Selain makanan dan minuman, tempat tinggal adalah satu keperluan bagi manusia. Tidak kiralah kecil atau besar, asalkan ianya dapat menjadi tempat perlindungan, tidur dan berehat sudah mencukupi bagi setiap manusia.

Malangnya, tidak ramai yang mampu memiliki kediaman yang serba lengkap akibat daripada masalah kewangan. Oleh itu, rumah setinggan menjadi pilihan. Perumahan setinggan ini boleh didefinasikan sebagai sistem perumahan yang dibina secara haram di tanah-tanah milik kerajaan atau individu lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

orang miskin filipina hidup di perkuburan

Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai Tower of David, iaitu sebuah bangunan yang terbengkalai di Venezuela yang dijadikan sebagai penempatan setinggan oleh penduduk miskin tempatan. Kali ini, kami ingin berkongsi pula mengenai kewujudan penempatan setinggan di kawasan perkuburan yang wujud di Filipina.

Antara kawasan perkuburan terbesar

kawasan perkuburan kristian

Cemeterio Del Norte merupakan nama sebuah kawasan tanah perkuburan yang terletak di Manila, ibu negara Filipina. Tanah perkuburan ini dibuka pada tahun 1904 dan dikatakan antara yang tertua dan terbesar di Filipina. Terdapat kira-kira 1 juta mayat yang telah disemadikan disini.

Uniknya, ianya bukan sekadar kawasan yang menempatkan mayat-mayat orang yang sudah meninggal dunia tetapi dijadikan kawasan penempatan setinggan. Masalah kewangan dan kekurangan rumah di Filipina menyebabkan kawasan ini kini didiami kira-kira 10 hingga 50 ribu orang yang menjadikan kawasan perkuburan ini sebagai rumah mereka.

Pada awalnya, ramai yang tinggal di kubur dan makam milik keluarga orang kaya yang membayar mereka untuk membersihkan dan menjaga kawasan perkuburan ahli keluarga mereka. Ada juga yang sekadar mengambil upah mengebumikan mayat di situ.

setinggan kawasan perkuburan

Golongan miskin ini menjadikan tapak kubur orang kaya yang memiliki binaan dan berbumbung sebagai tempat pilihan mereka untuk berteduh. Tanpa bekalan elektrik dan air, kehidupan golongan ini sangat sukar dan serba kekurangan.

Ada juga sesetengah penduduk berjaya mendapatkan bekalan elektrik daripada sambungan secara haram yang dilakukan. Untuk bekalan air, penduduk biasanya akan mendapatkannya daripada perigi awam yang terletak berdekatan.

Sudah menjadi pemandangan biasa melihat kanak-kanak bermain di kawasan perkuburan ini. Malah, dikatakan terdapat kedai runcit yang dibuka disini untuk keperluan penduduk tempatan. Walaupun dihimpit kemiskinan, kanak-kanak disini hidup bebas seperti kanak-kanak seusia mereka.

Pada waktu malam, mereka juga akan tidur disini. Bagi sesetengah orang, ianya mungkin sesuatu yang menyeramkan kerana terpaksa tidur di kawasan kubur, namun bagi mereka ianya sudah menjadi satu kebiasaan. Tiada isu gangguan hantu dan makhluk halus.

Kepelbagaian cara menjana pendapatan

kawasan perkuburan filipina

Bagi sesetengah penduduk disini, mereka dibayar sedikit upah untuk menjaga kebersihan kubur ahli keluarga mayat yang ditanam disini. Ada juga yang diupah menyediakan kawasan untuk penanaman mayat. Ketika waktu sibuk, puluhan mayat baru disemadikan disini dalam satu hari.

Namun, terdapat juga individu contohnya seorang lelaki berusia 54 tahun yang menggelarkan dirinya Father Ramona yang mengambil upah untuk mengetuai upacara sembahyang.

Setiap tapak perkuburan biasanya akan disewa selama 5 tahun. Selepas 5 tahun, sekiranya ahli keluarga mayat tidak lagi membayar wang penjagaan, abu dan tulang-tulang mayat yang sudah reput akan dibersihkan daripada tapak tersebut untuk membuka ruang kepada mayat baru untuk ditanam disitu.

Pelbagai masalah jenayah

perjudian

Seperti mana-mana kawasan setinggan, kawasan setinggan disini juga tidak dapat lari daripada pelbagai kegiatan jenayah seperti dadah, pelacuran, gangster dan sebagainya. Kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan di sekolah juga terdedah dengan kegiatan jenayah ini di usia yang begitu muda.

Sifat agresif Presiden Filipina, Rodrigo Duterte juga menyebabkan kawasan ini sering didatangani oleh penguatkuasa untuk memerangi aktiviti pengedaran dadah. Malah, akibat pergelutan dengan pihak berkuasa, beberapa kematian telah dilaporkan di sini.

Pada waktu malam, ibu bapa kebiasaannya akan mengarahkan anak-anak agar tidak berkeliaran kerana waktu inilah kegiatan jenayah biasanya berlaku. Malah, malam juga merupakan saat bahaya kerana pihak berkuasa biasanya menjalankan operasi pada waktu ini untuk memerangi kegiatan pengedaran dadah.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. Vice
  3. New York Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)