Oleh pada 17 Jun 2023 kategori

Masyarakat Malaysia dan penyakit tidak boleh lari daripada dikaitkan, sehinggakan di kalangan ahli masyarakat ada istilah tidak rasmi 'penyakit 3 serangkai' merangkumi kencing manis, darah tinggi dan masalah kolestrol.

Selain penyakit itu, penyakit lain seperti kanser, cyst, tumor, leukimia dan sebagainya juga menjadi antara penyakit yang cukup ditakuti sesiapa saja. Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa nama penyakit itu dinamakan sedemikian rupa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima penerangan ringkas kenapa masalah kesihatan ini digelar menggunakan istilah yang kita guna.

1. Asal-usul Nama Penyakit Kanser

kenapa kanser digelarkan kanser

Istilah "cancer" berasal dari perkataan Latin "cancer," yang bermaksud "ketam."

Orang Yunani kuno memberikan nama ini kepada penyakit tersebut disebabkan rupa saluran darah yang membengkakmenyerupai bentuk kaki ketam.

Hippocrates yang dianggap bapa perubatan era tersebut, menggunakan istilah "karkinos" untuk menggambarkan pelbagai ketumbuhan yang mampu beliau perhatikan.

Berikutan peredaran zaman serta pengetahuan kita yang lebih meluas, istilah "cancer" mula diamalkan bagi mewakili penyakiti ketumbuhan dan penyebaran sel-sel abnormal tidak terkawal dalam badan.

Kini kajian lapangan sains sudah jelas mengkategorikan bermacam jenis jangkitan kanser seperti kanser payudara, kanser paru-paru, atau kanser prostat.

2. Sejarah Leukemia

leukemia penyakit sel darah putih

Leukemia diberi nama "leukemia" hasil gabungan dua istilah Jerman sekitar abad ke 19, iaitu "leukos" yang bermaksud "putih" dan "haima" yang bermaksud "darah", merujuk kepada peningkatan sel darah putih yang tidak normal yang terdapat dalam penyakit ini.

Leukemia adalah sejenis penyakit kanser yang memberi kesan besar kepada sumsum tulang serta sistem pembentukan darah.

Dalam keadaan normal, sumsum tulang menghasilkan sel darah putih, sel darah merah dan platelet.

Namun, untuk seseorang yang menghidapi leukemia, akan terdapat gangguan dalam pembentukan sel darah putih, di mana sel darah putih yang tidak matang berkembang secara tidak terkawal.

3. Asal-Usul Istilah Cyst

ketumbuhan cyst pada muka

"Cyst" adalah istilah dari bahasa Yunani "kystis" yang bermaksud "kantung" atau "kapsul", merujuk kepada pertumbuhan berbentuk kantung atau kapsul pada atau dalam tubuh manusia.

Cyst merupakan ketumbuhan abnormal yang boleh muncul di dalam pelbagai organ atau jaringan tubuh, biasanya berisi cecair, gas, atau bahan lain yang membentuk kantung dalam tubuh.

Istilah "cyst" mula digunakan dalam ilmu perubatan moden sekitar abad ke 16, untuk menggambarkan rupabentuk kantung atau kapsul, bagi membantu mengklasifikasikan dan memahami jenis pertumbuhan ini dalam bidang perubatan.

4. Asal-usul Istilah Tumor

tumor pada bahagian wajah

Tumor atau tumour diberi nama sedemikian rupa berpunca daripada bahasa Latin "tumor" yang bermaksud "benjolan" atau "bengkak".

Tumor boleh disifatkan tidak berbahaya, tetapi ada juga yang berisiko tinggi. Tumor yang dikategorikan tidak berbahaya merujuk kepada pertumbuhan sel yang terhad dalam kawasan tertentu, tidak menyebar ke bahagian tubuh lain.

Tumor berisiko tinggi atau lebih mudah disebut sebagai kanser, merujuk kepada pertumbuhan sel-sel yang tidak terkawal serta mampu berjangkit ke organ yang berdekatan atau ke seluruh tubuh.

5. Asal-Usul Nama Penyakit Diabetes

kaki potong kencing manis

Diabetes digelarkan "diabetes" kerana istilah itu asalnya diambil dari bahasa Yunani diabaínō yang bermaksud "melalui".

Istilah ini jelas merujuk sifat gejala ini yang kerap dikaitkan dengan keadaan penyakit diabetes, di mana terdapat lebihan gula dalam darah melalui sistem tubuh.

Uniknya, di antara kelima-lima istilah yang dibincangkan dalam artikel ini - 'diebetes' muncul paling awal sekitar 300 Sebelum Masihi. Pada era tersebut, perawat dari Mesir bernama Apollonius mendapati di kalangan pesakit ini, didapati mempunyai tahap gula dalam air kencing mereka - yang mengakibatkan rasa kencing mereka manis.

Oleh kerana itu Appolonius menamakan gejala ini sebagai 'diabetes' (melalui) dan 'melitus' yang merujuk kepada gula, dipercayai punca rasa manis itu. Sehingga kini istilah diabetes mellitus kekal diguna sebagai istilah rasmi bidang perubatan, bagi merujuk penyakit kencing manis.

Sekiranya anda nak tahu agaimana masyarakat Mesir kuno tahu kencing pesakit jangkitan ini manis, kami rasa lebih baik anda cari sendirilah jawapannya. OK?




Hakcipta iluminasi.com (2017)