Moratorium. Perkataan ini kerap disebut oleh kita dalam tempoh kebelakangan ini disebabkan oleh pemberian moratorium pembayaran automatik kepada pinjaman bank selama 6 bulan.

Malangnya wujud beberapa kelemahan yang ketara dalam pelaksanaan moratorium segera akibat penyebaran wabak Covid-19, yang pada ketika itu sedang menggila. Kita kurang penerangan tentang apa sebenarnya keperluan ditawarkan moratorium ini dan pihak bank, institusi kewangan serta kerajaan gagal memperjelaskan isu itu dengan kupasan lebih baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami tak nak perjelaskan tentang isu itu. Kami lebih gemar nak menjelaskan kepada anda - apa benda sebenarnya moratorium dan kenapa susah betul nak sebut moratorium?

Asal-usul 'moratorium'

bantah perang vietnam moratorium

Istilah 'moratorium' merupakan satu istilah yang telah lama wujud, tetapi bolehlah dikatakan baru direkodkan secara rasmi. Diambil daripada perkataan Indo-Eropah Proto 'morh' yang membawa makna 'untuk melambatkan', istilah itu berubah menjadi 'morari' dalam bahasa Latin yang membawa makna 'menangguhkan.'

Orang Latin menukarkan perkataan itu menjadi 'morarotorius' apabila digunakan dalam urusan berkaitan penangguhan bayaran proses jual beli, mewakili kebenaran yang diberikan oleh satu pihak kepada pihak lain dalam urusan mereka.

Penggunaan istilah 'moratorium' dalam zaman moden tidaklah terhad hanya kepada urusan jual beli semata-mata. Moratorium boleh digunakan dalam pelbagai konteks yang sangat am sifatnya, seperti penangguhan urusan kerja yang telah ditetapkan, penangguhan ujian yang sepatutnya dijadualkan berjalan dan sebagainya.

Ini bermakna seorang pensyarah pun boleh menawarkan moratorium kepada pelajar atas ujian kuiz yang sepatutnya berlangsung pada hari itu, ditangguhkan ke hari lain atas sebab-sebab yang dipersetujui bersama.

Penggunaan pertama kali istilah ini dalam bahasa Inggeris direkodkan pada tahun 1875 bagi mewakili urusan penangguhan bayaran hutang di antara dua pihak. Selepas itu, penggunaannya mula diperluaskan meliputi lebih banyak situasi.

'Moratorium' dan 'Tempoh Penangguhan'

permintaan orang ramai mahu moratorium

Secara asasnya dalam topik perbankan dan kewangan, moratorium tidaklah boleh disamakan dengan 'grace period' atau 'tempoh penangguhan.' Ini kerana kedua-duanya mempunyai cara pelaksanaan yang berbeza.

'Grace period' merupakan tempoh yang ditawarkan oleh pihak peminjam iaitu bank untuk pembayar tidak dikenakan sebarang caj atau penalti ke atas baki pinjaman yang masih tertunggak. Banyak diamalkan dalam sistem kad kredit, tempoh penangguhan ini membolehkan seseorang menggunakan pinjaman tanpa dikenakan sebarang bentuk faedah - kebiasaannya mengikut tempoh yang telah ditetapkan bank.

Dalam urusan pembayaran pinjaman juga penulis mendapati wujud 'grace period' automatik apabila ada masanya penulis terlambat bayar 1 ke 2 hari selepas tarikh akhir. Walaupun terlajak melepasi tarikh akhir pembayaran perlu dilakukan, tidak ada sebarang caj atau penalti dikenakan ke atas akaun penulis.

Moratorium berlaku apabila pihak bank atau pemberi pinjaman membenarkan anda menangguhkan terus pembayaran dalam satu jangka masa waktu yang dipersetujui, kebiasaannya dalam tempoh yang panjang. Bagaimanapun, tempoh moratorium berjalan perlulah ditetapkan lebih awal dan faedah ke atas baki pinjaman besar kemungkinan akan tetap dikenakan.

Ada juga kes-kes tertentu di mana faedah moratorium dan tempoh penangguhan (grace period) diberikan kepada peminjam serentak.

Sebagai contoh, pinjaman PTPTN tidak memerlukan pelajar membayar pinjaman sepanjang tempoh mereka belajar. Bagi pelajar yang telah selamat menamatkan pengajian, tempoh moratorium diberikan bagi pelajar mendapatkan pekerjaan,  membolehkan mereka mendapat punca pendapatan seterusnya mula membayar hutang yang ada.

Pernahkah moratorium bencana dilaksanakan di negara kita?

banjir tawaran moratorium pinjaman

Kaedah moratorium kerap digunakan sebagai satu bentuk bantuan kewangan langsung bagi membantu peminjam menangguhkan bayaran - seterusnya mempunyai simpanan dalam menghadapi situasi mencabar.

Dalam sejarah negara kita, sudah banyak kali sebenarnya moratorium ditawarkan kepada warga Malaysia. Wabak Covid-19 merupakan kali pertama moratorium ditawarkan dalam skala sebesar ini.

Dalam bencana banjir tahun 2007 melibatkan negeri Johor dan Melaka, beberapa buah bank menawarkan moratorium pinjaman 6 bulan kepada peminjam, dengan syarat pinjaman akan distrukturkan semula. Insiden banjir di Pulau Pinang pada tahun 2017, turut sama membuka tawaran serupa kepada mangsa banjir - di mana individu yang terjejas ditawarkan penangguhan selama 6 bulan.

Ketika insiden banjir di bahagian negeri pantai timur pada tahun 2015, usaha moratorium unik diusahakan oleh Proton Holdings Sdn. Bhd pengeluar kereta nasional kita.

Proton dengan kerjasama beberapa buah bank menawarkan moratorium 6 bulan ke atas peminjam yang membeli jenama kereta Proton dengan bank terlibat.

Apakah kes-kes unik moratorium yang berlaku di negara kita?

moratarium artikel berita harian

Selain penangguhan pinjaman, moratorium juga dilaksanakan dalam pelbagai cara yang berbeza, melibatkan institusi seperti kerajaan, swasta dan pelbagai lagi.

Kerajaan Malaysia pada pada awal tahun 2013 mengumumkan moratorium penubuhan institusi pendidikan tinggi swasta yang baru, bagi melindungi sistem pendidikan negara kita yang mengalami masalah lambakan pusat pengajian tinggi. Bagaimanapun, moratorium itu hanya dikenakan pada pusat pengajian tinggi swasta tempatan - tidak melibatkan institusi luar yang mempunyai reputasi baik di peringkat antarabangsa.

Pada penghujung tahun 2017, kerajaan Malaysia mengumumkan penambahan durasi moratorium itu sehingga penghujung bulan Disember tahun 2020.

pembantu rumah dera moratorium indonesia

Negara kita juga pernah menjadi mangsa moratorium kerajaan Indonesia apabila kerajaan mereka mengumumkan moratorium penghantaran pekerja-pekerja pembantu rumah dari republik itu ke negara kita.

Moratorium bermula pada bulan Jun tahun 2009 sehingga bulan November tahun 2011 disebabkan kes-kes penderaan pembantu rumah Indonesi kerap dilaporkan, memaksa tindakan moratorium dilaksanakan bagi membendung masalah tersebut.

Selepas Indonesia menarik balik moratorium itu pada tahun 2011, satu kes kematian seorang pembantu rumah bernama Adelina Lisao pada tahun 2018 akibat penderaan  membuatkan kerajaan Indonesia sekali lagi mengugut negara kita dengan pelaksanaan moratorium.

Walau bagaimanapun, selepas rayuan dan perbincangan dilakukan wakil kerajaan kita bersama wakil kerajaan mereka - perkara itu tidak lagi dipanjangkan dan kerajaan Indonesia terus membenarkan pembantu rumah warga sana ke negara kita diteruskan.

Pengajarannya - kalau kita rakyat Malaysia tak nak kena moratorium dengan kerajaan Indonesia, janganlah dera pembantu rumah anda ya? Di mana nilai perikemanusiaan anda?




Hakcipta iluminasi.com (2017)