Adakah anda mengenali kesemua simbol yang terpampang pada dashboard kenderaan anda? Semakin canggih sesebuah kereta, maka semakin banyaklah simbol yang perlu difahami pemandu.
Tahukah anda, menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh Britannia Rescue pada tahun 2013, 98% pemandu tidak mengenali simbol-simbol di dalam kenderaan mereka? Ramai yang masih keliru dengan tanda-tanda amaran seperti tekanan angin pada tayar dan juga amaran beg udara tidak berfungsi.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, simbol-simbol pada papan pemuka ini bukanlah bersifat universal dan adakalanya spesifik digunakan untuk jenama kenderaan tertentu sahaja. Sebagai contoh, sebuah Mercedes Benz E Class mempunyai 41 simbol manakala Volvo S40 hanya mempunyai 21 simbol sahaja.
Namun, masih terdapat simbol yang lebih standard dan digunakan dalam kebanyakan kereta masa kini. Sebagai pemandu berhemah, anda perlu mengenal pasti setiap satu daripadanya kerana nyalaan simbol ini mungkin bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta anda.
Untuk bahagian pertama artikel ini, kami kongsikan 15 simbol yang paling biasa dijumpai dalam kenderaan:
#1 Pintu kereta
Salah satu pintu kereta mungkin tidak ditutup rapat. Periksa pintu kereta anda.
#2 Minyak dalam tangki
Ini mungkin simbol yang paling dikenali semua orang. Simbol ini menandakan minyak semakin berkurangan. Silalah ke stesen minyak dengan segera.
#3 Bateri kereta
Jika simbol ini menyala, ini bermakna caj bateri semakin berkurangan. Kurangkan penggunaan kuasa bateri seperti penyaman udara, lampu dan radio. Bawa ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Boleh jadi juga alternator anda mengalami masalah.
#4 Tali pinggang keledar
Simbol ini menyala untuk memberitahu yang anda perlu memakai tali pinggang keledar. Utamakan keselamatan!
#5 Amaran EMS (Engine Management System)
Jika simbol EMS ini menyala semasa memandu, segera bawa kenderaan anda ke bengkel. Ini mungkin masalah sensor kereta, sistem pendawaian atau suatu masalah yang lebih serius.
#6 Brek tangan
Ada sesetengah kereta yang menggunakan huruf P sebagai menggantikan tanda seruan. Ingat, anda perlu menurunkan brek tangan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
#7 Lampu bahaya (hazard lights)
Lampu ini digunakan hanya untuk memberitahu para pemandu dan penunggang lain bahawa kenderaan anda sedang berhenti (kerana andalah 'objek bahaya' yang dimaksudkan).
Jangan sesekali memandu sambil memasang lampu ini. Ramai orang Malaysia yang suka pasang lampu ini ketika memandu dalam hujan lebat. Tahukah anda, itu lebih membahayakan kerana orang akan ingat anda sedang berhenti atau sedang memperlahankan kenderaan untuk berhenti?
#8 Lampu isyarat
Sebelum anda bertukar lorong, anda perlu memberikan lampu isyarat. Sayangnya masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu kegunaan lampu isyarat.
#9 Lampu suluh tinggi (main beam headlights)
Simbol ini kebiasaannya berwarna biru pada papan pemuka kenderaan. Lampu ini boleh mem'buta'kan semua pemandu dan penunggang dari arah hadapan. Ia hanya boleh digunakan di kawasan yang sunyi dan tidak berlampu seperti kawasan hutan atau jalan kampung. Jangan sesekali menggunakan lampu ini ketika di atas lebuh raya.
#10 Suhu enjin
Jika lampu ini menyala, ia mungkin menandakan bahawa enjin anda menjadi terlalu panas. Matikan kenderaan serta-merta dan periksa takat air dalam enjin. Mungkin juga ada kebocoran pada radiator.
#11 Minyak enjin/minyak hitam
Lampu minyak enjin menyala untuk menandakan minyak yang semakin berkurangan. Sila bawa ke bengkel untuk memeriksa sama ada terdapat kebocoran.
#12 ABS (Advanced Braking System)
Sekiranya kenderaan anda dilengkapi dengan sistem ABS, bawa kenderaan ke bengkel dengan segera jika simbol ini menyala ketika anda sedang memandu.
#13 Arah liang udara
Tetapan penyaman udara ini mempunyai beberapa simbol berlainan yang boleh digunakan. Lihat arah anak panah untuk memilih tetapan yang bersesuaian.
#14 Pemanas cermin belakang (demister)
Lampu ini menandakan pemanas cermin belakang sedang beroperasi. Di Malaysia, pemandu sering guna pemanas ini untuk mengelakkan kabus di bahagian belakang yang melindungi pemandangan terutama sekali ketika hujan.
#15 Beg udara
Lampu ini hanya akan menyala untuk memberi amaran kerosakan pada beg udara (sekiranya kereta anda dilengkapi sistem beg udara). Segera bawa kenderaan anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.