Mengamalkan sikap jimat atau kadangkala kedekut ini bagus - kerana kita bukan saja dapat menambah duit poket yang ada dalam tangan, tetapi dalam masa sama memberikan kita kebebasan lebih besar untuk menabung. 

Walau bagaimanapun pandangan ini bukanlah terpakai dalam semua situasi. Ada waktunya, berani mengeluarkan belanja lebih besar untuk mendapatkan sesuatu yang lebih berkualiti adalah perbuatan lebih baik. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Memang ada pihak akan mendakwa 'mahal tak semestinya baik' namun pada pendapat penulis, memang bersebab kenapa sesetengah barang itu dijual lebih tinggi kosnya. Berikut adalah lapan barangan keperluan yang lebih berbaloi untuk anda beli yang berkualiti sikit, pada pandangan penulis.

1. Kasut

kasut berkualiti

Bagi mereka yang mempunyai beban berat sedikit lebih berbanding purata, kasut berkualiti merupakan satu keperluan yang cukup bernilai. 

Mungkin ramai akan menyangkal keperluan kita untuk berbelanja lebih bagi alas kaki, tetapi bagi mereka yang tahu situasinya - ada perbezaan yang sangat ketara di antara kasut (dan selipar) yang berkualiti. 

Kita berdiri dan berjalan lama dalam sehari. Melabur lebih sikit untuk alas kaki berkualiti tinggi memang berbaloi.

2. Pinggan-mangkuk

set pinggan mangkuk berkualiti

Pernah tak makcik-makcik anda gigih mempromosikan pinggan mangkuk berjenama yang popular kepada anda? Ada sebabnya. Kualiti produk tersebut memang kena dengan harganya. 

Barangannya ringan, susah nak sumbing dan yang paling penting - kalau terjatuh sekalipun, sukar nak pecah. 

3. Peralatan pertukangan

peralatan pertukangan berkualiti

Penulis akui - dengan kewujudan kedai perkakas pertukangan warna oren yang banyak dibuka, lebih mudah dan murah untuk anda membeli perkakas pertukangan yang diperlukan. 

Tetapi kualitinya tak sama bang jika dibandingkan dengan jenama-jenama yang dah mahsyur, yang jarang dijual di kedai-kedai berwarna oren ni. Khasnya apabila melibatkan barang pertukangan berat seperti gerudi, pemotong atau peralatan perpaipan. 

Kebanyakan peralatan pertukangan yang berkualiti mampu diwarisi secara turun temurun berbanding perkakas serupa yang bajet harganya.

4. Bateri

bateri murah tidak tahan bocor

Lambakan kemasukan bateri entah apa jenis jenamanya yang dijual pada harga sangat murah, 1 pek 12 biji boleh diperolehi bawah RM5 nampak 'menyelerakan' untuk dibeli. 

Tetapi awas. Pengalaman penulis menggunakan produk bateri sebegini sering mendapati berlakunya kebocoran pada bahagian negatif bateri berlaku. Bocor dekat luar tak apa. Bocor di bahagian dalaman yang rumit sikit kerja dia.

5. Katil dan tilam

katil patah kurang kualiti

Sekiranya anda melihat kedai-kedai perabot menjual set kombo bilik tidur dengan harga bawah RM1000, memang rambang mata melihatnya. Tetapi katil dan tilam yang berkualiti adalah satu pelaburan yang cukup bagus - khasnya apabila kita semakin berusia.

Siapa yang selalu mengalami masalah sakit belakang, tidur berpusing-pusing atau masih rasa letih selepas bangun tidur, cuba tambahbaik katil dan tilam anda kepada model lebih baik.

Spring tilam yang dah kendur memang mengganggu tidur anda dan katil bajet yang kurang sokongan pada bahagian tilam, akan menyebabkan tilam mudah rosak.

6. Seterika

seterika terbaik berkualiti mudahkan kerja 377

Dulu penulis sendiri sangsi kemampuan seterika yang benar-benar berkualiti tinggi. Tetapi selepas mencuba sendiri di kedai, memang jelas berbeza kemampuannya berbanding seterika biasa.

Kerja-kerja menggosok baju yang sebelum ini renyah, sangat memakan masa dan jadi sesuatu yang dibenci - akhirnya bertukar menjadi lebih mudah, ringkas dan boleh ditoleransi. 

Hanya mereka yang tahu, tahu keberkesanannya. Paling best, kita tak perlu risau baju terbakar dan kita tak perlu adjust-adjust suhunya pada model paling top.

7. Alat elektrik dengan inverter

air cond jenis inverter atau bukan inverter

Teknologi inverter yang biasanya dipasang pada pendingin hawa, peti sejuk, mesin basuh dan beberapa peralatan lain memang lebih tinggi harganya - sekitar RM200 ke RM400 untuk jenis sama. 

Namun untuk penggunaan jangka masa panjang, peralatan yang dipasang dengan inverter akan memberikan anda penjimatan bil elektrik yang lebih besar - khasnya bagi peralatan yang sentiasa 'terjaga' seperti peti sejuk.

Jangan takut untuk mendapatkan peralatan elektrik dengan inverter. 

8. Telefon pintar

telefon pintar bajet

Zaman sekarang, telefon pintar dah jatuh harganya kepada satu tahap yang sukar digambarkan satu ketika dulu. Model-model bawahan kini boleh didapati pada harga RM300-RM500 dengan spesifikasi yang agak ok.

Jadi kenapa perlu belanja lebih, kan? Ada sebabnya. 

Jika anda pernah menggunakan telefon pertengahan atau kategori teratas tak kiralah apa saja jenama sekalipun, anda pasti dah sedar keupayaan telefon itu mampu kekal optimum lebih panjang.

Satu model mid-range penulis yang dikeluarkan tahun 2016 dengan harga jualan RM1500, masih lebih baik prestasinya berbanding telefon bajet 2022 dengan harga RM350. 

Membeli telefon pintar zaman sekarang tak mudah, sudah jadi serumit membeli komputer pula. Jika anda ada kemampuan lebih, cuba dapatkan model pertengahan yang ada berbanding terus memfokuskan pembelian anda kepada model paling murah.

Anda akan mendapati pembelian anda itu mampu bertahan lebih lama berbanding model bajet, yang mungkin perlu diganti selepas anda mula rasa kecewa dengan prestasinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)