Kita semua mungkin pernah mendengar pepatah "Rumahku Syurgaku", di mana rumah merupakan tempat untuk berehat, menenangkan fikiran dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Namun, bagi sesetengah keluarga, pulang ke rumah bukanlah sesuatu yang menyeronokkan jika rumah itu sering mengalami gangguan makhluk ghaib.

Sesetengah rumah yang berhantu biasanya mengalami gangguan seperti kedengaran suara ghaib, penampakan lembaga, bunyi ketukan atau tapak kaki dan sebagainya. Ada juga sesetengah kes di mana gangguan yang lebih teruk berlaku seperti disentuh atau dirasuk. Berikut adalah senarai beberapa rumah yang paling berhantu di dunia.

10. Istana Beau-Séjour - Portugal

istana beau s jour

Rumah besar yang diberi nama Istana Beau-Séjour ini dibina pada kurun ke-19 di Lisbon dan dikenali sebagai lokasi paling berhantu di Portugal. Penampakan lembaga di situ dikenal pasti sebagai Baron of Glória yang tinggal di situ pada kurun ke-19. Dia sering dilihat berjalan di koridor serta laman kediaman ini.

Pekerja dan pelawat sering melaporkan pelbagai kejadian aneh berlaku seperti kehilangan objek atau ia dialihkan. Begitu juga tingkap dan pintu yang kadangkala terbuka dan tertutup sendiri tanpa kehadiran angin. Lebih menyeramkan ialah bunyi loceng kerapkali kedengaran, sedangkan tempat itu tidak mempunyai loceng.

Walaupun tempat itu kini digunakan oleh majlis perbandaran sebagai tapak peninggalan bersejarah di Lisbon, kejadian aneh tidak pernah berhenti mengganggu sesiapa sahaja yang berada di situ.

9. Raynham Hall - England

raynham hall

Raynham Hall terletak di Norfolk England dan mempunyai kawasan seluas 7000 ekar. Rumah ini terkenal dengan roh "Brown Lady" yang menghantui bukan sahaja rumah, tetapi keseluruhan kawasan halaman. Lembaga ini dipercayai milik Lady Dorothy yang pernah tinggal di sini pada tahun 1700-an.

Lembaga ini diberi nama "Brown Lady" kerana beberapa orang saksi pernah melihatnya memakai pakaian berwarna perang. Salah satu bukti kewujudannya yang terkenal ialah apabila 2 orang jurugambar berjaya menangkap gambarnya berdiri di atas tangga pada tahun 1930-an.

Khabar angin mengatakan Lady Dorothy dilayan dengan teruk oleh suaminya pada zaman dahulu dan dia sering dikurung di dalam rumah besar itu. Maka tidak hairanlah jika rohnya tidak tenteram dan sentiasa berlegar di kediaman itu.

8. The Old Vicarage - Sweden

the old vicarage

Old Vicarage terletak di sebuah perkampungan kecil Borgvattnet dan mempunyai reputasi sebagai rumah paling berhantu di Sweden. Ia dibina pada tahun 1876 namun penemuan pertama hantu di situ dilaporkan oleh seorang paderi pada tahun 1927.

Ketika kejadian paderi itu sedang naik ke loteng rumah untuk mengambil baju basuhannya namun mendapati kesemua pakaiannya telah  dicabut dari tempat penjemuran.

Banyak lagi kejadian yang dilaporkan berlaku di situ seperti penampakan lembaga wanita tua berpakaian serba perang dan bunyi-bunyi aneh yang tidak dapat dijelaskan.

Pernah seorang tetamu yang menginap di situ terkejut ketika terjaga dari tidur di tengah malam, apabila mendapati ada 3 wanita tua sedang memerhatinya. Seorang lagi paderi lain yang pernah tinggal di situ mendakwa dia sering ditarik dari kerusi oleh sesuatu yang tidak kelihatan.

7. Whaley House - Amerika Syarikat

whaley house

Whaley House terletak di San Diego, California dan menerima lebih dari 125 ribu orang pengunjung setahun kerana lokasi bersejarahnya. Thomas Whaley membeli kediaman ini pada 1855 kerana tempat ini pernah menjadi lokasi 'Yankee Jim' Robinson dihukum gantung pada tahun 1852.

Pelbagai perkara aneh berlaku di lokasi ini. Antaranya ialah bunyi penukul diketuk sedangkan tiada siapa yang menggunakannya, bunyi muzik dan ketawa dari dalam dinding, lembaga yang sering melihat ke luar tingkap.

Ada juga laporan mengatakan terdengar bunyi kanak-kanak berlari, ketawa dan menangis serta melihat satu lembaga budak perempuan yang sering bermain di ruang makan.

Anak kepada pasangan Whaley iaitu Violet telah membunuh diri di rumah itu dan ramai percaya lembaga gadis itu sebenarnya yang menghantui tingkat 2 rumah itu. Malah, lembaga Thomas dan isterinya Anna Whaley juga sering dilihat berlegar di kawasan tangga rumah itu.

6. Winchester Mystery House - Amerika Syarikat

winchester mystery house

Sarah Winchester adalah pewaris kepada perusahaan senapang yang terkenal Winchester. Dia telah membeli kotej 8 bilik di tanah sebesar beberapa ekar di San Jose, California.

Kediaman itu kemudian menjadi tidak dikenali lagi apabila Sarah mengupah ramai kontraktor untuk membina serta menambah ruangan di rumah itu dan ia berterusan selama 36 tahun sehingga dia meninggal pada 1922.

Dia lakukan ini kerana percaya dirinya dihantui oleh hantu orang yang telah mati ditembak menggunakan senapang Winchester. Binaan rumah ini begitu misteri sehingga ada tangga yang menuju ke ruangan mati, ruang tamu yang mengelirukan serta pintu yang mempunyai dinding di belakangnya apabila dibuka.

Pelbagai bunyi suara dan tapak kaki kedengaran terutamanya pada tingkat 3 rumah ini. Di bahagian bawah tanah pula, lembaga seorang lelaki yang memakai pakaian serba putih sedang menolak kereta sorong kerap dilihat.

5. Monte Cristo - Australia

monte cristo

Dikenali ramai sebagai salah sebuah rumah paling berhantu di Australia, Monte Cristo merupakan rumah agam era Victoria yang dibina pada tahun 1876 oleh Christopher William Crawley.

Pelbagai tragedi telah berlaku di sini seperti seorang budak kecil pernah dibuang dari atas tangga, budak penjaga kuda dibakar sehingga mati dan seorang pembantu rumah jatuh dari beranda

Malah, lebih mengejutkan apabila anak lelaki salah seorang penjaga bangunan telah dirantai selama 40 tahun bersebelahan mayat ibunya. Salah seorang penjaga bangunan yang lain pula pernah dibunuh di kediaman ini.

Mereka yang pernah tinggal di sini seringkali merasai kehadiran pemilik asal rumah ini iaitu Christopher dan Elizabeth Crawley. kejadian seperti bahu dipegang, nama dipanggil, rasa diperhatikan serta mendengar bunyi tapak kaki kerap berlaku malah terdapat beberapa photo lembaga yang diambil secara tidak sengaja.

4. Borley Rectory - England

borley rectory

Terletak di Essex, Borley Rectory sering dirujuk sebagai rumah paling berhantu di England. Ia dibina pada tahun 1862 di atas tanah bekas sebuah biara lama. Sebuah akhbar telah melaporkan penampakan lembaga seorang biarawati pada tahun 1929 dan seorang penyiasat fizik iaitu Harry Price telah diminta untuk menyiasat dakwaan paranormal itu.

Biarawati itu sering dilihat berkeliaran di sekitar taman kediaman itu dengan mukanya tunduk kesedihan. Dakwaan yang lebih menakutkan ialah ada laporan dari saksi yang terlihat cahaya pelik, terdengar bunyi tapak kaki, bisikan serta bunyi kereta kuda di luar kediaman.

Bahkan, penampakan lembaga juga sering dilaporkan seperti lelaki tanpa kepala, budak perempuan berpakaian putih dan juga tukang bina asal rumah itu, Henry Bull.

Pada tahun 1939 terjadi satu kebakaran yang memusnahkan rumah itu dan ianya dirobohkan sepenuhnya pada tahun 1944. Walaupun rumah itu telah tiada, masih banyak kejadian paranormal dilaporkan seperti pengunjung dibaling dengan batu.

3. Amityville Horror House - Amerika Syarikat

amityville horror house

Terletak di New York, Rumah Seram Amityville telah menjadi inspirasi kepada penghasilan filem The Amityville Horror. Ia menjadi lokasi pembunuhan besar-besaran pada tahun 1974 di mana seorang lelaki berusia 23 tahun membunuh seluruh ahli keluarganya - termasuk kedua-dua ibu bapa dan empat adik-beradiknya - semasa mereka sedang tidur.

Beberapa bulan kemudian, keluarga Lutz berpindah ke rumah itu dan mereka mengalami pelbagai pengalaman mencemaskan yang masih menghantui mereka sehingga ke hari ini.

Keluarga Lutz sering terbau minyak wangi dan melalui kawasan yang tiba-tiba sejuk di sekitar rumah. Mereka sering terjaga setiap malam tepat jam 3:15 pagi iaitu waktu yang sama pembunuhan dilaporkan.

Apa yang lebih menyeramkan, mereka menyaksikan pelbagai objek terbang melintasi bilik, patung salib mereka diterbalikkan, lelehan lendir berwarna hijau keluar dari dinding dan mereka juga biasa melihat sepasang mata entiti yang tidak dapat dikenal pasti merenung tajam ke arah mereka. Maka, tidak hairanlah lokasi ini menjadi salah satu rumah paling berhantu di Amerika Syarikat.

2. Ladang Myrtles - Amerika Syarikat

ladang myrtles

Dikenali sebagai salah sebuah rumah paling berhantu di Amerika Syarikat, Ladang Myrtles yang terletak di St. Francisville, Louisiana ini dibina oleh Jeneral Dave Bradford pada tahun 1796.

Dikhabarkan sekurang-kurangnya 12 roh hantu yang mendiami ladang ini. Ramai orang yang telah menyaksikan penjelmaan roh yang dilaporkan menyerupai hamba ketika zaman Perang Saudara.

Salah satu hantu itu adalah seorang kanak-kanak perempuan bernama Chloe. Chloe pernah dilihat berdiri di antara dua buah bangunan di situ dalam sekeping gambar yang diambil.

Salah satu lagi gambar terkenal pernah diambil di ladang ini mempunyai penampakan seorang budak perempuan sedang memerhatikan ke arah luar tingkap, tepat ke arah kamera. Tiada siapa mengenali budak itu jadi ia diberi nama "Budak Hantu".

1. Ancient Ram Inn - England

ancient ram inn 666

Ancient Ram Inn terkenal sebagai rumah penginapan paling berhantu di seluruh England dengan lebih dari 20 roh hantu mendiami bangunan di sini. Kediaman yang kali pertama dibina pada tahun 1145 ini terletak di Wotton-under-Edge di Gloucestershire.

Lagenda mengatakan ia dibina di atas tapak perkuburan agama Pagan purba di mana upacara korban kanak-kanak pernah dilakukan. Malah, tapak bangunan ini juga dikatakan pernah menjadi tempat ahli sihir dibakar dan pembunuhan anak kepada seorang penjaga penginapan di sini yang digantung sehingga mati di atas loteng bangunan ini.

Telah ramai tetamu yang menginap di sini yang lari keluar pada waktu malam dengan mengatakan mereka menyaksikan pelbagai perkara yang menakutkan. Ada yang menyaksikan perabot berterbangan di dalam bilik dan objek berpusing dan bergerak dengan sendirinya.

Ada juga yang ditolak jatuh dari katil, terlihat budak perempuan di laluan utama dan paderi wanita duduk di dalam bilik. Begitu juga dengan pelbagai bunyi yang menakutkan seperti kanak-kanak menangis, menjerit dan bermain.

Rujukan:

1. Toptenz

2. Hostel World

3. Youtube


tags : , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)