Kisah-kisah berkenaan kesan buruk wabak Covid-19 kepada dunia, khasnya kepada ekonomi dan sektor perniagaan menghiasi muka depan mana-mana laman web dunia ketika ini.
Tidak dapat dinafikan kesan negatif wabak tersebut mampu melumpuh malahan mematikan terus sesetengah industri yang gagal bertahan, berikutan kejatuhan perniagaan yang mendadak serta keperluan untuk menanggung kos operasi yang tinggi.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanapun, di sebalik semua kisah buruk yang wujud - ada lima industri di dunia yang mengalami perkembangan positif atas semua masalah yang melanda. Industri apakah itu? Berikut adalah lima industri yang didapati berkembang pesat semasa dunia dilanda wabak penyakit.
1. Industri perubatan
Bagi pengkritik kepada sifat tamak industri perubatan, penyebaran wabak seperti wabak Covid-19 dan SARS merupakan peluang yang sukar diperolehi dalam usaha menaikkan keuntungan.
Penulis berpengaruh seperti Gerald Posner dalam tulisannya menyifatkan situasi berlakunya wabak bakal dijadikan jendela di mana perniagaan farmasi dan perubatan bakal meningkatkan harga mereka sewenang-wenangnya, disebabkan oleh kekurangan bekalan dan peralatan; sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Apa yang akan berlaku setiap kali timbulnya pandemik adalah perlumbaan antara syarikat-syarikat perubatan memaksimakan potensi jualan; lebih lama pandemik berlaku, lebih tinggi keuntungan yang bakal diperolehi.
Situasi ini mungkin tidak ketara di negara kita, tetapi di negara-negara di mana sistem perubatannya diletakkan dalam pasaran bebas sepenuhnya - seperti di Amerika Syarikat, pihak pengeluar produk perubatan mempunyai kuasa yang terlalu besar dalam menentukan kadar bekalan dan pengeluaran bagi memastikan keuntungan penuh dapat diperolehi.
Apa yang lebih membimbangkan - walaupun syarikat perubatan bakal mendapat pulangan lumayan akibat penyebaran wabak, kaji selidik yang dijalankan juga mendapati syarikat-syarikat perubatan memilih untuk tidak meletakkan penyelidikan baru terhadap cara pemulihan wabak seperti MERS, SARS dan Covid-19 sebagai keutamaan mereka, berikutan keuntungan jangka panjangnya tidak berbaloi untuk diteruskan berbanding penyelidikan terhadap sakit kanser.
2. Pengeluar barangan pencuci nyah kuman
Sekiranya anda baca tentang pasaran saham ketika ini, banyak laman web analisis saham akan menasihatkan agar pelabur memberanikan diri melabur kepada syarikat-syarikat pengeluar barangan pencuci nyah kuman seperti jenama Clorox, Dettol dan sebagainya.
Ini kerana setiap kali berlakunya wabak, produk-produk mereka akan mula mengalami peningkatan permintaan yang mendadak - dengan beberapa negara melaporkan tahap jualan yang terlalu tinggi menyebabkan stok kehabisan, walaupun dijual dengan harga yang tidak munasabah.
Produk seperti tisu, sabun cuci tangan, cecair nyah kuman, peluntur dan pelbagai lagi produk yang dikeluarkan dipercayai oleh pengguna, mampu melindungi mereka daripada jangkitan kuman. Mengambil kesempatan ke atas apa yang sedang berlaku, banyak jenama juga mula melabelkan produk mereka mampu membunuh virus yang menyebabkan wabak Covid-19 dengan berkesan.
3. Servis penstriman video
Berikutan keengganan orang ramai untuk berada di tempat-tempat awam dan terbuka, ramai yang memilih untuk tinggal di rumah menghabiskan masa bersama keluarga. Disebabkan oleh perubahan jadual harian kita ini, diramalkan antara yang bakal mendapat laba besar adalah pengendali servis penstriman video seperti Netflix, iFlix dan sebagainya - kerana orang ramai mahu mengisi masa mereka.
Antara syarikat yang mendapat keuntungan paling besar akibat penularan wabak adalah gergasi media hiburan Disney, yang mencatatkan peningkatan besar kepada jumlah langganan servis strim video mereka di Eropah, iaitu Disney+.
Walau bagaimanapun, besar kemungkinan peminat video perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan kandungan yang baru, kerana kebanyakan produksi perlu ditangguhkan menyebabkan berlaku banyak perubahan dalam penjadualan rancangan-rancangan popular yang sepatutnya sudah atau bakal ditayangkan. Begitu jugalah dengan pornografi yang agak berkait dengan penstriman video...
4. Pornografi
Jika keluarga memilih untuk menghabiskan masa mengharungi saat-saat mencabar dengan menonton siri televisyen bersama, ada juga pihak yang dirasakan memerlukan khidmat pornografi agar mereka mampu mengisi masa lapang mereka. Itulah yang dilaporkan berlaku, apabila carian 'peminat pornografi' di laman-laman web tertentu didapati meningkat selepas wabak Covid-19 melanda.
Sebuah syarikat pornografi di Jepun yang kami enggan nyatakan namanya di sini bermurah hati untuk memberikan akses secara percuma kepada beratus-ratus video lucah terbitan mereka kepada mana-mana individu atau pasangan; sempena Covid-19.
Apa yang lebih menghairankan, selain daripada peningkatan carian kepada pornografi biasa - orang ramai juga didapati mula mencari pornografi bertemakan penyebaran wabak di mana pelakunya memakai baju perlindungan dan wanitanya pula, berlakon sebagai pesakit yang dijangkiti.
5. Pelaburan emas
Bimbang dengan ketidak tentuan ekonomi disebab Covid-19, permintaan terhadap emas mula meningkat mendadak sehinggakan harga emas pada ketika artikel ini ditulis - melonjak mencecah harga tertinggi yang sebelum ini dicatat pada tahun 2012.
Di negara kita, harga emas mula melebihi RM220 untuk setiap satu gram bermula pertengahan Februari berikutan kenaikan nilai satu ounce emas kepada tahap $1,700. Diramalkan harga emas akan kekal stabil atau terus meningkat, selagi mana wabak ini masih berlangsung disebabkan kebimbangan orang ramai tentang kesan wabak itu kepada tahap kekukuhan kewangan dunia.
Sekiranya anda memiliki simpanan emas yang banyak ketika ini, pelaburan anda pasti sedang menampakkan pulangannya.