Artikel ini adalah sambungan daripada 30 Jenama Malaysia Yang Ramai Sangka Berasal Dari Luar (Bahagian 1).

11. JobStreet.com

mark chan mun kee pengasas jobstreet

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sumber Foto : jobstreet.com.my & blog.thebrandlaureate.com

Bagi kebanyakan graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di universiti, memohon pekerjaan adalah keutamaan. Pada tahun 1990an, memohon pekerjaan adalah secara manual, yakni dengan menghubungi syarikat secara terus bagi permohonan.

Sejak tahun 1997, memohon pekerjaan menjadi lebih mudah dengan wujudnya laman sesawang JobStreet.com hasil buah fikiran Mark Chan Mun Kee, seorang bekas jurutera pemprosesan di Kendall International.

Mark Chan ini bukanlah calang-calang orang, beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Sains) dalam Kejuruteraan Mekanikal dari University of Texas. Beliau turut mempunyai Ijazah Sarjana dalam jurusan yang sama dari universiti terbaik dunia iaitu Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Kadar penerimaan pelajar antarabangsa ke universiti ini adalah sangat rendah kerana keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.

Berbalik kepada JobStreet, Mark Chan mempunyai visi untuk menyediakan platform automatik bagi memadankan permohonan pekerjaan oleh pekerja dengan kekosongan pekerjaan oleh majikan. Laman sesawang ini diasaskan di Malaysia, dengan suntikan perlaburan sebanyak USD2.6 milion pada ketika itu.

Kini, JobStreet diiktiraf sebagai syarikat pekerjaan dalam talian terbesar di Asia Tenggara oleh Forbes, yang berkhidmat kepada lebih kurang 80,000 pelanggan korporat serta 11 juta pencari kerja. Jobstreet turut beroperasi di beberapa negara termasuklah Jepun, India, Filipina serta negara-negara di Eropah barat.

12. Secret Recipe

steven sim pengasas secret recipe

Sumber Foto : aidee92.blogspot.my

Setiap kali sambutan hari lahir ahli keluarga mahupun rakan, pasti Secret Recipe menjadi pilihan ramai bagi mendapatkan kek hari jadi. Kek Chocolate Indulgence sememangnya menjadi pilihan hati penulis.

Diasaskan pada tahun 1997, Secret Recipe merupakan hasil titik peluh Datuk Steven Sim yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Outlet pertama kedai kek ini terletak di SS2, Petaling Jaya.

Beliau memulakan perniagaan ini bersama 3 orang anak saudara beliau yang merupakan bakers terlatih. Bermodalkan RM150,000, beliau yakin konsep perniagaan ini lain daripada yang lain, dan meneruskan hasrat beliau walaupun negara pada ketika itu dilanda krisis ekonomi yang teruk.

Kini, setelah 20 tahun beroperasi, Secret Recipe mempunyai lebih 440 buah kafe di beberapa buah negara termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan banyak lagi. India dan New Zealand menjadi negara seterusnya bagi cawangan baru Secret Recipe.

13. Sushi King

fumihiko konishi pengasas sushi king 838

Sumber Foto : robbreport.com.my&dealsextra.com.au

Sushi King sebenarnya adalah jenama Malaysia, ramai tidak tahu akan fakta ini. Kita tahu makan saja, janji sedap, betul tak?

Ya, Sushi King diasaskan di Malaysia. Namun, pengasasnya sebenarnya berasal dari Jepun, dan kini beliau menetap di Malaysia. Beliau adalah Tan Sri Dato' Seri Dr. Fumihiko Konishi. Outlet pertama Sushi King mula beroperasi sejak tahun 1995.

Sushi King merupakan peneraju terawal di Malaysia yang membawa era baru hidangan Jepun melalui keunikan 'Kaiten Sushi' atau 'Revolving Sushi' dengan konsep restoran servis segera. Selain sushi, mereka turut menawarkan hidangan Jepun yang lain selain sushi dengan harga berpatutan serta suasana yang selesa.

Bermula dengan hanya sebuah outlet di Kuala Lumpur, kedai sushi ini telah berkembang dan kini mempunyai lebih 100 outlet di seluruh negara. Jenama Malaysia ini terkenal di seluruh dunia.

14. Marrybrown

lawrence dan nancy liew pengasas marrybrown

Sumber Foto : bharian.com.my

Menjual hidangan makanan seakan-akan McDonald's, Marrybrown bukan jenama luar. Syarikat francais burger dan ayam goreng ini merupakan produk tempatan. Walaupun tidak sepopular McDonald's mahupun KFC, Marrybrown masih bertahan sehingga kini. Seperti jenama Malaysia dalam senarai ini, 'Marrybrown' langsung tidak ada bunyi tempatan.

Asal usul Marrybrown bermula di sebuah shoplot di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru pada tahun 1981, oleh sepasang suami isteri iaitu Lawrence dan Nancy Liew. Ketika itu, rangkaian makanan segera daripada Amerika Syarikat telah mendominasi pasaran di Malaysia dengan kehadiran 10 tahun lebih awal.

Menyedari peluang yang sama, pasangan ini mendapat idea untuk memulakan rangkaian makanan segera mereka sendiri yang berasaskan cita rasa rakyat Malaysia, selain menjadi perintis dalam bidang ini.

Mereka berasakan kebanyakan orang Islam di negara ini inginkan makanan Barat yang halal. Pada zaman tersebut, masyarakat Islam Malaysia masih was-was akan rangkaian makanan segera dari luar.

Kini, Marrybrown mempunyai lebih 130 outlet restoran di seluruh Malaysia, dan turut beroperasi di 20 buah negara yang kebanyakannya di Asia. Pelan jangka panjang syarikat ini adalah untuk membina lebih outlet restoran di 56 buah negara Islam, selain menembusi pasaran Eropah. Siapa sangka jenama terkenal ini dari Malaysia.

15. Life

region food industries life sauce

Sumber Foto : lifesauces.com.my

Memakan ayam KFC pasti tidak akan lengkap tanpa sos cili Life. Selain KFC, sos ini turut dihidangkan di rangkaian restoran lain seperti Pizza Hut, RasaMas dan banyak lagi. Siapa sangka sos cili Life ini merupakan produk Malaysia?

Sos cili Life merupakan produk syarikat Region Food Industries (RFI) Sdn. Bhd. yang diasaskan pada tahun 1978. Pada tahun 1994, syarikat ini telah dibeli oleh KFC Holdings (Malaysia) Bhd. sebagai sokongan bagi membekalkan sos ke rangkaian restoran KFC di seluruh negara.

Kini, RFI merupakan peneraju serta pembekal utama produk sos original dan berkualiti bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara lain seperti UK, US, Perancis, Australia, Jepun, Hong Kong dan sekitar Asia Tenggara.

16. MAMEE Monster & Mister Potato (MAMEE Double-Decker)

mamee monster

Sumber Foto:mamee.com

mister potato 305

Sumber Foto:mister-potato.com

MAMEE Monster menjadi kegemaran penulis semasa kecil. Harga pada ketika itu sangat murah, hanya 20 sen dan isinya lebih gempal berbanding sekarang, yang dijual dengan harga 50 sen. Dahulunya, beli Mamee Monster akan dapat pelekat Digimon, yang perlu dikumpul untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik. Walaupun tidak menang, kenangan itu sangat indah.

Siapa sangka, MAMEE kini telah berusia 46 tahun. Syarikat ini sebenarnya diasaskan oleh Datuk Pang Chin Hin pada tahun 1971. MAMEE berkembang dengan pantas, menjadi snek popular pilihan rakyat negara ini. Mamee telah diperbadankan pada 3 Ogos 1991 dan disenaraikan di papan utama Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE) pada 18 Mac 1992.

Antara produk lain MAMEE termasuklah Mister Potato yang menjadi pilihan pengguna sejak 1992 dan menjadi produk kentang nombor 1 di negara ini menurut AC Neilsen. Kini, MAMEE menjadi pengilang antarabangsa yang diiktiraf dengan lebih 50 produk di bawah 10 jenama di seluruh dunia.

17. Goodmaid

gcc produk goodmaid 74

Sumber Foto:keishamarine.com

Selain Ajax Fabuloso, Goodmaid merupakan salah satu produk yang menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai sabun pencuci lantai.

Sejak permulaan Goodmaid Chemicals Corporation (GCC) Sdn. Bhd. pada tahun 1988, syarikat ini hanya mempunyai 4 buah produk sahaja. Dalam beberapa tahun, GCC telah berkembang maju di market domestik dan juga antarabangsa.

Setelah beroperasi selama 26 tahun, Saraya Global Japan (SGJ) telah membeli GCC pada tahun 2014. Dengan pembelian ini, GCC kini lebih teguh dengan ahli profesional dan pengetahuan teknikal dari SGL. Ke mana sahaja supermarket mahupun hypermarket di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak yang kita pergi, pasti ada sahaja produk Goodmaid.

Kini, SGL telah berjaya mempelbagaikan produk mereka dan sangat aktif melibatkan diri dalam industri produk dan perkhidmatan perindustrian. Mereka turut menjadi pembekal produk pencuci serta penjagaan diri kepada kontraktor, syarikat perkhidmatan pencucian, hotel serta kilang-kilang tempatan serta luar negara.

18. Parkson

parkson malaysia

Sumber Foto:insideretail.asia

william cheng pengasas parkson

Sumber Foto:focusmalaysia.my

Sekiranya berkunjung ke pusat beli belah di sekitar ibu negara, pasti kita akan dapat lihat kewujudan Parkson yang gah berdiri mempamerkan pelbagai produk dari pakaian ke set pinggan dan sebagainya.

Sejarah syarikat ini bermula sejak 1987 lagi, dengan outlet pertamanya di Sungei Wang Plaza. Antara outlet lain yang terawal termasuklah di Atria Shopping Centre (Damansara Jaya). Parkson diasaskan oleh William Cheng, yang kini menerajui Lion Group Malaysia.

Harini, Parkson boleh dijumpai di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 42 outlet setakat 31 Januari 2015. Selain Malaysia, Parkson turut beroperasi di luar negara. Outlet luar negaranya yang pertama terletak di China, yang dibuka pada tahun 1994, dan kemudiannya berkembang kepada 54 outlet di negara tersebut.

Selain China, outlet Parkson turut dibuka di beberapa negara asia lain seperti Vietnam, Indonesia dan Myanmar.

19. Vochelle

vochelle

Sumber Foto:maestroswiss.com

Penggemar coklat pasti kenal coklat Vochelle. Kalau ke Langkawi pasti tidak akan lupa untuk membeli coklat ini. Untuk pengetahuan semua, Vochelle ni adalah produk tempatan.

Jenama Vochelle dimiliki oleh sebuah syarikat induk iaitu Maestro Swiss Group. Bunyi seakan syarikat Switzerland, Maestro Swiss adalah syarikat Malaysia. Tidak banyak maklumat berkenaan bagaimana syarikat ini bermula, namun yang pasti jenama lain yang turut dikeluarkan oleh syarikat ini adalah minuman coklat Vico.

Maestro Swiss Group berkembang dengan pantas dengan pengilangan, penjualan dan pemasaran sendiri dalam industri makanan dan minuman. Beribu pejabat di Pulau Pinang, team penjualan dan pemasaran syarikat ini beroperasi di Petaling Jaya.

Kini, Maestro Swiss diedarkan di lebih 17,000 outlet kedai di seluruh Malaysia. Produk syarikat ini turut dieksport ke lebih 20 negara luar.

20. Fipper

outlet kedai fipper

Sumber Foto:fipperslipper.com

jack lim pengasas fipper 978

Sumber Foto : imgrum.org

Cuaca di Malaysia yang panas ini menyebabkan ramai lebih memilih untuk memakai selipar berbanding kasut. Dengan rekaan selipar yang simple dan bergaya, Fipper menjadi pilihan rakyat Malaysia. Ada yang menyangka Fipper, Roxy dan Havaianas berasal daripada satu syarikat induk. Salah! Fipper adalah produk tempatan.

Kisah di sebalik pengasas Fipper ini sangatlah memberi inspirasi kepada penulis. Kisahnya setanding dengan kisah Steve Jobs, Mark Zuckerberg mahupun Bill Gates, hanya versi rakyat Malaysia. Perbandingan ini dibuat kerana melihat persamaan dari segi keberanian mengambil risiko berhenti belajar di universiti bagi mengejar impian mereka.

Fipper diasaskan oleh seorang pemuda bernama Jack Lim pada tahun 2008, dengan pembukaan kedai pertama di Sungei Wang Plaza pada tahun 2010.

Selepas menamatkan pengajian sekolah menengah pada tahun 1996, Lim berpeluang melanjutkan pelajaran dalam Sains Komputer di Amerika Syarikat. Namun, jauh di sudut hati beliau, beliau ingin menjadi seorang usahawan. Ketika itu beliau sedar bahawa beliau memerlukan modal yang banyak untuk memulakan perniagaan.

Beliau tidak tahu perniagaan apakah yang patut beliau ceburi, namun beliau tetap nekad untuk mencuba. Setelah tamat semester pertama di AS, beliau membuat keputusan untuk berhenti belajar dan mula melakukan pelbagai pekerjaan bagi mengumpul modal, ke arah merealisasikan impian beliau.

Apabila pulang ke Malaysia, beliau mula merangka pelan perniagaan beliau. Tidak lama kemudian, beliau memulakan perniagaan selipar di bawah jenama Fipper melalui Fipper Marketing Sdn. Bhd.. Pada tahun 2008, hanya terdapat beberapa jenama selipar di pasaran Malaysia, antaranya termasuklah Ipanema, Riders dan Havaianas.

Namun semua jenama ini menjual produk mereka pada harga premium. Beliau melihat terdapat permintaan yang tinggi terhadap selipar berkualiti (pada harga berpatutan). Pencerahan ini membuatkan beliau sangat bersemangat untuk menceburi industri tersebut.

Dengan segera beliau bersama 3 orang rakan dari zaman kanak-kanak beliau ke Thailand bagi mendalami industri selipar, serta mencari pembekal bahan untuk membuat selipar. Akhirnya, getah semulajadi menjadi pilihan. Idea dan usaha beliau berhasil.

Kini, setelah 9 tahun beroperasi, Fipper mempunyai lebih 50 outlet kedai di seluruh Malaysia. Fipper telah berkembang secara dinamik kepada sebuah jenama yang dipercayai. Di Bali, Indonesia 8 buah outlet kedai telah dibuka dalam masa setahun sahaja.

Menurut Lim, Fipper mempunyai pelan jangka panjang untuk berkembang ke Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei dan seterusnya seluruh Asia.

SAMBUNGAN

30 Jenama Malaysia Yang Ramai Sangka Berasal Dari Luar (Bahagian 3).

Kredit :

  1. academia.edu
  2. halalexporter.com
  3. lifesauces.com.my
  4. mamee.com
  5. goodmaid.net
  6. parkson.com.my
  7. thestar.com.my
  8. smartinvestor.com.my
  9. top10asia.org
  10. sushi-king.com
  11. top10asia.org
  12. maestroswiss.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)