Penulisan sebelum ini berkenaan 10 Jenama Luar Yang Ramai Sangka Berasal Dari Malaysia telah mendapat sambutan yang baik. Sebenarnya, ramai tidak sedar bahawa Malaysia turut mempunyai produk tempatan yang ramai sangka berasal dari luar.

Mungkin kerana nama jenama yang digunakan langsung tidak membawa imej tempatan, ramai menganggap jenama-jenama ini produk luar negara. Bagi penulis, tujuan syarikat-syarikat tempatan berkenaan menggunakan nama 'kebaratan' adalah lebih kepada tujuan promosi dan pemasaran.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin berkongsi 30 jenama Malaysia yang ramai sangka berasal dari luar. Susunan jenama adalah secara rambang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Yang dikatakan jenama Malaysia itu termasuklah jenama yang diasaskan oleh bangsa luar namun permulaan dan perkembangan jenama tersebut adalah di Malaysia. 

1. Big Apple

Sumber Foto:vkeong.com

Donut Big Apple sememangnya sangat lembut dan sedap. Donut Cheese menjadi kegemaran penulis kerana toppingnya yang menakjubkan dan segar. Perisa lain pun apa kurangnya juga.

Pasti ramai tidak tahu bahawa Big Apple sebenarnya merupakan produk Malaysia. Big Apple Donuts & Coffee diasaskan oleh Mike Chan dan rakan-rakan pada 2 May 2007 di Selangor. Syarikat ini mula berniaga di outlet pertamanya yang terletak di The Curve di Damansara.

Dalam sekelip mata, donut mereka menjadi pilihan hati rakyat Malaysia, sehinggakan ramai yang sanggup beratur panjang untuk mencuba. Setelah setahun beroperasi, Big Apple telah diiktiraf sebagai salah satu kedai rangkaian makanan yang paling pantas berkembang dalam sejarah negara, dengan 23 outlet hanya pada tahun 2008.

Kini dengan sekurang-kurang tambahan satu outlet setiap bulan, Big Apple akan menjadi global dalam masa akan datang. Selain Malaysia, Big Apple kini telah berada di Cambodia, dan akan berkembang di Asia dalam masa terdekat.

2. Gardenia

roti gardenia sedap dimakan begitu saja

Sumber Foto:menuellysa.blogspot.my

Roti Gardenia sememangnya menjadi pilihan ramai masyarakat di Malaysia. Roti ini sangat lembut dan enak, boleh dimakan begitu saja.

Sejarah Gardenia bermula pada tahun 1969, apabila sebuah koperasi Amerika Syarikat iaitu International Executive Service Corporation telah menghantar seorang wakilnya bagi membuka sebuah perniagaan bakeri di Malaysia Timur (Sabah/Sarawak).

Beliau adalah Horatio Sye Slocumm yang mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam perniagaan bakeri di beberapa rangkaian kedai roti sewaktu beliau berada di Amerika Syarikat. Sejak dari itu, lahirlah Gardenia.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. pertama kali membuat pengadunan roti pada tahun 1986. Dalam masa 4 tahun, Gardenia berjaya menguasai pasaran roti di negara ini.

Kini Gardenia telah berjaya mempelbagaikan produk bakeri berkualiti tinggi dan turut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari rakyat Malaysia.

3. BONIA

bonia

Sumber Foto:bonia.com

Apabila kita mendengar jenama BONIA, kebanyakan kita pasti akan terbayang beg tangan kulit dengan hasil tangan yang halus dari Itali yang menjadi idaman ramai wanita.

BONIA sebenarnya diasaskan pada tahun 1994 oleh Chiang Sang Sem. Beliau mula terlibat dalam perniagaan berasaskan barangan kulit berskala besar ketika tinggal di Singapore.

Pakar dalam bidang barangan fesyen berasaskan kulit, BONIA mula mempelbagaikan produk lebih daripada sekadar beg tangan wanita, termasuklah kasut kulit, pakaian kulit dan aksesori kulit.

Kini BONIA menjadi pilihan golongan yang mementingkan fesyen mewah dan berjenama bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia. BONIA Corporation Berhad memiliki lebih 700 outlet kedai dan 70 butik di seluruh benua Asia. Siapa sangka jenama Malaysia ini terkenal di seluruh dunia.

4. Shangri-La Hotels & Resorts

shangri la hotels resorts

Sumber Foto : shangri-la.com

Nama Shangri-La sendiri tidak langsung mencerminkan produk tempatan. Namun, itulah faktanya, Shangri-La Hotels and Resort merupakan hasil buah pemikiran rakyat tempatan.

Syarikat rangkaian hotel ini sebenarnya diasaskan oleh Robert Kuok pada tahun 1971. Sekiranya anda tidak kenal siapa beliau, boleh google nama beliau.

Robert Kuok merupakan manusia terkaya di Malaysia berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Forbes pada tahun ini. Beliau telah memegang posisi terkaya di Malaysia selama beberapa tahun.

Berbalik kepada Shangri-La Hotels & Resorts, hotel pertama syarikat ini mula beroperasi di SIngapura pada tahun 1971. Nama Shangri-La diambil bersempena sebuah tempat mistik melalui sebuah novel iaitu Lost Horizon (oleh penulis British bernama James Hilton).

Kini syarikat ini mempunyai rangkaian hotel mewah di sekitar Asia, Timur Tengah, Kanada dan Eropah. Ramai menyangka Jenama ini dari luar negara tapi sebenarnya dari Malaysia.

5. Giant Hypermarket

giant hypermarket

Sumber Foto:malaysiahotels.cc

Pasti anda pernah mendengar jenaka kanak-kanak ini, "Kenapa Nobita tidak datang ke Malaysia?" Jawapannya, "Sebab ada Giant lah." Dari jenaka ini, pasti ramai membuat tanggapan Giant adalah dari Jepun, memandangkan ada kaitan antara watak Giant dalam kisah Doraemon yang berasal dari Jepun.

Sekiranya itu jangkaan kita, makan ia tidak tepat. Giant Hypermarket merupakan syarikat tempatan yang ditubuhkan pada tahun 1944. Ianya bermula dengan sebuah kedai runcit oleh keluarga Teng, yang kemudiannya berkembang dengan pembukaan Teng Minimarket Centre di Bangsar pada tahun 1974.

Pada tahun 1999, Dairy Farm International Holdings telah membeli 90% share daripada rangkaian hypermarket ini, dengan keluarga Teng memegang share selebihnya. Pada tahun 2003, syarikat induk ini menukar nama kepada Dairy Farm Giant Retail Sdn. Bhd.

Kini Giant merupakan salah sebuah peruncit terbesar di Malaysia, bersaing bersama Mydin dan Tesco, dengan lebih 100 cawangan di seluruh negara.

6. PREMIER Tissue

premier tissue

Sumber Foto:lazada.com.my

Siapa sangka tisu PREMIER ini produk Malaysia? Tisu ini merupakan antara produk yang berkualiti antara tisu-tisu yang terdapat di pasaran.

Produk PREMIER sebenarnya dimiliki oleh NTPM Holdings. NTPM diasaskan oleh Lee See Jin pada tahun 1975dengan mengeluarkan produk kertas gulung sebagai produk pertama syarikat ini.

Pada awalnya, beliau melihat potensi dalam perniagaan ini, lalu beliau membuat pelaburan denganmembeli sebuah mesin membuat kertas. Walaupun hanya mempunyai sebuah mesin sahaja, beliau berjaya menghasilkan gulungan kertas secara komersial pada hujung 1979, dengan kapasiti pembuatan sebanyak 5 tan kertas sehari.

Pada tahun 1981, NTPM mula memproses dan menjual kertas tisu dan gulungan tisu secara langsung ke pasaran. Kini NTPM telah berjaya berkembang dengan rekod jualan melebihi RM10 juta.

7. San Francisco Coffee

san francisco coffee

Sumber Foto:klia2.info

Pasti ramai sedar San Francisco terletak di Amerika Syarikat, walaupun tidak tahu lokasi sebenarnya. Sudah tentu ramai beranggapan bahawa San Francisco Coffee merupakan produk Amerika Syarikat. Ternyata tanggapan ini adalah salah sama sekali.

San Francisco Coffee diasaskan pada tahun 1997 oleh seorang rakyat Amerika Syarikat yang berkelana ke bumi Malaysia. Kerana kecintaannya kepada bandar tersebut, yang mana merupakan kampung halamannya, beliau menamakan perniagaan kopi beliau sebagai San Francisco Coffee.

Kini rangkaian kafe ini dimiliki oleh Lyndarahim Ventures Sdn. Bhd. di bawah pengelolaan Datuk Abdul Rahim Zin. San Francisco Coffee mempunyai sebanyak 33 buah outlet di sekitar Lembah Klang.

8. The Manhattan FISH MARKET

the manhattan fish market

Sumber Foto:engineerwithflair.com

Seperti San Francisco Coffee, sudah pasti ramai menganggap The Manhattan FISH MARKET berasal dari Manhattan. Sekali lagi, tanggapan ini juga salah.

The Manhattan FISH MARKET merupakan rangkaian restoran yang diasaskan oleh 2 orang sahabat baik yang berasal dari Malaysia iaitu George Ang dan Dr. Jeffrey Goh. Pertama kali dilancarkan di Singapura pada tahun 2008, mereka telah menerima pelbagai kritikan daripada rakyat tempatan pada awal operasinya.

Namun, nasib lebih menyebelahi mereka, restoran mereka mendapat respons yang baik dari pelanggan. Dalam masa yang singkat, restoran rangkaian makanan laut ini berjaya berkembang di Asia dan Timur dengan jumlah restoran sebanyak 67 buah.

Kini restoran ini beroperasi di negara seperti Qatar, Oman, Bangladesh, Jepun, Sri Lanka, India dan juga Myanmar.

9. Golden Screen Cinemas (GSC)

golden screen cinemas gsc

Sumber Foto:gsc.com.my

Siapa yang tidak gemar menonton wayang? Rakyat Malaysia kebanyakannya memang kaki movie. Pantang ada filem terbaru sahaja, pasti GSC akan diterjah.

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1998 melalui gabungan 2 buah syarikat pawagam, iaitu Golden Communication Circit dan Cathay Cinemas. Pawagam ini kini diterajui oleh Koh Mei Lee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

GSC merupakan sebuah syarikat rangkaian pawagam terbesar di Malaysia. Pawagam terbesar GSC yang terletak di Mid Valley Megamall mampu menempatkan 21 skrin pawagam dengan kapasiti kerusi sebanyak 2763. Pawagam yang paling besar skrinnya di Malaysia terletak di MyTOWN Cheras.

10. British India

british india

Sumber Foto:thesmartlocal.com

Jenama British India merupakan antara jenama mewah di Malaysia, yang mana ramai masyarakat Malaysia kita sangka ianya adalah jenama luar. Namun, siapa sangka syarikat ini merupakan syarikat tempatan.

British India diasaskan pada tahun 1994 oleh Pat Liew, seorang veteran dalam industriretaildengan pengalaman melebihi 35 tahun. Beliau kini merupakan CEO syarikat tersebut, dan menjadi peneraju kreatif serta penggerak utama syarikatnya itu.

Sejak penubuhannya 23 tahun lalu, beliau sangat bersemangat membina sebuah empayar fesyen bersama staf yang penuh dedikasi, yang telah melalui perit getir dengan beliau sejak awal lagi.

Kini, British India menjadi jenama eksklusif dengan lebih 40 outlet di beberapa negara termasuklah Malaysia, Singapura, Thailand dan juga Filipina. Jenama Malaysia ini terkenal di seluruh dunia.

SAMBUNGAN

30 Jenama Malaysia Yang Ramai Sangka Berasal Dari Luar (Bahagian 2)

30 Jenama Malaysia Yang Ramai Sangka Berasal Dari Luar (Bahagian 3)

Kredit :

  1. bigappledonuts.com
  2. gardenia.com.my
  3. giant.com.my
  4. fifthperson.com
  5. ntpm.com.my
  6. bloomberg.com
  7. britishindia.com.my



Hakcipta iluminasi.com (2017)