Baca bahagian (1) dan (2) di sini:

21. Jimmy Choo

jimmy choo

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sumber Foto: vogue.it & aaronchinphoto.com

Sekiranya menonton rancangan televisyen Hollywood, pasti anda sedar ramai selebriti luar berbangga sekiranya memilik kasut rekaan Jimmy Choo. Kasut rekaan beliau sangat dipandang tinggi oleh barat, kerana kualiti yang tinggi serta rekaan yang menarik. Siapa sangka bahawa Jimmy Choo ini merupakan seorang rakyat Malaysia? Siapa sangka Jimmy Choo adalah jenama Malaysia?

Jimmy Choo dilahirkan di Pulau Pinang pada 15 November 1948 di dalam keluarga pembuat kasut. Nama keluarganya adalah Chow, namun telah tersalah eja di dalam surat beranak beliau. Beliau telah diajar untuk membuat kasut oleh bapa beliau sejak berumur 11 tahun lagi.

Choo menyambung pelajaran ke Cordwainers Technical College di Hackney (kini sebahagian daripada London College of Fashion) dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1983. Keluarga beliau bukanlah keluarga berada.

Beliau terpaksa bekerja secara sambilan di restoran dan menjadi tukang cuci di kilang kasut bagi menyara kehidupan serta membayar yuran pengajian. Selepas tamat belajar di Hackney, beliau membuka sebuah kedai kasut pada tahun 1986 dengan menyewa bangunan lama hospital.

Seni pertukangan dan rekaan kasut beliau kemudiannya disedari dan kasut-kasut ciptaan beliau telah dipaparkan dalam 8 muka surat majalah terkenal Vogue pada tahun 1988. Penaungan kasut Jimmy Choo oleh Princess Diana sekitar tahun 1990an terus menaikkan imej jenama tersebut.

Pada tahun 1996, Jimmy Choo dan seorang editor aksesori British Vogue iaitu Tamara Mellon telah bersama beliau menubuhkan Jimmy Choo Ltd. Pada April 2001, Choo menjual 50% pegangan saham syarikat tersebut dengan harga £10 juta (RM56 juta).

Dengan penjualan ini, beliau dapat menumpukan sepenuh masanya kepada Jimmy Choo Couture yang eksklusif di bawah lesen Jimmy Choo Ltd. Selain kasut, Jimmy Choo turut mengeluarkan produk aksesori wanita yang lain seperti beg tangan dan sebagainya.

Kini, sebut sahaja Jimmy Choo di mana sahaja di pelusuk dunia, pasti orang ramai tahu akan jenama eksklusif ini. Ramai tahu jenama malaysia ini terkenal di luar negara.

22. BABA'S

baba s rempah ratus

Sumber Foto: babas.com.my

Semasa muda remaja, semasa tengah seronok main permainan video, ibu selalu suruh pergi ke kedai runcit untuk belikan rempah BABA's. Katanya hendak masak gulai kari kepala ikan. Fuh, merecik. Ingatkan produk India, tapi bukan, produk Malaysia rupanya.

Pada sekitar tahun 1976, seorang pemuda dalam lingkungan umur 30an telah menggunakan semua wang simpanannya untuk membeli sebuah van, dan mula berniaga pelbagai barangan secara bergerak di sekitar Lembah Klang.

Kehadiran beliau sebanyak 2 bulan sekali di kawasan perumahan, dengan van yang diisi penuh dengan keperluan memasak, daripada beras ke rempah kering serta bumbu, sememangnya dinantikan oleh ramai suri rumah. Para suri rumah sangat menghargai kredit yang diberikan beliau melalui buku 555.

Kadang-kadang, para pelanggan akan membuat permintaan seperti rempah ratus yang tidak dijual beliau. Kerana semangat berniaga, beliau berusaha sedaya upaya memenuhi kehendak pelanggan beliau.

Permintaan seperti ini membuatkan beliau mencuba membuat campuran khas serbuk rempah bagi memenuhi keperluan pelanggan beliau yang berbilang kaum.

Melalui trial-and-error, dan maklum balas pelanggan tetap terhadap produk baharunya itu, beliau sentiasa memperbaiki resipi rempah tersebut hari demi hari, sehingga berjaya menjadi barang dagangan penting untuk perniagaan beliau. Perniagaan van beliau

Disebabkan permintaan yang tinggi, beliau terpaksa meluangkan masa selama 4 hari seminggu bagi menghasilkan produk rempah beliau, dan 3 hari selebihnya digunakan untuk menjual produk tersebut.

Kini, BABA's mempunyai lebih 30 produk terdiri daripada Masala Mixes, Pure Spice Powders, Pure Flours, Staple Food Mixes dan macam-macam lagi. Harini produk BABA's turut boleh dijumpai di luar negara seperti di Australia, Canada, China, Fiji, United Kingdom dan banyak lagi. Sungguh bangga penulis menjadi rakyat negara Malaysia.

Nota: Tidak diketahui siapakah gerangan pemuda yang memulakan syarikat BABA's. Namun kisah beliau ini terpampang di laman sesawang BABA's.

23. Munchy's

munchy s milik keluarga tan

Sumber Foto: maxit.my

Siapa tidak sukakan snek atau biskut untuk dinikmati bersama minuman petang? Kegemaran penulis adalah biskut Munchy's LEXUS perisa coklat dan mentega kacang. Siapa sangka Munchy's merupakan produk tempatan?

Munchy's diasaskan pada tahun 1991, di sebuah bandar kecil di selatan Malaysia, iaitu di Batu Pahat. Jenama Munchy's bermula apabila 2 orang beradik iaitu SK Tan dan LK Tan menubuhkan Munchy Food Industries. Dengan pelaburan awal sebanyak RM80,000, syarikat mereka berkembang dengan pantas.

Kemudiannya, 2 orang adik beradik mereka turut iaitu CK Tan dan Net Tan turut menyertai Munchy's.

Kapasiti pengeluaran produk syarikat ini meningkat dari tahun demi tahun dengan kerja kuat keluarga ini. Mereka menyasarkan untuk memasarkan produk Munchy's ke seluruh dunia. Destinasi luar negara pertama mereka adalah Afrika Selatan.

Kini, Munchy's mempunyai pelbagai jenis produk makanan dan boleh didapati di banyak negara termasuklah di Hong Kong, Iraq, Singapura, Korea Selatan, Bahrain dan banyak lagi. 

24. OGAWA

mesin urut ogawa

Sumber Foto: everydayonsales.com

Siapa tidak tahu tentang mesin urut OGAWA? Sudah tentu penulis akan sentiasa segar untuk menulis sekiranya mempunyai mesin kerusi urut OGAWA di rumah. Pasti datang banyak idea untuk menulis di atas kerusi OGAWA. 

Ogawa dalama bahasa Jepun membawa maksud aliran. OGAWA mengambil maksud aliran ini sebagai konsep jenama. Aliran yang dimaksudkan adalah aliran darah dalam badan yang perlu dilancarkan bagi kesihatan yang baik. 

OGAWA merupakan jenama kesihatan yang ditubuhkan pada tahun 1996 oleh Wong Lee Keong dan Lim Poh Kian. Sejak itu, OGAWA telah berkembang menjadi pemain utama dalam industri reka bentuk, pembangunan serta pemasaran kesihatan individu dan mesin kesihatan di Malaysia. 

25. Appeton

appeton weight gain 611

Sumber Foto: youtube.com

Ketika berusia belasan tahun, penulis kelihatan seperti tidak cukup makan, seakan-akan terbang di kala ada tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Ramai rakan-rakan mencadangkan Appeton Weight Gain bagi menambahkan berat badan. Ternyata berkesan.

Sehingga kini, jenama ini masih popular di kalangan rakyat Malaysia, dan siapa sangka Appeton merupakan jenama tempatan. Appeton dimiliki oleh Kotra Pharma, yang diasaskan pada 1982 dengan misi bagi mempromosikan kesihatan yang lebih baik dalam kalangan individu dari semua peringkat umur. 

Antara pencapaian Appeton adalah 'Most Trusted Brand (Gold)' bagi kategori vitamin dan produk kesihatan tambahan oleh Reader's Digest Trusted Brands Award. 

26. Spritzer

air mineral semulajadi spritzer

Sumber Foto: siliconrich.com

Selain air mineral Evian, air mineral Spritzer memang rasa sedap, tidak payau berbanding air mineral lain. Walaupun sedikit mahal, Spritzer menjadi pilihan penulis. Evian penulis tidak mampu. 

Spritzer Group of Companies yang terdiri daripada 8 buah anak syarikat telah memfokuskan kepakaran mereka kepada pencarian, penghasilan serta pengedaran air mineral semulajadi, air mineral sparkling, air suling minuman, air gas perisa buah, air perisa buah dan macam-macam lagi, sejak penghujung 1980an, 

Mungkin kedengaran mudah kerjanya, namun bahagian yang paling susah adalah memastikan air mineral tersebut betul-betul semulajadi, yakni tiada campuran kotoran mahupun bahan luar. 

Disebabkan hal ini, syarikat tersebut perlu menjaga sumber air semulajadi yang terletak di Taiping, Perak dengan berhati-hati, agar sumber air semulajadi ini kekal tulen dan bersih. 

Kini, Spritzer Berhad sendiri bernilai RM450 juta. Pada tahun 2016, syarikat tersebut berjaya menjana pendapatan sebanyak RM288 juta dengan keuntungan lebih kurang RM28.5 juta. Harini, Spritzer turut mengeksport produk mereka ke Singapura, Brunei, China, Hong Kong, Taiwan dan Papua New Guinea.    

27. Padini

padini

Sumber Foto: retailnews.asia

Perkataan 'Padini' itu sendiri berbunyi seakan perkataan Itali, seperti fettuccine. Namun siapa sangka Padini merupakan produk tempatan?

Padini mula beroperasi sebagai Hwayo Garments Manufacturers Company pada tahun 1971, dengan kepakaran dalam menghasilkan pakaian dan menjual secara wholesale. Terdapat beberapa jenama lain yang bernaung di bawah Padini seperti VINCCI, MIKI, SEED dan beberapa lagi. 

Jenama VINCCI ditubuhkan pada tahun 1986 bagi menceburi pasaran yang menarik minat wanita dengan menjual kasut, beg tangan, tali pinggang dan beberapa aksesori lain.

Selain Malaysia, Padini turut mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara seperti Thailand and Timur Tengah. Padini Holdings kini bernilai RM2.2 bilion, menjadikan syarikat ini syarikat fesyen terbesar di Malaysia.  

28. Lewré

lewre malaysia

Sumber Foto: themalaymailonline.com

Seperti jenama-jenama lain di dalam senarai ini, Lewré langsung tidak berbunyi tempatan. Perkataan Lewré seakan diadaptasi dari perkataan Perancis. Namun, hakikatnya, Lewre adalah nama kepada pengasas jenama ini, dan beliau adalah rakyat tempatan berbangsa Cina. 

Lewré sebenarnya diasaskan pada tahun 1997 oleh Lewre Lew. Jenama ini mengeluarkan kasut serta aksesori bagi lelaki dan wanita. Beliau pernah berguru dengan pereka kasut terkenal, Jimmy Choo.  

Kata beliau, beliau sangat bernasib baik kerana Jimmy Choo seorang yang sangat pemurah dengan ilmu, tidak kedekut untuk berkongsi kisah kejayaan beliau. Peluang untuk bekerjasama dengan Jimmy Choo memberi beliau pendedahan serta pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana untuk membina sebuah jenama.

Kini, jenama Lewré menjadi pilihan selebriti dan kerabat diraja tempatan dan luar negara. Seperti jenama Jimmy Choo, produk kasut Lewré turut boleh dijumpai di luar negara seperti di Kanada, Denmark, Mesir, Singapura, Pakistan, United Kingdom dan lain-lain. 

29. Jefferson

jefferson

Sumber Foto: eastcoastmall.com.my

Jefferson merupakan sebuah jenama yang mempamerkan trend fesyen terkini yang menjadi pilihan ramai. Dengan potongan baju dan jeans yang slim fit, jenama Jefferson 'kena' dengan citarasa remaja di Malaysia.

Sejarah Jefferson berbalik ke tahun 1980an, di mana jahitan secara customised merupakan suatu trend di Pulau Pinang, dengan ribuan pelanggan berpusu ke Jefferson bagi mendapatkan servis tersebut. Syarikat ini bermula di bangunan Komtar pada tahun 1987, di bawah nama Jefferson Fashion Design.

Pada Mac 1995, Jefferson telah bergabung dengan Amity Center Sdn. Bhd. bagi menghadapi perluasan empayar perniagaan Jefferson. Penggabungan ini membolehkan Jefferson mempelbagaikan produk mereka, serta memperagakan pelbagai jenis fesyen pakaian serta aksesori yang trendy.

Kini, outlet kedai Jefferson dapat dilihat di seluruh negara.   

30. Beryl's

beryl s chocolate 909

Sumber Foto: klia2.info

Bagi penggemar coklat, kalau ke Langkawi memang tidak sah kalau tidak beli coklat Beryl's. Selain Langkawi, Beryl's boleh dijumpai dengan mudah di kawasan bebas cukai seperti lapangan terbang.

Bunyi seperti produk luar, Beryl's merupakan produk tempatan di bawah syarikat Beryl's Chocolate and Confectionery Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada tahun 1995. Fokus utama syarikat ini adalah untuk menghasilkan coklat terbaik bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara. 

Kilang pertama Beryl's terletak di sebuah bandar kecil Desa Serdang di selatan Kuala Lumpur. Beryl's bermula dengan pembuatan coklat dalam pek yang dijual terutamanya di kedai bebas cukai dan supermarket di seluruh negara.

Pada tahun 2008 dan 2013, syarikat ini membuka 2 lagi kilang bagi memenuhi permintaan pelanggan dan seterusnya mencipta serta menghasilkan lebih banyak produk baharu. 

Kini, Beryl's chocolates boleh dijumpai bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara lain seperti Jepun, Singapura, Vietnam, India, Maldives, New Zealand dan banyak lagi. 

31. Dutch Lady

dutch lady

Dutch Lady dalam bahasa melayu bermaksud wanita Belanda. Namun, sekiranya anda sangka Dutch Lady berasal dari Belanda, maka sangkaan anda itu 50-50 betul. Mengapa begitu?

Syarikat ini bermula sebagai Pacific Milk Industries (Malaya) Sdn. Bhd. pada 28 May 1963 dengan tujuan operasi untuk menghasilkan susu pekat manis di Petaling Jaya. Walaupun syarikat ini dimiliki oleh syarikat Belanda, Dutch Lady memulakan operasi penghasilan susu pertama di Selangor, Malaysia.

Pada 24 September 1968, syarikat ini menjadi syarikat susu pertama yang disenaraikan di dalam Stock Exchanges Kuala Lumpur dan Singapura. Pada tahun 1975, syarikat ini menukarkan namanya kepada Dutch Baby Milk Industries (Malaya) Berhad, yang kemudiannya ditukarkan lagi kepada Dutch Lady Milk Industries Berhad. 

Kredit: 

  1. ogawaworld.net
  2. kotrapharma.com
  3. munchys.com
  4. babas.com.my
  5. spritzer.com.my
  6. jimmychoo.com
  7. berylschocolate.com.my
  8. jefferson.com.my
  9. matrade.gov.my
  10. thestar.com.my



Hakcipta iluminasi.com (2017)