Bila sebut sesuatu jenama yang sudah terkenal dengan identitinya, dengan mudah kita dapat mengagak dari mana datangnya jenama-jenama itu.
Jenama daripada Eropah, Jepun serta Amerika Syarikat mempunyai pengaruh yang sangat berkesan, membolehkan banyak jenama mereka diingati. Oleh kerana itu, ada banyak juga syarikat-syarikat pengeluar produk lain dengan sengaja menggunakan jenama mirip jenama terkenal, untuk meningkatkan reputasi jenama mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Perkara ini turut sama berlaku dalam produk bertaraf barangan buatan Malaysia, dengan beberapa jenama secara tidak sengaja (atau memang sengaja) menggunakan nama yang melambangkan jenama luar, tetapi sebenarnya adalah salah satu jenama tempatan. Berikut adalah lima jenama terkenal yang mempunyai reputasi macam antarabangsa, namun sebenarnya berasal dari negara kita.
1. Getha
Salah sebuah jenama tempatan yang berjaya memecah masuk pasaran antarabangsa, produk berasaskan getah syarikat Getha amat terkenal dengan kualitinya, selain daripada harganya yang agak mahal berbanding produk bantal dan tilam lain. Bagaimanapun, bagi pengguna setia Getha - hanya produk Getha mampu menawarkan keselesaan yang sukar digambarkan.
Ditubuhkan atas nama Weifong Industries Sdn. Bhd. sejak tahun 1969, kesemua produk Getha menggunakan 100% getah tempatan yang terkenal dengan kualitinya. Proses penghasilan produk mereka dihasilkan menggunakan teknologi terbaik serta menepati banyak piawaian antarabangsa.
2. Yokohama
Dalam dunia ini, ada dua jenama yang menggunakan nama Yokohama. Satu dari Jepun, pengeluar tayar terkenal dunia dan satu lagi dari Malaysia, pengeluar bateri terkenal di dunia. Bagaimanapun, kedua-dua jenama ini tidaklah berkait antara satu sama lain. Mungkin kebetulan sahaja namanya dan logonya hampir serupa. Kami pun tak pasti sebenarnya, hahaha.
Jenama bateri kenderaan Yokohama ditubuhkan pada tahun 1967 sebagai sebuah perusahaan keluarga, sebelum dijadikan syarikat atas nama Tai Kwong-Yokohama Battery Industries Sdn.Bhd. Jenama ini mengeluarkan tiga jenis produk iaitu bater kenderaan, bateri motorsikal dan bateri pelbagai guna. Bateri jenama Yokohama dieksport ke 36 buah negara seluruh dunia.
3. Mamee
Mamee adalah jenama makanan ringan yang sangat popular satu masa dulu, berikutan rasanya yang rangup dan masin-masin. Hasil populariti produk itu membolehkan jenama Mamee ini menjadi salah satu nama paling diingati kanak-kanak dan orang dewasa sehingga kini. Penggabungan dengan jenama Double Decker merancakkan lagi perniagaan Mamee dan kini dikenali dengan nama Mamee Double-Decker Sdn.Bhd.
Jenama Mamee ditubuhkan pada tahun 1971 selepas pengasasnya, Pang Chin Hin memberanikan diri berhenti daripada menjadi penjual kereta dan memulakan perniagaan mee segera, tanpa ada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang tersebut. Jenama mee segera mereka yang dikeluarkan atas nama Lucky gagal dalam pasaran, sebelum anak kepada Pang Chin Hin, Pang Tee Chew mendapati kanak-kanak suka makan mee segera tidak dimasak yang ditambah serbuk perisanya. Dari situlah lahir produk yang kita kenali dengan nama Mamee Monster.
4. Fujiaire
Jenama Fujiaire merupakan antara jenama Malaysia yang terkenal sebagai pengeluar pendingin hawa. Kini beroperasi daripada sebuah kilang di Batu Caves, Selangor serta telah membuka beberapa cawangan di luar negara, seperti di SIngapura, India, Vietnam dan Indonesia bagi membantu pemasaran, syarikat ini ditubuhkan bermula tahun 1994.
Jenama pendingin hawa mereka telah dipasarkan di seluruh dunia serta berjaya mendapat sambutan menggalakkan, walaupun berhadapan cabaran sengit jenama lain. Hampir 70% produk mereka dieksport dengan selebihnya dijual dalam pasaran tempatan. Jenama Fujiaire juga menjadi jenama pertama di Malaysia melancarkan unit pendingin hawa yang mempunyai sistem ionizer, pada tahun 1996.
5. Joven
Joven memulakan langkah mereka pada tahun 1983 dengan sebuah kilang kecil bersaiz 2000 kaki persegi dengan 4 orang pekerja. Kini jenama Joven merupakan antara jenama pemanas air yang bukan saja diyakini rakyat Malaysia, malahan terkenal reputasinya di seluruh dunia.
Pengasasnya, James Tan mempunyai kemahiran 15 tahun dalam bidang pemasangan kenderaan dan alat-alat elektrik. Dia mereka bentuk peranti pemanas air pertamanya, dengan hasrat mahu menjadikan pemanas air mampu dimiliki semua orang. Nama jenamanya yang unik sebenarnya berasal daripada nama pewangi yang dipakainya setiap hari bernama Jovan - tetapi diubah ejaannya supaya lebih mudah disebut.