Ramai orang mengamalkan penjagaan diri, bagi mengelak diri kita ditimpa sakit. Pelbagai langkah kita amalkan dalam memastikan kesihatan kita terjaga.
Bagaimanapun, telah direkodkan ada beberapa jenis penyakit yang berlaku bukan sebab kelalaian; sebaliknya disebabkan pilihan profesion kita, mengakibatkan timbul masalah kesihatan yang jarang menimpa orang lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada banyak penyakit yang boleh berlaku tetapi kami senaraikan lima yang berkemungkinan berlaku, akibat jenis pekerjaan yang kita amal dalam menyara hidup dan keluarga.
1. Lelah tukang roti
Lelah tukang roti adalah jenis lelah atau asthma pekerjaan yang boleh berlaku apabila anda menghirup debunga tepung atau bahan lain yang diguna dalam pembuatan roti.
Penyakit ini unik hanya berlaku kepada individu yang bekerja dalam bidang penghasilan roti dan pekerja kilang bijirin, dianggap sebagai salah satu jenis lelah akibat pekerjaan yang kerap dijumpai.
Penghidapnya akan merasai gejala pernafasan seperti semput, sesak nafas dan ketat di dada.
Jangkitan berlaku disebabkan penghirupan partikel tepung dan bijirin, bahan tambahan dan enzim yang ditambahkan semasa pembuatan roti, beserta alergen lain yang hadir di dalam disebuah dapur.
Untuk mencegah lelah jenis ini, penting untuk pengendali memakai peralatan perlindungan diri seperti topeng semasa bekerja.
Pekerja bidang ini juga disarankan menggunakan tepung rendah debu untuk pembuatan roti, memastikan ventilasi yang lancar di dalam kawasan kerja.
Pekerja juga disaran kerap menggunakan kain lembap untuk membersihkan debu dan mengurangkan menyapu kawasan kerja, sebaliknya menggunakan penyedut hampagas.
2. Pneumonitis kimia
Penyakit ini sejenis radang paru-paru disebabkan penafasan wap atau gas yang bercampur bahan kimia.
Juga disebut sebagai 'pneumonia kimia,' nasib baiklah penyakit ini tidak berjangkit.
Terdapat dua jenis pneumonitis kimia umum: sama ada bersifat akut dan kronik.
Bahan-bahan yang diketahui menyebabkan pneumonitis kimia bukan saja melibatkan bahan kimia seperti gas klorin, minyak petrol atau bahan berunsur petroleum, sebaliknya boleh juga terjadi akibat bahan buangan seperti muntah makhluk bernyawa.
Oleh kerana itulah selain pekerja industri kimia, kumpulan pekerja kesihatan seperti doktor, jururawat dan tukang cuci pun berkemungkinan mengalami pneumonitis kimia.
Gejala pneumonitis kimia menyebabkan seseorang mengalami batuk, kesukaran bernafas, paru-paru berbunyi yang tidak normal (bunyi basah atau mendengkur semasa bernafas), sakit dada, rasa ketat atau terbakar.
3. Silikosis
Silikosis merupakan sejenis penyakit paru-paru disebabkan seseorang individu tersedut zarah kristal silikon dioksida yang sangat kecil juga dikenali sebagai silika.
Penyakit paru-paru akibat pekerjaan ini boleh berlaku kepada golongan pekerja yang terdedah kepada debu silika dalam industri biasanya melibatkan perlombongan, pembinaan, dan pembagasan pasir atau sandblasting.
Apa yang menakutkan, gejala silikosis biasanya mengambil masa bertahun-tahun untuk mula kelihatan dan penghidapnya mungkin tidak sedar sebarang masalah.
Simptomnya pula biasa akan kelihatan selepas pekerja berhenti bekerja dengan debu silika, terus bertambah buruk walaupun tidak lagi terdedah dengan bahan berbahaya ini.
Penghidap silikosis akan mengalami batuk yang berterusan, batuk berkahak, keradangan pada bahagian paru-paru yang akan mengakibatkan fibrosis atau paru-paru berparut.
Sejenis lagi penyakit serupa dikenali sebagai asbetosis, di mana penghidapnya kerap menghidu partikel asbestos ke dalam paru-paru; biasanya melibatkan individu seperti pekerja pembinaan khususnya dalam pembinaan kapal.
4. Penyakit hati hitam arang
Penjanaan elektrik di seluruh dunia biasanya menggunakan dua kaedah utama, sama ada dijana melalui kaedah hidroelektrik atau kaedah lebih tradisional, menggunakan arang batu.
Dianggarkan sehingga 2040, bekalan elektrik berasaskan arang batu masih menjadi sandaran utama negara-negara di seluruh dunia. Menyebabkan permintaan untuk kumpulan pekerja pelombong melombong arang batu terus kekal relevan.
Kumpulan pekerja sebegini sangat terdedah dengan jangkitan yang dinamakan sebagai black lung disease atau jangkitan paru-paru hitam, sejenis penyakit yang tidak akan kelihatan tanda-tanya melainkan lama selepas pekerja itu berhenti mengendalikan arang batu.
Juga dikenali dengan nama coal workers’ pneumoconiosis, jangkitan ini dikatakan sangat berbahaya dan penghidapnya jarang sembuh daripada jangkitan.
Sesuatu yang menakutkan, kajian yang dijalankan pada tahun 2018 mendapati penghidap penyakit ini kini secara purata meninggal dunia pada usia lebih awal, berbanding kumpulan pekerja lombong arang batu yang berkhidmat 4 ke 5 dekad terdahulu.
5. Keracunan plumbum
Bagi generasi warga Malaysia terdahulu yang menjalani pertukaran bekalan petrol negara daripada jenis berplumbum kepada jenis tanpa plumbum, anda pasti ingat kempen yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
Ini kerana plumbum atau lead dalam bahasa Inggeris, adalah bahan beracun yang secara konsisten membunuh secara purata 1 juta orang setiap tahun apabila berlakunya keracunan.
Plumbum adalah sejenis bahan mineral yang sangat berisiko tinggi sekiranya terdedah kepada kanak-kanak dan wanita mengandung, akan disimpan di bahagian otak, hati, buah pinggang dan tulang mereka yang mengalami keracunan.
Antara simptom keracunan plumbum adalah sakit perut, cirit-birit, sakit kepala, hilang ingatan dan juga rasa kurang selesa pada bahagian tangan dan kaki.
Kumpulan pekerja paling terdedah kepada ancaman keracunan plumbum adalah mereka yang mungkin tidak menyedari bahaya yang ada di sekeliling mereka, seperti mekanik kereta, pembuat bateri dan juga juru pateri besi. Selain itu, pelukis atau pewarna juga berhadapan risiko - sekiranya mereka menggunakan cat atau warna yang mengandungi plumbum.
Plumbum telah pun diharamkan penggunaannya sejak tahun 1978, khususnya melibatkan produk permainan kanak-kanak dan bahan kemas. Jadi seandainya anda masih menyimpan permainan lama dikeluarkan sebelum 1978, ada kemungkinan barangan nostalgia anda itu menyimpan plumbum.
Dinasihatkan agar anda melupuskan produk-produk sebegini seberapa segera.