Hubungan sesebuah negara dengan negara terhubung melalui pelbagai cara antaranya pasaran mata wang, hubungan perdagangan dan aliran modal. Kemunculan syarikat multinasional juga mengeratkan lagi hubungan antarabangsa antara sesebuah negara dengan negara yang lain.

Oleh itu, apabila berlaku krisis ekonomi pada sesuatu negara, kebiasaannya ia akan cepat merebak ke negara berdekatan kerana didorong oleh faktor spekulasi dan ketakutan para pelabur. Dalam sejarah, krisis ekonomi dunia sudah banyak kali berlaku dan Malaysia juga tidak dapat lari daripada terkena tempias krisis ekonomi dunia ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, kami ingin berkongsi senarai 5 krisis ekonomi dunia paling teruk yang pernah terjadi. Krisis ekonomi paling terbaru berlaku pada tahun 2007 - 2008 dan terdapat sesetengah pihak beranggapan krisis ekonomi dunia adalah fenomena biasa yang akan berlaku setiap 10 tahun. Adakah dakwaan ini benar?

1. Krisis Kredit 1777

krisis kredit 1777

Antara krisis ekonomi terawal dalam sejarah. Krisis ini bermula di London sebelum merebak dengan cepat ke negara-negara Eropah yang lain. Pada tahun 1960-an, Empayar British telah mengaut begitu banyak kekayaan hasil daripada penjajahan di beberapa buat negara dan juga daripada hasil perdagangan. Situasi ini menyebabkan situasi optimistik dimana bank-bank lebih mudah memberikan pinjaman kredit.

Krisis bermula apabila pada Jun 1777 apabila Alexander Fordyce, iaitu salah seorang rakan kongsi bank utama di British telah melarikan diri ke Perancis kerana mahu mengelakkan diri daripada pembayaran hutang. Situasi ini menyebabkan situasi panik di England dimana ramai pendeposit telah bertindak mengeluarkan simpanan mereka daripada bank, menyebabkan kekurangan wang tunai. Krisis ini kemudiannya merebak ke Scotland, Belanda dan beberapa negara Eropah.

2. Great Depression 1929 - 1939

krisis kewangan terbesar dunia

Great Depression yang berlaku antara 1929 - 1939 tanpa syak lagi merupakan krisis ekonomi dan kewangan paling teruk di abad ke 20. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Great Depression, sila baca artikel kami Great Depression : Kemelesatan Ekonomi Paling Teruk Dalam Sejarah.

Ramai pihak beranggapan ianya berpunca daripada kejatuhan pasaran Wall Street pada tahun 1929 dan juga kesilapan kerajaan Amerika Syarikat dalam membuat polisi dasar ekonomi. Krisis ekonomi ini terjadi dalam tempoh 10 tahun lamanya dan menyebabkan kehilangan pendapatan yang banyak dan peningkatan kadar pengangguran terutamanya di negara-negara maju. Ketika kemuncak krisis ini pada 1933, kadar pengangguran di Amerika Syarikat mencecah 25%.

3. Krisis ekonomi 2007 - 2008

keruntuhan lehman brothers

Kemelesatan ekonomi pada tahun 2007 - 2008 dikatakan krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah semenjak zaman Great Depresssion. Krisis ekonomi pada ketika ini telah menyebabkan kekacauan di pasaran kewangan di seluruh dunia . Ianya bermula apabila pasaran harga rumah jatuh mendadak di pasaran Amerika Syarikat, menyebabkan keruntuhan institusi Lehman Brothers, iaitu sebuah bank pelaburan terbesar di dunia.

Keruntuhan Lehman Brothers menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat terpaksa memberikan bailout, iaitu bantuan kewangan untuk mengelakan institusi kewangan ini daripada runtuh. Akibatnya, kerajaan terpaksa mengurangkan import daripada negara luar dan hasil eksport juga terkesan. Akibat dari tindakan Amerika Syarikat ini, GDP negara juga terkesan termasuklah segala instrumen kewangan yang mempunyai kaitan dengannya.

Kesan daripada krisis ekonomi ini, pemberian kredit oleh bank menjadi sukar, keyakinan pelabur makin berkurangan dan pengangguran meningkat dengan mendadak sekali. Ianya mengambil masa hampir 10 tahun lamanya untuk keadaan kembali kepada sediakala.

4. Krisis Ekonomi Asia 1997

krisis kewangan asia

Krisis ekonomi pada tahun 1997 bermula daripada Thailand sebelum merebak ke negara-negara Asia berhampiran seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan Korea Selatan. Spekulasi aliran modal daripada negara-negara maju ke negara Asia Tenggara  telah mencetuskan era optimistik yang mengakibatkan pertambahan pemberian kredit secara drastik dan terlalu banyak pengumpulan hutang.

Pada bulan Julai 1997, kerajaan Thailand terpaksa menukar kadar pertukaran tetap wang terhadap Dollar Amerika Syarikat yang sudah lama dikekalkan akibat kekurangan sumber mata wang asing. Keadaan ini menyebabkan situasi panik dalam pasaran kewangan Asia seterusnya menyebabkan pelabur asing menarik kembali pelaburan mereka di negara-negara Asia.

5. Kejutan Perubahan Harga Minyak OPEC 1973

harga minyak opec

Krisis bermula apabila negara-negara ahli OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries) iaitu organisasi negara-negara pengeksport petroleum telah bertindak menghentikan eksport ke Amerika Syarikat dan negara sekutunya. OPEC yang ahli majoritinya merupakan negara-negara Arab mengambil keputusan ini sebagai tanda bantahan terhadap sokongan Amerika Syarikat yang menghantar bekalan ketenteraan ke Israel.

Situasi ini telah menyebabkan stok minyak berkurang dan peningkatan harga minyak secara mendadak serta krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan negara-negara maju. Para ekonomi menggelarkan situasi ini sebagai 'stagflation' dimana inflation (inflasi) dan economic stagnation (situasi ekonomi tanpa perubahan) berlaku dalam masa yang sama. Inflasi ini terjadi disebabkan peningkatan harga sumber tenaga sementara economic stagnation disebabkan krisis ekonomi itu sendiri.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Encyclopaedia Britannica



Hakcipta iluminasi.com (2017)