kanak kanak uyghur

Aysu dan Lutfullah Kucar menerangkan dengan perlahan pengalaman mereka ditahan di sebuah sekolah kendalian kerajaan China, yang terletak di wilayah Xinjiang.

Selama hampir 20 bulan kedua adik beradik berketurunan Uighur itu dipisahkan secara paksa dari keluarga mereka, kepala mereka dibotakkan dan dipaksa menyertai program yang dirangka khas kerajaan komunis itu.

Ada masanya atas kesalahan kecil, kedua-dua adik beradik itu yang ketika kejadian baru berusia 4 dan 6 tahun didenda, dikurung dalam bilik gelap sendirian serta dihukum dengan pelbagai kaedah korporal.

Pada ketika kedua-duanya berjaya dibebaskan dan disambut ayah mereka Abdul Latif Kucar yang hadir dari Istanbul, Turki - Abdul Latif mendapati kedua-dua anaknya hanya pandai berbahasa Mandarin dengan tubuh badan kurus.

Pandangan mata mereka penuh dengan kesan trauma.

Pertembungan dua budaya berbeza

kanak kanak uyghur tahanan

Abdul Latif Kucar memilih untuk berhijrah ke Turki pada tahun 1986, meninggalkan Urumqi, ibu negeri Xinjiang yang satu ketika dulu merupakan pusat ekonomi Jalan Sutera yang terkenal di seluruh dunia.

Walaupun demikian, hubungannya dengan sanak saudara di sana masih utuh. Abdul Latif kerap berulang alik di antara kedua-dua buah negara itu.

Bagaimanapun masyarakat Uighur di sana mula berhadapan dengan siri-siri serangan keganasan dan penghapusan etnik, ekoran pertempuran di antara pejuang kebebasan wilayah itu dengan kerajaan China. Kesannya kepada peniaga seperti Abdul Latif cukup besar.

Dia yang memegang kewarganegaraan Turki mula menjadi sasaran, sehinggakan passport miliknya ditahan pihak berkuasa pada tahun 2015 memaksa dia kekal di China.

Hanya pada tahun 2017 passport miliknya dipulangkan dan Abdul Latif dihantar keluar kembali ke Turki seorang diri. Dia dilarang untuk kembali ke China, meninggalkan kedua-dua anaknya bersama ibunya Meryem Aimati di Umruqi.

Menumpang di rumah saudara, hidup ketiga beranak itu mula berhadapan gangguan pegawai tentera China yang sering melakukan rondaan. Pada tahun sama, selepas satu pemeriksaan mengejut dilakukan - Meryem ditangkap tanpa sebarang notis atau waran meninggalkan kedua-dua anaknya terpinga-pinga sendirian.

Saudara mara keluarga itu menjaga kedua-dua kanak-kanak malang itu sehinggalah pada bulan Februari tahun 2018, Aysu dan Luftullah juga hilang, dipercayai diculik dalam operasi pegawai tentera.

Pembersihan elemen etnik berpaksikan model pendidikan

sekolah uyghur tahanan

Sejak tahun 2017, kerajaan di wilayah autonomi Xinjiang telah mula menculik dan mengumpulkan ratusan ribu individu berketurunan Uighur majoritinya beragama Islam untuk ditempatkan di kem-kem tahanan.

Di sana mereka akan diajar tentang ideologi politik yang ingin diterapkan kerajaan China serta akan mempelajari kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Mandarin, bagi menghapuskan bahasa ibunda mereka. Bagi tahanan dewasa, selain daripada kelas-kelas mereka juga akan dikerah untuk bekerja di kilang-kilang tertentu.

Sementara untuk tahanan kanak-kanak seperti Aysu dan Lutfullah, selepas ditahan mereka akan dihantar ke sekolah-sekolah program latihan.

Lutfullah dihantar ke sebuah sekolah latihan yang terletak di bahagian selatan Urumqi ketika baru berusia 4 tahun sementara kakaknya, Aysu yang baru berusia 6 tahun di hantar ke sebuah sekolah berbeza bermula pada bulan mereka dilarikan.

Jadual harian kedua-duanya sama walaupun ditempatkan di sekolah berbeza.

Semua kanak-kanak berketurunan Uighur ini ditempatkan dalam sebuah asrama mengikut jantina, tanpa mengira had umur serta perlu berkongsi katil. Setiap pagi pemeriksaan asrama akan dilakukan sebelum semua pelajar diberikan sarapan, kebiasaannya jagung atau bubur nasi.

Selesai sarapan, pelajar akan dihimpunkan bagi sesi perhimpunan di mana mereka akan membaca kembali teks-teks berkaitan ideologi politik China beramai-ramai, diselang-selikan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik memuji Xi Jingping, Presiden China dan juga Wang Junzheng, ketua biro keselamatan wilayah Xinjiang.

Kelas dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar sebanyak 6 hari seminggu. Sesiapa saja ditangkap berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka akan dihukum.

Keluarga yang dipisahkan oleh kerajaan

kanak kanak uyghur tahanan china xinjiang

Selama hampir 2 tahun Abdul Latif memohon bantuan daripada wakil kerajaan Turki untuk membebaskan kembali keluarganya. Ada ketikanya dia akan melakukan tunjuk perasaan berseorangan di hadapan kedutaan China di Istanbul, bagi menyuarakan permintaannya.

Usahanya berhasil setelah kerajaan China meluluskan visa untuk sekali masuk, bagi mengambil pulang anak-anaknya melalui kerajaan Turki.

Pada tanggal hujung bulan November tahun 2019, Abdul Latif diterbangkan ke Urumqi. Setibanya di sana, dia dikawal ketat setiap masa serta perlu melaporkan lokasinya di balai polis setiap hari. Hotel penginapannya juga disediakan kerajaan China, bagi memudahkan proses pemantauan dijalankan.

10 hari menunggu, akhirnya sebuah kenderaan milik kerajaan tiba membawa kedua-dua anaknya kembali bersatu dengan ayahnya. Lidah mereka seakan-akan kelu, berhadapan kesukaran untuk berkomunikasi akibat pengalaman buruk yang telah mereka lalui.

Tetapi sayangnya, penamat gembira ini belum benar-benar lengkap tanpa kepulangan semula ibu mereka.

Apa berlaku kepada ibu adik beradik malang ini?

kad nikah orang uyghur

Walaupun merasa gembira dapat kembali bersatu dengan kedua-dua anaknya yang telah terpisah hampir 2 tahun, satu lagi tujuan Abdul Latif kembali ke Umruqi adalah untuk melawat isterinya Meryam.

Berbeza dengan dua anaknya yang boleh dibebaskan dari tahanan, Abdul Latif diberitahu isterinya telah pun dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan yang tidak diperjelaskan, kini ditahan di sebuah kompleks penjara berdekatan Kucha, tempat kelahiran Meryam.

Abdul Latif dibenarkan untuk bertemu Meryam di sebuah hospital, dimaklumkan agar tidak menyentuh isterinya dengan sekumpulan pegawai akan memantau semua aktiviti mereka.

Runtuh hati Abdul Latif apabila bertemu isterinya yang telah bertukar rupanya, kini sudah kurus cengkung serta tampak kurang sihat. Parut-parut akibat hukuman dan kesan gari memenuhi lengannya.

15 minit kemudian kumpulan pegawai itu memberitahu bahawa waktu lawatan telah tamat. Abdul Latif dan kedua-dua anaknya akan diterbangkan semula ke Turki meninggalkan ibu mereka yang perlu berdepan hukuman penjara, hanya disebabkan keturunan dan agamanya berbeza berbanding visi impian sebuah negara bernama China.


Artikel ini adalah ringkasan dan olahan semula artikel Uyghur kids recall physical and mental torment at Chinese boarding schools in Xinjiang yang diterbitkan oleh NPR pada 3 Februari 2022.



Hakcipta iluminasi.com (2017)