pinggang hitam, Lautner meneruskan kariernya dalam bidang karate memenangi beberapa kejohanan peringkat negara dan antarabangsa.

2. Jon Foo

jon foo dalam tekken

Nama beliau agak kurang terkenal, disebabkan oleh kegagalan beliau mendapatkan watak yang lebih besar, kerana setakat ini watak utama paling besar yang berjaya dilakonkan beliau adalah watak Jin Kazama dalam filem 'Tekken' selain daripada turut terlibat dengan filem keluaran tempatan, 'Vikingdom' yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim.

Lebih banyak menjadi pelagak ngeri yang disegani di Hollywood, latarbelakang Jon Foo dalam bidang seni pertahanan diri agak luar biasa. Dipengaruhi oleh idola beliau Jackie Chan serta darah Cina ayahnya, Jon Foo mula mempelajari seni kung fu Shaolin selatan pada usia 8 tahun sebelum menyertai London Chinese Acrobat Circus, mengadakan pertunjukan di beberapa buah bandar.

Oleh kerana latihan wushu yang diberikan di Britain kurang menekan berbanding di China, pada usia 15 tahun Jon memilih untuk pergi ke Sekolah Sukan Shi Cha Hai, di Beijing bagi mempelajari seni wushu.

3. John Cusack

john cusack 2012

Dalam filem, beliau sering diberikan watak-watak yang agak 'slow' atau tak memaparkan aksi-aksi mendebarkan, tetapi John Cusack yang terkenal dalam filem Con-Air, High Fidelity dan juga 2012 sebenarnya mempunyai latar belakang pertahanan diri yang boleh tahan juga.

Cusack jarang diberikan watak aksi berikutan wajahnya yang agak romantis, tetapi dia sebenarnya banyak menggunakan kemahiran yang telah diasahnya lebih 20 tahun dalam bidang 'kickboxing', berlatih di bawah tunjuk ajar Benny Urquidez, bekas juara peringkat kebangsaan di Amerika Syarikat.

Mempunyai kelayakan tertinggi dalam bidang pertahanan diri, Cusack bagaimanapun mengakui dalam kebanyakan filem yang dilakonkannya, dia lebih banyak melarikan diri daripada situasi yang mencemaskan.

4. Mendiang Paul Walker

paul walker fast furious

Seorang pelajar seni mempertahankan diri, mendiang Paul Walker mula mempelajari seni jiu-jitsu Brazil pada tahun 2003 bersama dengan jurulatih beliau yang bernama Ricardo Miller. Bermula agak lambat dalam bidang pertahanan diri, salah satu perkara yang merisaukan beliau adalah kemungkinan dia tidak berjaya mendapatkan tali pinggang hitam.

Selepas lebih 10 tahun berlatih dan menjadi antara individu yang mempopularkan seni pertahanan diri tersebut, Walker meninggal dunia dalam kemalangan kereta. Latihannya pada ketika itu baru sampai pada tahap tali pinggang coklat, satu tahap di bawah hitam.

Pada hari pengebumiannya, Miller menganugerahkan Walker tali pinggang hitam bagi memenuhi impian beliau.

5. Liam Neeson

liam neeson tinju ireland kebangsaan

Pelakon veteran yang nampaknya tidak henti-henti disebut namanya, Liam Neeson dilihat berjaya mengubah kariernya sebagai seorang pelakon aksi pada lewat usianya selepas filem 'Taken' meletup di seluruh dunia.

Pada awalnya lebih dikenali sebagai seorang pelakon serius melalui watak dalam filem 'Schindlers List', kini Neeson lebih kerap dikaitkan sebagai pelakon watak aksi.

Latar belakang beliau sebagai seorang peninju banyak membantu beliau sebenarnya. Sejak berusia 9 tahun, Neeson sudah pun menyertai satu kelab tinju yang dibuka berdekatan rumahnya dan mula menyertai pertandingan bertaraf amatur pada usia 11 tahun.

Selepas berjaya menjadi juara tiga kali pertandingan peringkat remaja kebangsaan di negaranya, nama Neeson disebut sebagai salah seorang peninju yang bakal bergelar profesional.

Pada usia 16 tahun dalam satu pertembungan dengan seorang peninju dari England, Neeson berjaya memenangi pertarungan tersebut tetapi kesan daripada pertarungan itu membuatkan dia hilang keupayaan berfikir dan mengawal tubuh badan.

Mengalami konkusi selama lebih 10 minit, Neeson akhirnya berjaya pulih semula. Trauma menghadapi situasi itu menyebabkan Neeson memilih untuk berhenti bertinju dan menumpukan perhatian pada sukan lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)