bencana ciptaan manusia

Tiada siapa suka ditimpa bencana, apatah lagi ditimpa bencana-bencana alam semulajadi yang sukar diramal waktu dan kesannya.

Negara kita amat beruntung kerana kedudukan negara kita dilindungi daripada bencana-bencana alam yang besar skalanya, berbanding dengan jiran-jiran kita seperti Indonesia yang banyak mengalami kerugian disebabkan proses baik pulih setiap kali berlakunya bencana.

Bagaimanapun, bukan semua bencana berlaku dengan semula jadi. Ada beberapa insiden dalam catatan sejarah kita semua, melibatkan bencana bertaraf mega yang berlaku disebabkan oleh kecuaian atau kealpaan manusia. Berikut adalah lima bencana terburuk yang pernah berlaku membuktikan ada masanya, kita hanya mampu mengangkat tangan dan mengakui - kita puncanya.

1. Kebocoran Gas Bhopal, India

letupan gas bhopal

Pada malam 2 Disember 1984, sebuah kilang pembuat racun serangga di Bhopal, India mengalami masalah kebocoran - sehingga membebaskan gas beracun ke udara. Oleh kerana berlaku pada waktu pagi semasa majoriti orang sedang nyenyak tidur, ada mangsa yang meninggal dunia semasa masih lena diulit mimpi.

Laporan rasmi kerajaan India melaporkan 3,787 orang telah terkorban dalam kejadian itu, tetapi banyak pihak khasnya badan NGO mengumumkan angka sebenar korban sepatutnya berada sekitar 8,000 ke 10,000 orang.

Lebih 40 tan bahan methyl isocyanate dibebaskan pada malam tersebut dan sifatnya yang sangat toksik, mampu menyebabkan kematian pada penghidunya dalam tempoh satu minit. Mangsa akan mengalami rasa terbakar pada tekak dan mata sebelum meninggal. Dalam pengumuman terbaru, kerajaan India membetulkan laporan mereka - mengumumkan jumlah kematian sehingga tahun 2014 adalah seramai 15,000.

Sehingga kini lokasi pekan kecil di mana gas itu tersebar masih belum berjaya dibersihkan sepenuhnya dan penduduk pekan itu, ramai yang menghadapi masalah mendapat zuriat yang mempunyai kecacatan pada bahagian mental dan fizikal. Inilah bencana industri terburuk pernah berlaku dalam sejarah dunia.

2. Letusan lumpur Sidoarjo, Indonesia

sidoarjo indonesia lusi letusan lumpur

Berikutan kegagalan sebuah syarikat cari gali minyak bernama PT Lapindo Brantas mengikuti garis panduan dan amaran yang telah dikeluarkan, sehingga ke hari ini sebuah kawasan di Indonesia yang dikenali dengan nama Lusi memuntahkan lahar lumpur ke udara, setiap hari tanpa henti sehingga menyebabkan kawasan berhampiran letusan itu ditenggelami lumpur setinggi 40 meter, menutupi bumi yang ketika itu masih didiami manusia.

Walaupun tahap kerosakan yang berlaku agak besar, nasib baiklah jumlah mangsa yang terkorban dipercayai hanya 13 orang namun sebanyak 60 ribu buah rumah musnah dalam insiden tersebut.

Proses cari gali yang dilakukan dipercayai telah menyebabkan berlakunya reaksi di dalam bumi, mengakibatkan berlakunya beberapa siri gempa bumi sebelum lubang cari gali itu mula memancutkan lumpur setinggi 200 meter ke udara beberapa hari kemudian. Diramalkan situasi itu akan berlanjutan selama 25 ke 30 tahun.

3. Tumpahan minyak Deepwater Horizon

deepwater horizon oil spill

Dianggap sebagai tragedi tumpahan minyak paling buruk setakat ini, insiden kebocoran yang berlaku di pelantar minyak Deepwater Horizon. Ketika insiden itu berlaku, Deepwater Horizon sedang beroperasi di salah satu telaga minyak yang terletak di Teluk Mexico.

Sebelum letupan berlaku akibat kegagalan sistem, petugas di Deepwater Horizon baru saja mencipta sejarah berjaya melakukan penggalian telaga minyak paling dalam di dunia, pada kedalaman 10,683 meter jaraknya.

Dalam fasa terakhir penggalian pada 20 April 2010, berlaku letusan yang memancutkan air laut setinggi 73 meter, menyebabkan peralatan mereka mula hilang kapasiti untuk mengawal tekanan yang ada. Selepas itu, lumpur yang dipenuhi dengan gas methanol mula menggantikan air laut tadi, menyebabkan ruangan dalaman pelantar menjadi mudah terbakar.

Sistem peranti keselamatan berjaya diaktifkan namun gagal mengawal kebocoran yang berlaku, menyebabkan letupan berlaku. 11 orang yang berada paling hampir dengan letupan meninggal dunia tetapi 115 orang kru selebihnya berjaya diselamatkan. Pelantar minyak itu tenggelam ke dasar lautan dua hari kemudian dan hanya pada 15 Julai 2010, kebocoran minyak yang berlaku berjaya ditutup dengan sempurna.

4. Lapangan Gaiyu - tempat pelupusan sisa elektronik

lapangan gaiyu pusat pembuangan barang elektronik

Bagi mewujudkan peluang pekerjaan, kerajaan China memilih untuk membangunkan sebuah pusat pelupusan barangan elektronik di negara mereka - dengan daerah Gaiyu yang terletak di Wilayah Chaoyang menjadi salah satu pusat pembuangan terbesar dunia.

Ekoran daripada itu, sebanyak 6,000 syarikat ditubuhkan penduduk setempat khas bagi menguruskan proses pelupusan barangan - mendapatkan bahan seperti plumbum, gangsa dan emas yang mungkin ada pada barangan-barangan terpakai itu. Bagaimanapun, untuk kerja sehari lebih 16 jam, setiap pekerja hanya akan dibayar sekitar RM6.30 melibatkan lebih 60,000 orang pekerja semuanya.

Ekoran daripada pembukaan sisa pembuangan sebesar 52 km persegi keseluruhannya ini, aktiviti penanaman padi yang sebelum itu dijalankan terbantut - disebabkan oleh kondisi sungai dan kualiti air yang tercemar akibat sisa buangan. Bukan setakat itu saja, kajian yang dijalankan juga mendapati kesemua kawasan di pekan tersebut berdepan dengan masalah keracunan selepas bahan-bahan beracun boleh dikesan di mana-mana saja yang mampu dimasuki manusia.

Bagi mengawal masalah yang berlaku, kerajaan China bertindak menyatukan syarikat-syarikat pengurusan sisa dan membuka kompleks khas yang dijadikan pusat operasi syarikat ini. Selain itu, kerajaan China juga memperkenalkan larangan mengimport masuk sisa elektronik dan buangan domestik ke negara mereka, bagi membolehkan kawasan-kawasan terjejas dibaikpulih.

Oleh sebab demikian, banyak pihak mula mensasarkan negara kita pula sebagai destinasi sampah mereka. Tak percaya?

5. Wabak Minamata, Jepun

pesakit kesan merkuri minamata

Semuanya bermula dengan satu perkara luar biasa - kucing yang hidup di sekitar kawasan perkampungan nelayan Minamata, Jepun didapati mula berkelakuan aneh. Hari demi hari, semakin banyak kucing dilihat sengaja terjun ke laut seolah-olah membunuh diri.

Selepas kucing, kejadian yang sama mula didapati berlaku pada penduduk setempat. Ramai penduduk mengadu mengalami masalah kejang otot dan menghadapi kesukaran bercakap, mendengar dan melihat - seakan deria mereka dihalang sesuatu. Bagi kes-kes lebih teruk, tubuh mereka mula menggeletar tanpa sebab. Beberapa orang mula berkelakuan aneh, sama seperti kucing yang membunuh diri.

Hanya selepas empat tahun kemudian, sekitar tahun 1959 barulah didapati apa puncanya - penduduk Minamata mengalami masalah keracunan merkuri pada tahap kronik. Sebuah kilang petrokimia yang terletak di kawasan tersebut didapati punca masalah yang ada. Bagaimanapun pihak syarikat Chisso Corporation yang menyelia operasi kilang tersebut, menafikan penglibatan mereka.

Bergantung dengan kerjaya sebagai nelayan yang menangkap hasil laut, penduduk Minatama memang menggemari ikan sebagai sajian utama mereka. Kajian yang dijalankan menemui kesan keracunan pada ikan, sebelum dimakan yang menyebabkan penduduk di situ menjadi perumah baru kepada racun-racun yang menyerang ikan itu.

Seramai 2,955 orang didapati mengidap keracunan dan 1,784 orang meninggal dunia. Protes terhadap kilang tersebut berjaya membuatkan pihak pengelola mengakui sebanyak 27 tan bahan merkuri telah pun dibuang ke dalam kawasan Teluk Minamata. Hanya pada tahun 1968, kilang tersebut berhenti membuang sisa beracun ke dalam air dan sehingga kini - mana-mana waris atau pesakit yang terkesan akibat insiden itu, perlu ditanggung kos perubatan mereka oleh Chisso Corporation.



Hakcipta iluminasi.com (2017)