Selepas kematian Mao Zedong pada tahun 1976, pemerintahan China diambil alih oleh Deng Xiaoping yang naik menggantikan tokoh yang terkenal dengan gelaran 'Pengerusi Mao.' Di bawah Xiaoping, China memulakan dasar yang mengubah negara mereka menjadi kuasa ekonomi dunia yang boleh kita lihat ketika ini.

Walau bagaimanapun, disebabkan perkembangan ekonomi yang terlalu pesat - kebergantungan China kepada hasil minyak semakin bertambah. Ini menyebabkan China menjadi negara pengimport minyak terbesar dunia pada tahun 2017, majoriti bekalan minyak mereka datang daripada negara Asia Barat serta Angola.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk bekalan minyak tiba ke China, semua kapal perlu melalui Selat Melaka. Selat sempit ini merupakan satu kawasan yang sangat strategik untuk mana-mana negara mencipta sekatan, menghalang bekalan minyak hadir ke negara itu sekiranya situasi ketidakstabilan politik timbul.

Berikutan tekanan yang wujud disebabkan kebergantungan negara mereka kepada Selat Melaka, kerajaan China menamakan situasi yang mereka hadapi sebagai 'The Malacca Dilemma' atau 'Dilema Selat Melaka.' 

Titik sekatan yang sangat berkesan

chokepoint straits of malacca china dilemma

Walaupun sudah bergelar kuasa besar dunia yang digeruni serta disegani, satu kebimbangan utama kerajaan China adalah seandainya berlaku kegagalan di pihak mereka dalam memastikan cara hidup masyarakat China yang telah mereka bangunkan, gagal dikekalkan.

Kebergantungan China dengan laluan perdagangan lautan khasnya Selat Melaka telah dibincangkan secara teliti semasa persidangan di antara pimpinan Parti Komunis China (CCP) pada tahun 2003.

Diistilahkan sebagai 'Maliujia kunju', Presiden China ketika itu Hu Jintao menamakan satu per satu ancaman seandainya laluan perdagangan Selat Melaka dikuasai oleh kuasa asing yang cuba mengawal secara tidak rasmi navigasi yang berlaku dalam laluan selat tersebut; secara tersirat merujuk kepada Amerika Syarikat.

china kuasai selat melaka melalui terusan kra

Selepas persidangan tersebut, China memulakan gerakan bagi 'memecahkan' dilema yang melanda mereka secara besar-besaran; agar kebergantungan mereka kepada Selat Melaka dapat dikurangkan.

Antara langkah yang telah diperkenalkan adalah mula menggunakan laluan perdagangan alternatif serta menambah jumlah pembekal minyak dan tenaga yang berurusan dengan China.

Kepentingan Selat Melaka dalam zaman moden

pelabuhan melaka zaman dahulu

Sejak zaman dahulu, kepentingan Selat Melaka sebagai laluan perdagangan sudah diperkatakan kerajaan-kerajaan dunia; reputasi itu kekal sehingga ke hari ini.

China menamakan Selat Melaka sebagai laluan terpenting komunikasi lautan di dunia, kerana menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik serta Asia Tenggara dan Asia Timur.

Mempunyai kepanjangan 1100km serta lebar 400km, Selat Phillip yang terletak di Singapura menjadi titik sempit laluan ini dengan hanya kelebaran 2.6 km. Banyak ekonomi negara dunia seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan bergantung dengan laluan ini sebagai sumber bekalan dan tenaga.

Selat Melaka merupakan laluan perdagangan lautan paling sibuk di dunia namun selat itu juga mempunyai satu masalah.

Dibeberapa lokasi yang dikenalpasti, tahap kedalamannya cetek untuk laluan kategori kapal tertentu; menyebabkan pedagang perlu memastikan berat kapal mereka sesuai dengan paras air yang ada di sepanjang selat itu.

Untuk kapal yang melebihi muatan, mereka perlu melalui jalan jauh merentasi Lombok di Indonesia sebelum kembali berpusing menghala ke Asia Timur, menambahkan lagi kos dan masa perjalanan.

kapal berlabuh selat melaka

Selepas pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869, kepentingan Selat Melaka semakin bertambah sebagaii penghubung utama di antara Eropah dan kawasan Asia Pasifik.

Demi melindungi kepentingan Selat Melaka, Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bersidang pada tahun 1982 bersetuju untuk meletakkan Selat Melaka sebagai 'laluan antarabangsa' bagi memastikan tidak ada pihak dibenarkan mengawal atau memonopoli laluan tersebut demi kepentingan mereka.

Usaha China dalam menyelesaikan Dilema Selat Melaka

pelabuhan selat melaka

Disebabkan kebergantungan Selat Melaka kepada mereka, kerajaan China memutuskan hendak tak hendak mereka perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang sedang atau bakal mereka hadapi.

Satu cara yang mereka gunakan melalui inisiatif One Belt One Road yang telah menjadi gagasan utama mereka hampir 10 tahun.

Untuk mengurangkan kebergantungan mereka kepada bekalan minyak dari Selat Melaka, China menjadikan projek pembinaan saluran minyak dan gas yang merentasi Myanmar sebagai tunjang utama mereka; menghubungkan terus dengan Kazakhstan sebagai pembekal utama sumber minyak dan gas saluran itu.

Projek pembinaan infrastruktur di Pakistan yang ditunjangi China berjaya membuka Koridor Ekonomi Pakistan-China, menghubungan Pelabuhan Gwadar di Pakistan dan Xinjiang di China melalui tiga cara; lebuhraya, laluan keretapi dan saluran gas.

Masih ingat tentang  masalah laluan sempit di Singapura itu?

Untuk menyelesaikan titik sempit itu, China berhasrat menjadikan negara kita sebagai pusat transit melalui pembinaan saluran gas dan jalinan keretapi yang akan menghubungkan bahagian timur dan barat Semenanjung Malaysia.

Jalinan baru ini membolehkan kargo serta bekalan tidak lagi perlu melalui Selat Philip di Singapura melalui laut, sebaliknya terus merentasi bahagian tengah Semenanjung Malaysia, menjimatkan masa dan kos pengangkutan.

Solusi gergasi paling mudah bagi China

rajah terusan kra thailand

Walaupun begitu, di antara semua langkah yang dirancang China - idea paling mudah China menyelesaikan dilema Selat Melaka, adalah meneruskan pembinaan terusan baru yang dinamakan sebagai Terusan Kra di Thailand.

Idea untuk membina terusan merentasi negara Thai ini bukanlah satu idea baru sebaliknya pernah cuba diusahakan kerajaan Siam 400 tahun dahulu semasa pemerintahan Raja Narai.

Kerajaan Thailand sendiri telahpun menjalankan kajian pada tahun 2001 bagi mengenalpasti tahap keberkesanan seandainya terusan itu diwujudkan, daripada faktor ekonomi, keselamatan dan juga kesan ke atas negara serantau.

Kajian kerajaan Thailand membuktikan pembinaan terusan Kra mampu meningkatkan tahap ekonomi Thailand serta meletakkan negara mereka menjadi laluan penting perdagangan dunia, memintas kita dan Singapura.

Namun, penghalang utama untuk Thailand merealisasikan impian itu adalah kekangan bajet. Disebabkan itulah tawaran China untuk membantu Thailand membina terusan itu merupakan satu tawaran yang sangat menarik.

Dengan pembinaan terusan itu, jarak perjalanan yang akan melalui Selat Melaka ketika ini dapat dipendekkan sehingga 1125 km serta menaiktaraf Thailand sebagai 'pintu masuk dan keluar' laluan laut utama dunia.

Adakah Terusan Kra bakal menggantikan Selat Melaka?

laluan 9a terusan kra thailand

Banyak pihak di Thailand mengkritik idea projek itu kerana dirasakan akan menyerahkan kedaulatan negara sendiri, kerana China akan bertindak sebagai pemodal yang sudah pastilah enggan hilang kawalan ke atas projek gergasi mereka begitu saja.

Setakat ini, kawasan yang dirasakan paling sesuai untuk pembinaan terusan itu bermula di Krabi yang akan menghubungkan Laut Andaman, melalui Trang, Phattalung, Nakhon sebelum berakhir di Songkhla di Laut China Selatan; membentuk sebuah garis yang dilabelkan sebagai garis 9A, mempunyai panjang 128 km, lebar 400 meter dan kedalaman 30 meter.

Projek yang dianggarkan akan menelan belanja RM120 billion dan mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan, setakat ini belum mendapat persetujuan Thailand. Isu ini masih diperdebatkan.

Malaysia pula mengambil pendekatan tidak membantah dalam isu ini, walaupun kita akan menjadi antara yang terjejas seandainya projek mega ini direalisasikan.

Adakah China telah menemui kunci dan solusi kepada masalah Dilema Selat Melaka mereka? Sehingga kini nampaknya belum lagi kerana perbincangan di pihak Thailand masih belum benar-benar bermula.

Apa yang jelas China nampak seakan enggan berhenti walau seminit pun cuba menyelesaikan dilema besar yang sekian lama menghantui mereka.

Pada bulan Januari tahun 2020, gabungan pihak kerajaan dan pembangkang Thailand yang menyokong projek ini, berjaya mendesak kerajaan Thailand menubuhkan suruhanjaya bagi mengkaji berbaloikah projek ini - dikatakan keperluan demi masa depan Thailand.

Apa kesannya kelak tidak siapa mampu ramalkan, kerana yang terkesan adalah kita, Singapura dan khasnya Thailand yang akan berkorban demi kepentingan rakyat China. 

Rujukan

Thailand’s Kra Canal: China’s Way Around the Malacca Strait

The Malacca Dilemma: A hindrance to Chinese Ambitions in the 21st Century




Hakcipta iluminasi.com (2017)