Kami tahu dalam zaman penuh informasi, kadangkala ada banyak berita yang mudah saja untuk terlepas daripada pandangan kita.
Jadi di sini kami kumpulkan lima berita meliputi lima topik berbeza iaitu dunia, ekonomi, sains, nasional dan juga Islam untuk memastikan anda pembaca Iluminasi dapat mengikuti berita-berita ini dengan mudah.
Berikut adalah berita-berita menarik yang dapat kami kongsikan untuk anda minggu ini.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Kes Jamal Kashoggi
Kami sudah melaporkan berkenaan insiden pembunuhan melibatkan Jamal Kashoggi. Jika anda belum membaca kisah beliau, kami cadangkan anda buka pautan tersebut. Kisah itu agak tragis.
Ketika ini, kes pembunuhan beliau memenuhi saluran berita utama. Banyak pihak saling salah menyalahkan, dengan tuduhan dan dakwaan dilakukan secara terbuka. Pada peringkat permulaan kes ini hanya melibatkan kerajaan Arab Saudi dan Turki, kini Amerika Syarikat sudah mula campur tangan dan nampaknya bakal mengheret kerajaan Russia yang dikritik tidak bersuara dalam isu ini.
Daripada perspektif kerajaan kita, Tun Mahathir Mohamad sudahpun mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pembunuhan kejam ke atas wartawan Jamal Kashoggi yang berlaku di pejabat konsulat Arab Saudi. (rujukan)
2. Kejatuhan saham di seluruh dunia
Sekiranya anda bimbang melihat kejatuhan harga saham di negara kita, anda perlu tahu kebanyakan pasaran besar dunia turut sama mengalami kejatuhan teruk. Ini memberikan pengaruh besar pada pasaran saham sedunia yang ketika ini menghadapi kesukaran untuk pulih.
Sebagai contoh indeks Dow Jones mengalami penurunan 600 mata dan indeks S&P 500 mata. Indeks komposit Nasdaq mengalami penurunan 329 mata, penurunan paling teruk indeks tersebut sejak 18 Ogos 2011. Ekonomi dunia ketika ini sedang mengalami tempoh merudum dan dijangkakan pemulihan pasaran akan mengambil masa, secepat-cepatnya tahun hadapan. (rujukan)
3. China mahu buat bulan buatan
Kami tidak mereka-reka cerita di sini - kerajaan China sedang merancang untuk membina bulan buatan bagi mencerahkan wilayah mereka pada waktu malam. Untuk projek pertama, bulan itu akan dilancarkan supaya mengorbit di atas wilayah Chengdu dengan perancangan pelancaran pada tahun 2020.
Bulan tiruan itu tidaklah bentuknya seperti bulan, tetapi merupakan sebuah satelit yang mempunyai fungsi serupa dengan bulan. Dilapisi bahan bersifat pemantul, 'bulan' itu akan memantulkan semula cahaya matahari pada waktu malam ke permukaan bumi dengan keluasan 50 km persegi.
Kerajaan China mengambil langkah ini dengan tujuan menjimatkan penggunaan elektrik yang digunakan dalam penyalaan lampu jalan. Dianggarkan dengan bulan tiruan ini, penggunaannya bakal membawa kepada penjimatan sebanyak RM726 juta setahun. (rujukan)
4. Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia - siapa yang dapat?
Kekecohan serta insiden pergaduhan melibatkan pembelian tiket perlawanan akhir Piala Malaysia seolah sudah jadi tradisi setiap tahun.
Apa yang membimbangkan, nampak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada penjualan tiket yang terhad. Bukan setakat tahun ini saja, malahan setiap tahun kita nampak perkara serupa berlaku. Sebagai contoh, walaupun 30 ribu keping tiket diperuntukkan untuk penyokong Terengganu, didapati hanya 2,000 saja dibuka untuk jualan di stadium sehingga mengecewakan lebih 5,000 orang penyokong yang sudah beratur sejak jam 6 pagi.
Insiden tolak menolak serta rempuh merempuh berebut tiket juga berlaku, ekoran kerisauan peminat yang takut tidak dapat menyaksikan sendiri perlawanan di stadium. Persoalannya - ke mana perginya tiket-tiket ini? (rujukan)
5. Sinead O'Connor memeluk Islam
Penyanyi terkenal pada era 80'an dan 90'an dengan fesyen kepala botak menjadikannya unik berbanding penyanyi wanita lain, Sinead O' Connor mengumumkan pada 26 Oktober 2018 beliau sudah berhijrah dan kembali memeluk Islam, menggunakan nama Shuhada' Davitt.
Shuhada' terkenal sebagai penyanyi yang menimbulkan banyak kontroversi sebelum ini, dengan salah satu aksi mengoyakkan gambar Pope John Paul II pada tahun 1992 ketika persembahan, mendapat kritikan orang ramai. Tindakan Sinead merupakan satu bantahan terhadap institusi Katolik yang dilihat berdiam diri kerana isu penderaan seksual melibatkan paderi Katolik yang terdedah ketika itu.
Mempunyai sifat yang agak agresif serta tidak takut menyuarakan pendapat, Sinead menukar namanya kepada Magda Davitt pada tahun 2017. Tidak diketahui adakah akan berlaku perubahan pada perancangan asal beliau mahu menerbitkan album baru pada tahun 2019, selepas menjadi seorang Muslimah secara rasmi.
Tahukah anda, Sinead pernah mengejutkan komuniti Katolik berikutan perlantikan dia sebagai seorang paderi Kristian pada tahun 1999? Perlantikan beliau dipertikaikan dengan dakwaan gereja yang menguruskan perlantikannya bukanlah sebahagian daripada gerakan gereja Katolik. Selain itu, wanita menjadi paderi berlawanan dengan pegangan ajaran Katolik yang hanya membolehkan lelaki dilantik. (rujukan)