Oleh pada 09 Dec 2022 kategori

Pembukaan semula panggung wayang selepas penularan wabak Covid-19 merupakan berita baik buat peminat filem tanah air yang sentiasa inginkan naskhah terbaharu di layar gergasi.

Filem tempatan menarik yang telah ditayangkan sejak awal tahun ini menyaksikan lakonan hebat daripada pelakon kegemaran ramai dalam filem yang disebut-sebut antara yang menarik penonton ke pawagam sepanjang tahun.

Ia termasuklah filem-filem di platform tayangan saluran berbayar, Astro First terus ke rumah.

Antaranya Daddyku Gangster, Rempit 2, Deleted: Akan Ku Jejak, Siku 12: Langkah Derhaka, Halimun dan banyak lagi.

10 Filem Melayu 2022 Mesti Tonton

   

Daddyku Gangster

filem 570

Aksi komedi ini merupakan filem sulung lakonan youtuber terkenal, Alieff Irfan, selain penampilan pelakon hebat seperti Zul Huzaimy dan Faizal Hussein.

Ia mengisahkan Ray, seorang ketua kumpulan yang mencuri kereta mewah yang diseludup masuk ke Malaysia. Dia juga aktif dalam underground fight di gelanggang haram yang dimiliki oleh rakannya, Pablo.

 

Namun selepas kematian abang kandungnya, Remy, Ray diberikan hak penjagaan terhadap kedua-dua anak saudaranya, Arisha dan Aidil.

Rempit 2

filem 2022

Kesinambungan kisah hidup Madi yang kini bekerja sebagai tenaga pengajar di pusat latihan motosikal milik Roy dan menguruskan bengkel bersama rakannya, Macha.

Berazam untuk meninggalkan dunia rempit untuk fokus menjadi pelumba profesional, Madi suatu hari tidak sengaja berentap di jalan raya dengan Ajak, orang Spark.

Berita kemunculan Madi tiba ke pengetahuan Spark yang bakal dibebaskan dari penjara dan dia tidak sabar untuk berlumba semula dengan musuh lamanya itu.

Istimewanya filem ini menyaksikan pelakon utama asal kembali semula ke set penggambaran untuk sekuel filem yang mengambil masa 16 tahun untuk kembali ke pawagam.

Deleted : Akan Ku Jejak

filem baru 2022

Berdasarkan kisah benar, filem Deleted : Akan Ku Jejak mengangkat plot tentang isu pemerdagangan manusia di pasaran gelap.

Kisahnya berlatarkan tentang seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara. Anak perempuannya telah diculik oleh penyeludup manusia lantas dia perlu menyamar dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencari dan menyelamatkan anaknya.

Deleted : Akan Ku Jejak dibintangi oleh Rosyam Nor, Fattah Amin dan Pablo Amirul.

Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton filem ini, ia bakal ditayangkan di platform penstriman Netflix bermula 21 Disember.

Seratus

filem malaysia 47

Filem yang menampilkan paling ramai bintang terkenal iaitu seramai 100 orang antaranya Bront Palarae, Beto Kusyairi, Adi Putra, Dato' Awie, Elizabeth Tan, Nora Danish, Siti Saleha, Shukri Yahya dan Ziana Zain.

Plot mengikuti seorang pemuda bernama Hafiz yang perlu mencari jalan untuk membebaskan ibunya yang diculik melalui satu-satunya ”klu” yang ada iaitu sekeping wang kertas RM100 peninggalan arwah bapanya, untuk mencari wang tebusan yang dituntut oleh penculik itu.

Baca: Info Penuh Dan Sinopsis Filem Seratus (2022)

   

Siku 12: Langkah Derhaka

movie 2022

Siku 12: Langkah Derhaka merupakan karya sentuhan terakhir pengarah Azhari Zain yang baru meninggal dunia pada 24 November lalu berikutan menderita angin ahmar.

Ia menampilkan kehebatan seni persilatan Melayu dan Muay Thai dengan mengetengahkan gandingan dua pelakon hebat tanah air iaitu Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim sebagai peneraju utama.

Siku 12 mengisahkan Atid yang meminta bapanya, Ayah Man menurunkan seni mempertahankan diri, Siku 12. Ayah Man pada mulanya mengelak kerana enggan mengulangi sejarah hitam lamanya.

Namun atas desakan, Ayah Man bersetuju dengan kehendak anaknya. Atid kemudian dikhianati oleh rakannya, A-Wut setelah Ayah Man mengajar jurus persilatan itu.

Tilam Perca (Astro First)

filem terbaru

Sutradara yang dikenali sebagai 'Pengarah Air Mata', Rashid Sibir kembali semula dengan karya terkini, Tilam Perca.

Membawakan kisah seorang nenek yang dipandang dan dilayan hina oleh kedua-dua anak lelakinya serta menantunya, walaupun dia menggadaikan nyawa dan harta untuk mereka.

Reda menerima hakikat diabai permata hati, kasihnya sebagai ibu dan nenek masih ada buat anak-anak dan cucu tercinta.

Halimun (Astro First)

filem malaysia 2022

Bukan sekadar elemen seram, filem Halimun turut diselitkan dengan kisah mistik dari sisi berbeza.

Menampilkan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Puteri Balqis Azizi, ia menceritakan kisah Zahir yang berkahwin dengan wanita yang tidak diketahui latar belakangnya, Laila.

Zahir kemudiannya meminta bantuan penyelesai masalah paranormal, Adi untuk meleraikan beberapa kejadian aneh yang dialami selepas berkahwin, namun keadaan menjadi lebih tidak terjangka.

Kan Cheong (Astro First)

filem terbaru 2022 461

Nora Danish membintangi sebuah filem thriller drama, Kan Cheong bersama barisan pelakon seperti Jay Iswazir, Niezam Zaidi dan Shima Anuar.

Kan Cheong mengangkat cerita mengenai seorang gadis naif dan penakut bernama Ayu yang tinggal bersendirian dan mesti berjuang untuk hidupnya apabila dua lelaki asing muncul di rumahnya, selepas berita empat pesakit mental melarikan diri dari hospital.

Gila Gusti

filem melayu 2022 954

Era kegemilangan sukan gusti dijulang semula dalam filem aksi ‘Gila Gusti’.

Berunsur persahabatan, filem ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Ia berkisar tentang dua peminat gusti yang bekerjasama untuk membantu idola mereka mendapatkan semula semangat yang hilang menjelang kejuaraan gusti Asia Pasifik.

Antara pelakon yang menyertai filem ini ialah Syafie Naswip, Elizabeth Tan, Pekin Ibrahim, Dato Jalaluddin Hassan dan Aisar Khaled.

Jaga-Jaga Senariounion (Astro First)

movie melayu

Selepas 11 tahun berlalu, perintis lawak berkumpulan, Senario kembali menggabungkan barisan anggotanya (kecuali Lan Pet Pet) menerusi filem Jaga-Jaga Senariounion yang disiarkan di saluran Astro First.

Menceritakan rombongan keluarga Dato' Hamdan menemani anak mereka, Amin ke rumah pengantin perempuan untuk sebuah majlis akad nikah, namun kunjungan dengan sembilan dulang bernilai RM50,000 itu telah diserang perompak dan kesemua dulang mereka dilarikan. Saiful, seorang penyiasat insurans meneliti semula kejadian itu kerana menganggap adanya unsur sabotaj.

Untuk senarai filem Melayu terbaik 2022, baca artikel: 10 Filem Melayu Malaysia Terbaru & Terbaik 2022 - Mesti Tonton!

          

Baca: 8 Filem Melayu Malaysia Terbaru 2023 Mesti Tonton!

Baca: 10 Filem Melayu Malaysia Terbaru 2023 Mesti Tonton!

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)