Tidak lama dahulu, produk keluaran jenama China masih membawa stigma sebagai barangan tidak berkualiti serta mudah rosak.

Stigma yang berusia puluhan tahun itu menyebabkan apa saja barangan yang membawa label 'made in China' hilang reputasinya sebelum dijual lagi.

Bagaimanapun usaha besar-besaran kerajaan China dalam memperbaiki serta mengubah persepsi itu berjaya mengubah pandangan tersebut; walau mengambil masa yang panjang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tanpa kita sedari kini produk jenama China bukan sahaja sudah berjaya menambat hati orang ramai, malahan ada yang menjadi penanda aras dalam industri. Anda perasan tak perubahan ini berlaku, berdasarkan permintaan pengguna negara kita?

1. Tayar jenama China

linglong tayar made in china

Berbanding produk lain dalam senarai ini, jenama tayar dari China masih belum layak dikatakan berjaya di Malaysia. Stigma-stigma yang sebelum ini ada belum benar-benar berjaya dikikis.

Namun andaa mungkin tidak perasan semakin banyak kenderaan di jalan raya kita telah bertukar kepada tayar jenama China.

Cuba anda perhatikan kerana perkara ini sebenarnya sedang berlaku dengan lebih kerap, ramai sudah memilih untuk meletakkan tayar China sebagai alternatif berbanding jenama terkenal seperti Goodyear, Bridgestone, Dunlop, Silverstone dan sebagainya.

Jenama Linglong merupakan jenama paling mencuri tumpuan. Penulis juga kerap menemui tayar jenama Goodride dijual selain Sailun dan Wanli serta beberapa jenama lagi.

Walau bagaimanapun setakat ini penulis berat untuk bereksperimen dengan tayar China kerana persepsi negatif dalam mental penulis masih ada. Tayar ni bukan senang-senang nak tukar macam tu saja kalau tak puas hati.

2. Permainan video keluaran China

permainan video made in china

Tahukah anda syarikat penerbitan permainan video terbesar di dunia merupakan sebuah syarikat dari China?

Syarikat gergasi Tencent kini mendominasi pasaran dunia melalui pembelian syarikat-syarikat penerbitan yang sudah terkenal mewujudkan rangkaian besar studio penerbitan di bawah kendalian mereka.

Industri permainan video di China sebenarnya sudah wujud sejak era 1980-an lagi namun hanya dalam dekad ini, peranan mereka dalam industri tidak lagi boleh dinafikan.

Berikutan larangan penjualan konsol permainan video oleh kerajaan China satu masa dahulu, pasaran China mengkhususkan kepada penghasilan judul mobil, dalam talian dan sistem komputer, menggiatkan usaha studio penerbitan di China bergerak aktif dalam penghasilan karya untuk pasaran domestik.

Studio seperti Perfect World mempunyai peminat mereka sendiri di Malaysia yang setia. Syarikat gergasi Blizzard mewujudkan kerjasama dengan syarikat China, NetEase membangunkan judul mobil bagi siri 'DIablo Immortal' yang bakal muncul.

Tencent pula merupakan pemilik kepada judul permainan popular League of Legends serta menjadi pemegang saham dalam syarikat penerbitan besar Eropah seperti Activision, Epic Games dan Ubisoft.

3. Perkakasan elektronik jenama China

hisense jenama televisyen china

Sebut tentang perkakasan elektronik rumah, jenama dari Taiwan, Korea Selatan dan Jepun akan disebut sebagai pendahulu.

Nama besar seperti Sony dan Samsung menjadi pilihan utama selain General Electrics dari Amerika Syarikat, Electrolux dari Sweden, Philips dari Belanda serta bermacam lagi jenama lain yang ada. 

Promosi besar-besaran yang dijalankan pengeluar jenama China seperti HiSense, TCL serta Haier yang sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia, mula mendapat perhatian serius daripada peminat barangan perkakasan rumah - dibantu reputasi yang semakin bersinar.

Jenama Midea yang merupakan pengeluar barangan perkakasan elektrik terbesar dunia juga kembali mensasarkan pasaran negara kita dengan taktik pemasaran agresif serta rekaan yang lebih moden, membuka hati pengguna dengan harga rendah serta tawaran yang berbaloi.

4. Kereta jenama China

pelancaran proton x70 geely boyue

Usaha untuk membawa masuk kenderaan jenama China bermula berdekad lamanya, namun kebanyakan kereta mereka dikritik ketinggalan 10 ke 20 tahun kebelakang dari segi rekaan serta teknologi.

Jenama seperti Cherry, Changan dan Borgward gagal mendapat sambutan meriah, sebelum Great Wall dan Haval berjaya bertapak dengan lebih kukuh; namun masih belum layak ditabal berjaya memecah pasaran.

Kerjasama di antara Geely dan Proton harus diakui sangat membantu dalam menghapuskan stigma rakyat Malaysia tentang kereta China, membuatkan model-model jenama Geely yang kini dipasarkan sebagai Proton menjadi idaman peminat kereta nasional.

Keyakinan orang ramai turut dibantu oleh teknologi Geely yang terbukti, hasil penggabungan teknologi sedia ada dengan teknologi Volvo dari Jerman. Dibantu rekaan yang lebih asli  dan moden berbanding cubaan-cubaan jenama China sebelumnya yang nampak ketandusan idea.

Jika sebelum ini pasaran kereta Malaysia dikuasai jenama tempatan, Jepun dan Korea Selatan bagi pasaran bawah RM100 ribu; usahasama Proton/Geely menjadi kejayaan besar pertama kenderaan China memecah masuk pasaran kita - membolehkan kereta China dijual dalam kuantiti yang besar.

5. Telefon jenama China kini kuasai pasaran

oppo find x telefon china

Di antara semua produk jenama China yang paling berjaya memecah pasaran negara kita, telefon adalah penggerak utama China memperbaiki reputasi buruk mereka selama ini.

Jenama seperti Nokia, Samsung, Sony serta Apple yang lebih sinonim sebagai jenama rebutan mula tergugat oleh taktik pemasaran jenama China, yang menawarkan telefon pintar berspesifikasi tinggi pada harga tak masuk akal.

Jenama Huawei yang sebelum ini hanya dikenali sebagai jenama modem untuk sistem Streamyx mula diangkat statusnya. Jenama Oppo dan Vivo melancarkan taktik pemasaran agresif menggunakan hak penajaan acara-acara besar dunia bagi menjual nama mereka. Xiaomi dan OnePlus mempunyai peminat setia yang dibentuk bertahun lamanya. Jenama kurang disebut seperti Meizu pun mampu bertahan di pasaran kita.

Lambakan jenama telefon pintar China ke Malaysia merupakan satu fenomena perubahan permintaan yang menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam.

Bagaimanapun, harus diingatkan; untuk setiap telefon murah, pasti ada sebab kenapa telefon itu mampu dijual pada harga sedemikian rupa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)