Oleh pada 22 Jul 2020 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Shaw

   

Bersempena dengan tayangan filem Superbike The Movie arahan Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi (Shah) yang bakal menemui penonton bermula 23 Julai 2020 ini, penulis kongsikan lima buah filem permotoran 'wajib' ditonton oleh para pencinta jentera dua roda.

Untuk info lanjut mengenai Superbike The Movie, anda boleh baca artikel: Info Dan Sinopsis Filem Superbike The Movie

   

Mat Moto

mat moto

    

Mat Motor, filem sulung arahan Pekin Ibrahim yang menggandingkan barisan pelakon terkemuka, antaranya beliau sendiri, termasuk Datuk Rosyam Nor, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Syamsul Yusof, Shaheizy Sam, Cat Farish, Kamarool Hj. Yusof, Falisha Crossley dan Hakim Nawawi.

Ia berkisar tentang Al (Pekin Ibrahim), seorang pemilik sebuah syarikat suntingan filem mengharungi pengembaraan ke empat buah negeri dalam misi mengumpul empat jenis helmet istimewa, demi menunaikan hajat seorang rakannya yang telah maut dalam kemalangan jalan raya.

Sikha (Falisha Crossley), seorang pelajar praktikal di pejabat Al, yang berperwatakan kasar, mengiringi beliau di sepanjang pengembaraan, sebelum tanpa disedari timbulnya bibit-bibit cinta antara mereka.

Filem ini merangkul tiga buah trofi dari lapan pencalonan di acara Festival Filem Malaysia ke-28.

    

Mana Mau Lari

mana mau lari 762

   

Abang Pen, King, Kapten dan Kyo yang menganggotai sebuah geng Harley Rider dikenali sebagai “Kassem Selamat”, bercuti di Cowboy Town bersempena dengan kemenangan Abang Pen di pertandingan “motor-cross”.

Kejadian pelik berlaku apabila motor Abang Pen telah dilarikan oleh seorang penunggang misteri yang tidak didedahkan identitinya, sebelum bermulanya pengembaraan empat sahabat ini dalam misi memburu si pencuri yang sekaligus menguji persahabatan dan keberanian mereka!

Mana Mau Lari merupakan arahan Dato Prof. A. Razak Mohaideen, dibintangi barisan pelakon yang rata-ratanya pelawak terkenal, seperti Tauke Raja Lawak, Syuk Balas, Yassin, Aliff Yasraff, Saiful Apek, Delimawati, Dira Abu Zahar, Sathiya, Abu Bakar Omar, Ruminah Sidek dan Ropie Cecupak.

    

KL Menjerit

kl menjerit 646

    

Shahrol, 28 tahun, anak muda berjiwa agresif dan gemar menurut perasaan remajanya, hanya bersekolah setakat tingkatan empat sebelum angkat kaki meninggalkan kampung halaman.

Mencari rezeki sebagai mekanik di ibu kota, hidup Shahrol diselebungi dengan dunia permotoran, selain bergelar kekasih kepada Linda.

Namun kehidupannya berubah dengan kemunculan seorang gadis kampung naif bernama Ayu, yang nyaris menjadi habuan dalam sebuah perlumbaan haram yang disertai Shahrol.

Selain kehadiran Ayu, Shahrol turut dipertemukan dengan anak tunggal kepada seorang tokoh politik dikenali sebagai Tun yang menderita sejenis penyakit, selain hidup dalam kesepian tanpa perhatian ibu bapanya.

Di bawah arahan Badaruddin Azmi, KL Menjerit yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (2003) dibarisi para pelakon handalan seperti Rosyam Nor, Lisdawati, Hasnul Rahmat, Faizal Hussein, Liza Hanim dan ramai lagi.

   

Remp-It

rempit movie 618

    

Filem arahan Ahmad Idham yang ditunjangi pelakon-pelakon ternama seperti Farid Kamil, Cat Farish, Julia Hana, Zul Huzaimy dan Aqasha.

Kisah seorang penghantar surat bernama Madi yang mempunyai hobi 'merempit' pada waktu malam. Gara-gara ingin membeli motosikal idaman Yamaha Y125Z, Madi melupakan niat untuk menyimpan wang perbelanjaan kahwin.

Suatu hari, malang menimpa Adi apabila dia dibelasah teruk, manakala motosikalnya dibakar oleh Spark, selepas beliau kalah dalam sebuah perlumbaan haram untuk menguji kecekapannya.

6 bulan kemudian, Madi beralih kerjaya sebagai seorang mekanik. Dalam sebuah perlumbaan haram terakhir yang disertainya melibatkan motosikal Yamaha RX-Z yang berlangsung di Lebuhraya Shah Alam, Madi maut dilanggar lori apabila Spark bertindak menendangnya sebelum motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori.

    

Bikers Kental

bikers kental

    

Bidin Al Zaifa merupakan seorang pekerja di garaj motosikal yang cukup gilakan motosikal berkuasa tinggi.

Dia menyimpan impian untuk mempunyai motosikal berkuasa tinggi dan menyertai geng motosikal diketuai Eddie (Awie).

Suatu hari, keajaiban berlaku apabila dia terjumpa sebuah beg berisi wang. Dengan wang yang tidak diketahui pemiliknya, Bidin merealisasikan impian untuk memiliki motosikal Aprilia RSV4 Factory, lalu menyertai geng Eddie dalam sebuah konvoi menuju ke Krabi.

Perjalanan konvoi Bidin penuh suka dan duka yang mana di sana, dia telah jatuh hati dengan seorang gadis yang bekerja di sebuah kedai makan, Saiya, selain dalam masa sama diekori beberapa individu misteri.

Sebuah karya arahan Helmi Yusof lakonan Zizan Razak, Awie, Zul Ariffin, Bront Palarae, Harun Salim Bachik, Amerul Affendi dan ramai lagi.

    

rempit sampai langit

    

Lain-lain filem permotoran wajib 'layan', antaranya Bikers Kental 2, Hantu Nan Sempit, KL Menjerit 1, Mat Moto Otai dan Rempit Sampai Langit.

     




Hakcipta iluminasi.com (2017)