Oleh pada 28 Jan 2024 kategori

Era yang kita sedang lalui sekarang, seringkali dilabelkan sebagai zaman moden - ekoran kemampuan teknologi yang telah berjaya dibangunkan.

Mungkin kita belum dapat melihat kereta terbang atau robot pembantu rumah yang mampu menggantikan tenaga kerja manusia, namun kemodenan yang kita capai harus kita akui telah banyak mengubah dan juga memudahkan hidup kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu dalam beberapa aspek besar, kemodenan yang ada telah menyebabkan runtuhnya tradisi atau budaya yang telah terbina sekian lama; diganti 'tradisi moden' yang realitinya indah khabar dari rupa.

1. Barangan rosak? Lebih mudah beli baru dari baiki

barangan rosak mudah dibuang daripada dibaiki

Kami yakin ramai di antara anda pernah berhadapan situasi di mana peranti milik anda, contohnya seperti televisyen, telefon pintar, peti sejuk, mesin basuh dan sebagainya rosak. Anda berpendapat 'ah! Daripada beli baru, lebih baik baiki.'

Malangnya bila anda berjaya mendapatkan sebut harga untuk kos pembaikian, jelas sekali kos yang bakal dikenakan membuatkan anda berkata 'beli baru lebih baik kalau tinggi macam ni kos baikpulihnya!'

Banyak peranti zaman sekarang direka bentuk supaya ada had usianya. Kami pernah terangkan tentang isu ini tak lama dahulu. Tetapi aneh bukan kenapa sistem ekonomi pengeluaran produk mencapai ke tahap ini.

Seolah-olah kita disarankan agar membuang saja peranti lama kita tanpa membaikinya, tetapi dalam masa yang sama kerajaan dan pengeluar berkempen mahu kita memelihara alam sekitar, mengurangkan sisa pepejal dan elektronik dan mengitar semula.

2. Pemilikan ke atas sesuatu yang digital

kita hilang hak ke atas pembelian digital

Setakat ini penulis belum lagilah berhadapan situasi di mana sesuatu yang dibeli secara digital, hilang akibat masalah pelesenannya. Tetapi banyak pengguna khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah telah berdepan masalah ini.

Media yang telah mereka beli dalam versi digital seperti filem, judul permainan video, lagu dan sebagainya ditarikbalik daripada boleh digunakan pengguna yang sudah membayar - menyebabkan mereka tiada lagi akses kepada media tersebut.

Apa yang menyulitkan keadaan, ada banyak faktor boleh menyumbang kepada masalah ini. Selain daripada faktor pelesenan yang sudah kami sebutkan di atas, faktor kos dan masalah kepada syarikat pengendali juga boleh menyebabkan pembeli tidak lagi dapat menikmati media yang telah mereka beli secara sah.

Bila terjadi perkara sebegini, tidak ada pihak yang tampil untuk menampung kerugian pengguna yang telah hilang pembelian mereka dan pengguna biasanya terpaksa 'redha' sajalah dengan apa yang telah berlaku - melainkan mereka sanggup membuat tuntutan di mahkamah.

3. Tiada privasi

kita kehilangan privasi

Adakah anda pernah menjadi subjek perbincangan orang lain di media sosial, tanpa kebenaran anda? Zaman sekarang, sesiapa saja boleh melakukan siaran langsung untuk disiarkan di internet tanpa mengambil kira hak dan privasi orang lain.

Anda mungkin sedang memarahi anak anda yang nakal di restoran. Gelagat anda mungkin sedang dirakam orang lain, lalu ditularkan di internet. Anda sedang makan dengan gelojoh kerana terlalu lapar? Ada 100 orang sedang menonton video anda secara langsung, tanpa anda tahu.

Anda sedang bertengkar dengan kekasih kerana hadiah yang anda belikan, dia campak ke lantai? Pergaduhan anda mungkin sedang di siar dalam media sosial kerana ada pihak merasakan pergaduhan anda itu 'menarik' untuk disiarkan - yang akhirnya menyebabkan anda dan pasangan anda yang malu dan dikecam.

Orang ramai sudah tidak lagi ada rasa hormat mahu menghormati privasi orang lain, ketika di tempat awam daripada terlibat dalam rakaman video. Yang buat hati lagi panas, kalau ditegah orang sebegini daripada terus merakam - mereka merasakan apa yang mereka buat itu sesuatu yang tidak salah dan sepatutnya dikongsi seluas mungkin.

4. Ramai orang jadi iklan

semua orang jadi iklan

Masih ingatkah satu masa dahulu semasa kita menonton TV, perkara paling kita benci berlaku adalah slot iklan yang tiba-tiba muncul? Memang kacau betul kan?! Tak ada siapa pun suka iklan!

Malahan pelanggan siaran TV satelit berbayar pun mengamuk bila syarikat pengendali mula menyiarkan iklan dalam setiap saluran. Ramailah yang ugut nak tamatkan langganan kerana mereka merasakan iklan tidak patut ada dalam siaran. Tetapi sekarang?

Anda mungkin dah jadi iklan. Anda mungkin setiap hari mempromosikan sesuatu sama ada di TikTok atau Instagram. Anda ada kongsikan pautan iklan affiliate yang memberikan anda komisyen setiap kali ada yang membeli barangan yang anda kongsikan.

Nak membaca atau menonton sesuatu yang dimuatnaik oleh pempengaruh ramai pengikut pun, pasti ada iklan. Kami pun sama la. Hahahah!

5. Hiburan menggantikan informasi

hiburan adalah informasi

Di antara banyak budaya baru yang muncul akibat ledakan teknologi, bagaimana hiburan mula diangkat sehingga menggantikan informasi adalah sesuatu yang tak sepatutnya berlaku.

Garis pemisah di antara informasi sebenar tentang sesuatu dan informasi yang hanyalah hiburan kosong sudah menjadi sangat kabur. Sehinggakan ramai di antara kita mula menganggap perkara-perkara remeh sebagai sesuatu yang wajib tahu. Remeh bagaimana?

Apa selebriti makan hari ini. Dia beli apa hari itu. Siapa gaduh dengan siapa. Keluarga mana berpecah belah hari ini? Semua isu yang nyata tidak berfaedah, bodoh dan sia-sia menjadi sangat popular sehinggakan diangggap sebagai informasi wajib tahu.

Kalau tak ikut, tak tahu, itu tandanya kita ketinggalan zaman. Kesannya?

Kita akan nampak kesannya 10 ke 20 tahun akan datang bila mana graduan universiti baik yang menamatkan ijazah, sarjana malahan doktor falsafah sekalipun - mereka hanya mampu membincangkan isu hanya pada perkara asas.

Tidak ada kedalaman dalam penghujahan mereka kerana hiburan sudah menggantikan informasi, sebagai perkara yang perlu ikut, perlu tahu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)