Budaya masyarakat Jepun memang banyak diamalkan dalam negara kita, khasnya di Jabatan-Jabatan Kerajaan yang mengamalkan prinsip 'kaizen'. Perkara sama juga acapkali diulang oleh Perdana Menteri kita sendiri, yang cukup gemar mempromosikan budaya dan semangat orang Jepun untuk dipegang kita semua.

Tidak dapat kami nafikan Jepun mempunyai banyak budaya dan adat yang unik, serta berupaya mendidik orang ramai dengan cara yang tidak formal malahan boleh berlaku secara semulajadi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

hikikomori di jepun

Melihat banyaknya pengaruh budaya Jepun dalam pembentukan masyarakat kita, penulis ada juga terfikir, selain daripada budaya positif tidak adakah budaya negatif yang tak berapa sesuai untuk dijadikan panduan moral masyarakat kita? Ada. Ini lima yang kami rasakan sangat-sangat tak senonohlah namun diamalkan juga masyarakat mereka.

1. Layanan terhadap banduan hukuman mati

osaka detention centre

Dalam sistem Jepun, wujud perbezaan di antara banduan biasa dan banduan yang dah disahkan bakal berdepan hukuman mati. Mereka yang bakal dihukum, akan diasingkan dalam penjara-penjara khas di lokasi yang berbeza yang digelarkan pusat tahanan. Segala hal ehwal kebajikan mereka di situ, hanya bergantung kepada budi bicara pengelola pusat tahanan.

Semua tahanan tidak dibenarkan kebebasan seperti banduan biasa, dilarang berbual sesama mereka. Setiap banduan hukuman mati hanya dibenarkan keluar beriadah dua kali seminggu serta tidak dibenarkan bersenam dalam penjara sendiri. Tidak ada televisyen dibenarkan dan hanya 3 buku dibenarkan dalam simpanan mereka.

Apa yang menyedihkan, banduan hukuman mati tidak mengetahui tarikh akhir mereka. Selepas kelulusan hukuman dikeluarkan, hukuman wajib diselesaikan dalam tempoh 5 hari. Setiap banduan hanya akan mengetahui bila mereka akan digantung pada awal pagi hari hukumannya dan diberikan makanan terakhir. Selepas selesai hukuman, barulah pihak waris akan diberitahu hukuman sudah dijalankan. (rujukan)

2. Pecat pekerja dengan cara menyeksa jiwa

jepun budaya buruk

Di Jepun, syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja berhadapan kesukaran undang-undang untuk membuang pekerja yang bermasalah. Mereka mungkin akan disiasat atas pemecatan pekerja tersebut atau perlu melangsaikan pampasan pada kadar yang tinggi. Bagi memastikan pekerja itu berjaya dipecat, kebanyakan syarikat di Jepun mencipta sebuah bilik khas untuk menempatkan pekerja ini. Jangan terkejut pula syarikat gergasi seperti Hitachi, Sony dan Panasonic turut sama mengamalkan amalan serupa ya!

Pekerja yang ingin dibuang akan ditempatkan dalam sebuah bilik yang hanya mempunyai sebuah komputer beserta kerusi dan meja, dengan komputer tersebut biasanya mengandungi perisian ringkas. Pekerja itu akan diberikan kerja-kerja leceh seperti perlu memeriksa video CCTV berjam-jam lamanya atau melakukan kemasukan data - sehinggalah mereka sendiri tidak tahan dan mohon berhenti. Ada juga yang diwajibkan menonton skrin bagi mencari keganjilan dalam rancangan televisyen.

Panasonic misalnya, menubuhkan divisyen khas 'Business and Human Resources Development Center' bagi menempatkan golongan ini. Daripada 450 orang yang diletakkan dalam divisyen tersebut, 35 orang berhenti selepas tidak tahan dan 29 lagi minta ditukarkan secara suka rela. (rujukan)

3. Gila pachinko

tokyo pachinko gila

Pachinko adalah sebuah mesin di mana pemain perlu memasukkan bola ke dalam sasaran. Siapa berjaya akan mendapat lebih banyak bola yang boleh ditukarkan kepada hadiah di pusat permainan. Sekiranya pemain berjaya mendapat tiga simbol serupa pada mesin, 10,000 biji bola akan dihadiahkan pada pemain.

Terdapat tiga tahap mesin pachinko, Hanemono murah tetapi hadiahnya biasa-biasa saja. Deji-Pachi pula mesin pachinko dalam versi elektronik yang lebih moden. Bagi mereka yang benar-benar serius bermain pachinko, mereka biasanya bermain di mesin yang digelarkan Kenrimono yang mempunyai peraturan tertentu untuk menang.

Walaupun begitu, ramai orang sebenarnya bermain pachinko untuk berjudi walaupun realitinya, judi sebenarnya merupakan satu jenayah di Jepun. Selepas mengumpulkan bola-bola yang dimenangi dengan hadiah, pemain kebiasaannya akan menukarkan hadiah itu kepada duit di kaunter-kaunter tersembunyi yang dibuka di bahagian belakang kedai pachinko. (rujukan)

4. Hikikomori

hikikomori pencilkan diri

Golongan anak muda gemar mengasingkan diri mereka di dalam bilik, kerap berlaku di mana-mana. Bagaimanapun di Jepun, tabiat itu menjadi satu fenomena yang membimbangkan. Hikikomori membawa maksud 'memencilkan diri' sering menjadi pilihan anak muda Jepun, dengan anggaran lebih 700 ribu orang anak muda Jepun menyembunyikan diri mereka dalam bilik. Purata umur mereka 31 tahun.

Kes-kes yang diklasifikasikan sebagai hikikomori memerlukan seseorang memencilkan diri selama sekurang-sekurangnya 6 bulan dan tempoh tersebut bukanlah sesuatu yang jarang didengari. Ada yang senyap bertahun-tahun lamanya, duduk seorang diri jauh daripada hidup bermasyarakat.

Kebanyakan kes hikikomori berpunca daripada masalah yang dihadapi individu itu, menyalahkan diri sendiri atas sesuatu kejadian yang berlaku. Masalah tekanan pendidikan di Jepun yang terlalu mementingkan kedudukan dan persaingan juga menjadi antara penyebab masalah ini terus berleluasa. (rujukan)

5. Kodokushi

kodokushi mati sendirian

Sekiranya hikikomori memilih untuk memencilkan diri, kodokushi pula adalah fenomena mati sendirian yang kerap berlaku di Jepun, tak kiralah melibatkan orang tua ataupun anak muda. Statistiknya juga semakin meningkat, dengan jumlah kes menaik melibatkan semakin banyak golongan tahun ke tahun. Dalam tahun 2005, dianggarkan hampir 5 peratus pengebumian jenazah melibatkan individu kodokushi.

Fenomena ini dikatakan berlaku disebabkan oleh perubahan sistem hidup masyarakat Jepun yang kini tidak lagi hidup bersama, walaupun satu keluarga. Warga tua yang ditinggalkan anak-anak sendirian terpaksa berseorangan menempuh hidup dan akhirnya meninggal dunia sendiri tanpa diketahui. Dalam satu kes tahun 2000, seorang warga tua telah meninggal dunia, hanya ditemui selepas 3 tahun. Itpun kerana baki wang dalam akaunnya tidak lagi mencukupi dan pemotongan khidmat utiliti air dan elektrik perlu dijalankan.

Yang menjadi isu sekarang ini, fenomena ini mula melibatkan orang muda juga. Pada tahun 2017, dilaporkan bahawa jumlah kes kodokushi melibatkan orang muda semakin tinggi, dengan 238 kes dilaporkan pada tahun 2015 melibatkan individu berusia 20-an dan 30-an. 80 peratus daripadanya melibatkan individu lelaki. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)