Oleh pada 20 Jun 2021 kategori

20 tahun yang lalu, Robert Hanssen ditangkap dan didakwa melakukan pengintipan untuk Kesatuan Soviet dan kemudian, Rusia. Dia mengaku bersalah terhadap 15 tuduhan pada Julai 2001 dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan untuk dibebaskan.

Lebih mengejutkan, Hanssen sebenarnya adalah pengintip Amerika yang dilantik oleh FBI. Hanssen dianggap sebagai agen dua muka paling bahaya dalam sejarah FBI. Berikut adalah kisahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Latar belakang Robert Hanssen

Robert Philip Hanssen dilahirkan pada 18 April 1944 dan merupakan anak kepada seorang pegawai polis di Chicago. Dia menerima ijazah sarjana muda dari Knox College, Illinois, dalam jurusan kimia. Pada masa yang sama, dia juga mempelajari bahasa Rusia.

Dia melanjutkan pelajaran dan memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam perakaunan dan maklumat. Hanssen mengikut jejak langkah bapanya apabila menyertai pasukan polis Chicago di mana dia ditugaskan menyiasat pegawai polis yang korup.

Setelah tiga tahun, dia berhenti daripada pasukan polis Chicago dan memohon untuk jawatan di FBI. Dia akhirnya diterima FBI pada 12 Januari 1976 dan dihantar bekerja di lapangan di Indiana bagi menyiasat penjenayah kolar putih.

robert hanssen 332

Dua tahun kemudian, Hanssen dipindahkan ke New York dan diminta melakukan perisikan terhadap Rusia. Pada ketika inilah dia menghubungi seorang perisik tentera Soviet dan menawarkan diri untuk menjadi ejen dua muka. Pada tahun 1985, Hanssen dilantik menjadi ejen KGB (pasukan perisik Soviet). 

Aset paling merugikan FBI

Pada 4 Oktober 1985, Robert Hanssen menghantar sepucuk surat kepada KGB. Surat itu mengandungi maklumat tiga pegawai KGB yang menjadi ejen dua muka dan bekerja untuk Amerika Syarikat.

Tidak lama selepas menjadi ejen dua muka untuk KGB, isteri Hanssen telah menemui dokumen mencurigakan di rumah mereka. Hanssen mengakui menjual maklumat kepada Soviet tetapi mengatakan ia adalah maklumat tidak penting.

Isterinya yang merupakan penganut Kristian yang alim menyuruh Hanssen membuat pengakuan kepada paderi dan mendermakan wang yang diperolehi daripada KGB. Hanssen menuruti supaya rahsianya terselamat.

Pada tahun 1987, Hanssen telah dipanggil penyelianya untuk mencari seorang pembelot yang telah mengkhianati ejen Amerika yang melakukan risikan di Rusia.

Tanpa FBI mengetahui sebenarnya dalang yang dicari Hanssen adalah dirinya sendiri. Dia cuba melencongkan siasatan sehingga kes itu ditutup tanpa sebarang tangkapan.

kgb

Pada 1989, Hanssen sekali lagi menjual maklumat penting kepada Kesatuan Soviet. Apabila Kesatuan Soviet merancang untuk membina kedutaan baru di Washington D.C, FBI telah membina sebuah terowong rahsia di bawah kedutaan itu bagi tujuan pengawasan.

Hanssen yang diberi tanggungjawab mengkaji pelan bangunan itu telah menjualnya kepada Soviet dengan harga RM 227,000. Semua rancangan FBI untuk mengintip kedutaan Soviet berjaya digagalkan.

Agen dua muka (Double agent) untuk Rusia

Apabila Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991, Robert Hanssen menjadi cemas kerana risau pembelotannya terhadap negara akan terbongkar. Dia mengambil keputusan untuk berhenti menjadi ejen dua muka.

Setelah lama menyepi, dia kembali menjadi pembelot negaranya. Ketika itu, Hanssen merupakan Pegawai Perhubungan FBI di Jabatan Negara Amerika Syarikat. 

cia 237

Dia menyambung semula karier ejen dua mukanya tetapi kali ini untuk SVR (Perkhidmatan Perisik Luar) Rusia. Selama menjadi ejen dua muka, dia menerima habuan dalam bentuk wang dan barang kemas seperti emas atau berlian.

Tiada siapa dari FBI mengesyakinya walaupun sering berpakaian mewah dan menghabiskan wang di kelab tarian bogel.

Sepandai-pandai tupai melompat

Pada tahun 2000, Hanssen melakukan satu kesilapan besar di mana dia tersalah menuduh seorang ejen CIA bernama Brian Kelley sebagai tali barut KGB. Berikutan kes itu, FBI mula mengubah cara mereka menyiasat dalang yang menjual maklumat negara.

FBI membayar RM 29 juta kepada seorang bekas pengintip KGB bagi mendapatkan dokumen ejen dua muka yang disimpan oleh SVR. 

Maklumat pada dokumen itu sepadan dengan profil Robert Hanssen. Ia merangkumi masa, tarikh, lokasi, rakaman suara dan bungkusan yang mempunyai cap jari Hanssen. FBI mula memerhati Hanssen setiap masa  dan memasang pepijat. 

brian kelly

Ejen CIA Brian Kelley

Pada 18 Febuari 2001, Hanssen ditahan di sebuah taman di Vienna, Virginia, ketika menghantar maklumat sulit. FBI menemui satu lagi bungkusan berhampiran mengandungi wang RM 207,000 yang dipercayai sebagai upahnya.

Ejen FBI mendakwa, ketika diberkas Hanssen sempat berkata "Kenapa kamu ambil masa begitu lama untuk menangkapku?"

Hukuman berat pembelot negara

Bagi mengelak daripada dijatuhkan hukuman mati, Hanssen membuat perjanjian akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Pada 6 Julai 2001, Hanssen telah dijatuhkan hukuman 15 kali penjara seumur hidup tanpa parol. Ini kerana Hanssen telah menyebabkan ratusan ejen FBI dipenjara atau dibunuh pihak KGB dan SVR.

perbicaraan robert hanssen

Dia menjalani hukuman di penjara kawalan ketat di Colorado bersama-sama penjenayah berat lain dan ditempatkan di dalam sel kecil selama 22-23 jam sehari. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)