Jangkitan wabak dalam skala kecil atau besar memang telah lama direkodkan antara peristiwa yang berlaku, menghantui tamadun manusia beribu-ribu tahun lamanya.

Satu ketika dulu setiap kali berlakunya jangkitan wabak, kadar kematian yang melanda mampu mencecah jutaan nyawa.

Dengan perkembangan sains perubatan, kini kita sudah mempunyai kefahaman terhadap gejala wabak, kaedah pencegahan serta bagaimana mempertahankan diri daripada serangannya; yang merendahkan kadar kematian secara sangat drastik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun banyak kali wabak berlaku, secara amnya semua wabak yang menyerang kita boleh dibahagikan kepada tiga kategori berbeza. Apakah kategori-kategori wabak yang ada?

1. Wabak bubonik

jangkitan plag bubonik 2

Gambar pesakit tidak disertakan kerana amat menyeramkan

Kategori wabak bubonik merupakan antara wabak yang paling banyak menumbangkan nyawa manusia, dalam catatan sejarah kita.

Untuk mengkategorikan sesuatu wabak sebagai wabak jenis bubonik, kaedah penyebaran wabak mestilah dibuktikan bermula, disebabkan oleh penyebaran serangga kecil seperti kutu atau lalat yang dijangkiti bakteria yersinia pestis - sejenis bakteria yang datang daripada tikus.

Wabak bubonik juga boleh terjadi daripada lendir atau cecair yang terhasil daripada bangkai tikus yang dijangkiti, berpindah kepada manusia.

Kenapa wabak ini diistilahkan sebagai 'bubonik'? Wabak kategori ini dinamakan begitu berdasarkan kepada kesannya pada manusia.

Dalam tubuh manusia, ada kelenjar di seluruh kita dan jangkitan bubonik gemar sekali menyerang kelenjar di bahagian ketiak dan kelangkang. Apabila seseorang dijangkiti bakteria, kelenjar yang ada di bahagian tubuh itu akan membengkak menghasilkan gelembung-gelembung diistilahkan sebagai 'bubo' atau 'buboes.'

Asal namanya bermula semasa permulaan jangkitan ini, bengkak kerap kali didapati di bahagian kelangkang jadi masyarakat Yunani (Greek) zaman dahulu menamakannya 'bubo' yang membawa makna 'kelangkang'. Kelangkang menjadi tempat paling ramai mendapati gigitan serangga berlaku.

Seseorang yang menghidap wabak bubonik akan mengalami bengkak di bahagian yang digigit, demam panas dan sakit kepala. Seandainya tidak dirawat, bakteria yang menjangkiti mampu merebak menyebabkan lebih banyak jangkitan.

Lebih banyak bengkak-bengkak kelenjar akan berlaku, akan mula mengakibatkan kegagalan organ pada seseorang pesakit.

2. Wabak septisemik

wabak penyakit septisemik

Anda boleh cuba google sendiri gambar pesakit septisemik. 

Wabak septisemik sangat menakutkan kerana kesannya pada individu dijangkiti akan kelihatan sangat ketara.

Majoriti kes jangkitan septisemik berpunca daripada perpindahan darah yang tercemar dengan bakteria yersinia pestis kepada individu sihat, melalui titisan yang berpindah. Kes ini kerap berlaku pada kumpulan pemburu zaman dahulu.

Seseorang yang menghidapi jangkitan berbentuk septisemik akan mengalami kondisi di mana darah mereka akan mula bergumpal, membentuk ketulan-ketulan kecil darah dalam badan mereka.

Ini akan menyebabkan keadaan yang dinamakan sebagai 'necrosis' atau pereputan tisu badan, disebabkan oleh terhentinya saluran darah yang tersekat akibat kehadiran ketulan-ketulan.

Tergendala pengaliran darah akan mula menyebabkan wujudnya tanda-tanda merah yang bertukar hitam pada kulit, kelihatan seperti kulit reput atau rosak. Tanda-tanda pereputan ini biasanya akan mula muncul di bahagian jari kaki dan tangan serta hidung.

Seandainya tidak dirawat, organ-organ ini khasnya di bahagian jari akan kehilangan fungsinya.

Wabak septisemik boleh juga berlaku seandainya seseorang pesakit wabak bubonik tidak diberikan rawatan. Jangkitan septisemik dalam kes-kes sebegini, dianggap fasa kedua kepada tahap jangkitan seseorang.

Seandainya seseorang yang dijangkiti tidak dirawat dalam tempoh 24 jam, peluang untuk pesakit sembuh amatlah tipis.

Dianggap berisiko tinggi di mana-mana kawasan yang menempatkan tikus-tikus seperti ladang dan kebun, di antara ketiga-tiga jenis wabak yang berpotensi berlaku - jangkitan wabak septisemik merupakan jangkitan paling rendah jumlah kesnya dicatatkan.

3. Wabak pneumonik

pneumonic plague jangkitan pneumonia

Sekiranya wabak bubonik dan wabak septisemik merupakan serangan bakteria yersinia pestis ke atas kelenjar dan darah, wabak pneumonik pula adalah jangkitan bakteria yang sama terhadap paru-paru, sehingga menyebabkan terjadinya penyakit pneumonia.

Oleh kerana jangkitan ini menyerang terus paru-paru, seseorang yang dijangkiti akan mula mengalami masalah sakit dada yang teruk serta kesukaran untuk bernafas.

Cara jangkitan pula dipercayai datang daripada titisan air yang mengandungi bakteria tersebut, disedut melalui rongga hidung atau mulut sebelum melalui saluran pernafasan dan sampai ke paru-paru.

Di antara ketiga-tiga jenis jangkitan yang berlaku - jangkitan pneumonik merupakan jangkitan yang paling berbahaya kerana kadar kematiannya diletakkan pada tahap yang paling tinggi antara ketiga-tiga jenis jangkitan, seandainya gagal dirawat dengan sempurna.


Pasti anda sedar, ketiga-tiga wabak yang ada didefinisikan berpunca daripada jangkitan bakterian yersinia pestis. Bagaimana pula dengan wabak yang disebabkan virus atau parasit?

Adakah jangkitan pandemik seperti Covid-19 bukan dikategorikan sebagai wabak atau 'plague'? Kami akan jawab persoalan ini dalam satu artikel akan datang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)