Oleh pada 14 Sep 2019 kategori

Tidak dapat dinafikan, pada ketika ini - kita sedang berada dalam zaman yang layak digelarkan sebagai zaman kegemilangan filem bergenre adiwira atau 'superhero' - dengan dua penerbit besar iaitu Marvel dan DC saling bersaing antara satu sama lain; dalam menyajikan filem-filem adiwira yang sangat diminati.

Oleh kerana kedua-dua penerbit itu telah pun mempunyai legasi panjang dengan pengenalan watak dan jalan cerita yang sudah pun popular dan diketahui ramai, majoriti masyarakat sudah pastilah akan tertumpu kepada filem-filem yang mempamerkan watak popular ini di layar perak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau demikian, ada banyak lagi filem adiwira yang cuba membawakan sesuatu yang jauh berbeza berbanding apa yang selalu dipertontonkan. Berikut adalah lima filem adiwira yang penulis rasakan layak untuk mendapat perhatian anda, berani membawakan perbezaan yang agak lari daripada stereotaip filem adiwira biasa.

1. Brightburn

brightburn lukisan

'Brightburn' adalah filem paling baru dalam senarai ini - tetapi penulis perlu perjelaskan terlebih dahulu. Berbeza dengan adiwira, 'Brightburn' memaparkan watak antagonis sebagai watak utama ceritanya. Apa yang lebih menarik, 'Brightburn' tidak boleh dilihat hanya sebagai sebuah filem anti adiwira tetapi sebenarnya lebih dekat dengan sebuah filem seram yang sangat menyenakkan dada penontonnya.

Filem 'Brightburn' mengambil inspirasi daripada kisah asal-usul Superman, tetapi mengubah perspektif jalan ceritanya - bagaimana watak Superman yang dihantar ke bumi, tidak mempunyai hati yang baik tetapi sebaliknya seorang berhati celaka?

Sekiranya anda bukan seorang penonton filem seram atau mudah ditakutkan dengan imej-imej ganas, kami nasihatkan terlebih dahulu - filem ini bukan untuk anda. Banyak aksi dan visual dalam filem ini mampu mengganggu lena anda apatah lagi yang melakukannya hanyalah seorang kanak-kanak berwajah biasa.

2. Chronicle

chronicle michael b jordan

Pada awal kemunculannya, 'Chronicle' dipuji kerana cuba membawa pembaharuan dalam genre filem adiwira. Dilihat mendapat inspirasi daripada filem-filem seperti 'The Blair Witch Project' dan 'Cloverfield' yang menggunakan rakaman satu kamera sebagai mod penataannya.

Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini bermula seperti drama-drama remaja biasa sebelum mula berubah semakin kasar jalan ceritanya, seiring dengan perubahan tona nasib 3 sahabat yang menjadi tunjang utama filem ini.

Diterbitkan pada tahun 2012, 'Chronicle' tidak berjaya membawa perubahan seperti apa yang diharapkan pengeluarnya tetapi sekurang-kurangnya berjaya membuktikan idea kreatif masih boleh diterapkan ke dalam tema genre adiwira. Filem ini juga menjadi titik tolak meningkatnya populariti aktor Michael B. Jordan, penjahat utama dalam filem 'Black Panther' serta Johnny Storm dalam filem 'Fantastic Four.'

3. Kick-Ass

kick ass aaron taylor chloe grace

'Kick-Ass' merupakan antara filem berasaskan komik adiwira yang banyak menjentik minda kita tentang tanggungjawab seseorang, terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat serta peranan yang patut dimainkan kita. Oleh sebab itulah semasa filem pertamanya diterbitkan, 'Kick-Ass' sangat diminati kerana watak utamanya 'Kick-Ass' hanyalah seorang budak biasa yang tak tahu apa-apa hanya berharap kepada keupayaannya menahan sakit yang luar biasa.

Walaupun Kick-Ass merupakan watak utama filem ini, tunjang sebenar filem ini adalah watak adiwira anak beranak Hit-Girl dan Big Daddy, lakonan cemerlang Chloe Grace Moretz dan Nicolas Cage. Sekiranya anda salah seorang peminat lakonan pelik Nicolas Cage, anda pasti akan gemar watak Big Daddy yang dimainkan olehnya. Separuh siuman, separuh gila, semua yang menonton filem ini pasti akan teringat bagaimana Big Daddy dibunuh.

Kemunculan dalam 'Kick-Ass' membantu melonjakkan aktor Aaron Taylor-Johnson, membolehkan dia muncul sebagai watak Quiksilver dalam filem Captain America The Winter Soldier dan menjadi antara watak penting dalam filem Avengers : Age of Ultron. Nicolas Cage meneruskan karier filem adiwiranya, memegang watak utama Ghost Rider dalam dua filem dan menjadi pelakon suara untuk watak Superman dan Spiderman dalam filem 'Teen Titans Goes to The Movie' dan 'Spiderman-Into the Spider-Verse.'

4. The Incredibles

incredibles pixar disney

Salah sebuah filem animasi klasik keluaran Pixar selain daripada Toy Story, The Incredibles menggunakan latar belakang zaman kegemilangan komik sebagai rekaan watak sebelum meletakkan watak-watak itu dalam zaman moden, untuk melihat bagaimana corak hidup mereka.

Sukar untuk dikategorikan genre sebenar filem ini, sama ada sebuah filem animasi keluarga atau animasi adiwira - berikutan kemahiran Pixar mengadunkan kedua-dua elemen dengan sangat berjaya dan cantik garapannya. Menggunakan model adiwira yang sudah diketahui ramai, setiap ahli keluarga Parr yang menjadi watak utama diberikan identiti yang unik - membolehkan kita sebagai penonton mempunyai satu watak kegemaran yang berbeza-beza sesama kita.

Filem kedua dalam siri ini walaupun tetap diterima baik, dikritik seakan gagal menyampaikan sesuatu yang baru apabila Pixar dikatakan cuba mengambil jalan selamat dalam penceritaaannya. Tidak dapat dinafikan kritikan itu ada benarnya, apatah lagi apabila filem kedua siri ini terbit dalam tahun 2018 - ketika demam filem adiwira sedang melanda dan penonton mempunyai jangkaan yang terlalu tinggi tahapnya.

5. Unbreakable

unbreakable m night shyamalan

Bercakap tentang pengarah M. Night Shyamalan, pasti kita tidak dapat lari daripada membincangkan tentang identiti filem beliau yang gemar 'menipu' penonton; seperti filem The Sixth Sense, Signs dan The Village. Bagaimanapun, apabila dia menulis dan mengarahkan filem 'Unbreakable,' kemampuan pengarah ini sebenarnya mampu meliputi banyak genre - apatah lagi sebuah filem adiwira yang agak luar biasa situasinya.

'Unbreakable' menampil dua aktor legenda Bruce Willis dan Samuel L. Jackson dalam sebuah filem adiwira yang mana adiwiranya hanyalah orang-orang kebanyakan seperti kita yang langsung tidak faham kebolehan sendiri. Lebih kepada sebuah filem yang mengkaji watak berbanding cuba mempersonakan penonton, setiap adegan dan dialog dalam filem ini mempunyai sentuhan Shyamalan yang unik dan segar berbanding filem adiwira zaman tersebut.

Sejak mulanya ditulis sebagai sebuah trilogi, hanya pada tahun 2016 kisahnya disambung dalam filem 'Split' memaparkan James McAvoy sebagai Kevin, seorang lelaki yang mempunyai 24 personaliti berbeza dan disudahkan dalam filem 'Glass' yang menjadi penutup kepada trilogi ini.

Di antara ketiga-tiga filem, pada pendapat penulis 'Unbreakable' dan 'Split' perlu anda tonton kerana kedua filem itu bukan saja menghiburkan, malahan mempunyai isi yang agak mendalam. 'Glass' agak membosankan serta merupakan penamat yang agak mengecewakan, terlalu cuba membawakan kelainan pada temanya - menghampakan jutaan peminat siri ini setelah menunggu lebih 18 tahun lamanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)