Oleh pada 04 Oct 2023 kategori

Malaysia bertuah kerana mendapat Perdana Menteri ke 10 yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang kesasteraan bahasa Melayu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh beberapa bulan ini dilihat seakan giat mahu mempopularkan kembali penggunaan istilah bahasa Melayu yang sudah terasing, agar dapat kita perdanakan kembali penggunaannya.

Tindakan ini harus kita puji, kerana secara tidak sengaja apa yang beliau lakukan mampu mengangkat kembali martabat bahasa Melayu di kalangan ahli masyarakat, seterusnya menyuburkan kembali perbincangan berkenaan bahasa di antara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 10 istilah yang telah disebut beliau sepanjang menjawat jawatan beserta penerangannya.

1. Madani

malaysia madani slogan

Kita mulakan terus dengan istilah paling sinonim dengan era pentadbiran beliau, iaitu istilah 'madani' yang dipilih menjadi slogan utama visi negara ketika ini.

'Madani' dalam kamus kita merujuk kepada pencapaian yang layak dikatakan tinggi dalam tiga faktor utama iaitu pemikiran, kerohanian dan kebendaan; secara am mewakili jelas faktor psikologi, keagamaan dan pembangunan fizikal sesebuah negara.

Istilah ini dipinjam daripada istilah bahasa Arab madaniyah yang merujuk kepada seseorang individu yang duduk dalam sebuah masyarakat yang membangun.

2. Cerakin

makna istilah cerakin

Istilah ini sebenarnya mudah ditemui, khususnya dalam subjek matematik di sekolah. Cerakin mempunyai pelbagai maksud, tetapi untuk konteks artikel ini kami hanya akan menumpu kepada dua.

Cerakin boleh membawa makna perbuatan yang mencari kebenaran dan yang kedua, cerakin juga boleh bermaksud tindakan menghurai atau memecahkan sesuatu kepada unsur-unsur asasnya.

3. Islah

islah makna ucapan pmx

Pernah dengar istilah ini? 'Islah' atau bila ditambah imbuhan membentuk perkataan 'mengislahkan' adalah perkataan yang merujuk kepada perbuatan atau usaha mengembalikan sesuatu kepada keadaan asal yang betul atau lebih sesuai.

Islah diambil daripada istilah bahasa Arab salaha yang membawa makna hampir serupa, iaitu perbuatan membaiki, memulih, mengembalikan sesuatu keadaan atau hubungan agar keamanan kembali terjaga.'

4. Kemitraan

anwar ucapan kemitraan

Secara rasmi, istilah ini tidak wujud dalam kamus kita tetapi digunakan secara meluas di Indonesia. Tetapi bila PMX dah gunakan, kami rasa harus kami sertakannya.

'Mitra' dalam bahasa Indonesia bermakna hubungan atau kerjasama yang terjalin di antara dua atau lebih pihak, tak kiralah melibatkan rakan, kawan, saudara, kerajaan, negara, pemimpin dan sebagainya.

Jadi apabila PMX berharap kemitraan Malaysia dan Indonesia terus terjalin, beliau mengharapkan hubungan kedua negara kekal dalam nada harmoni.

5. Tiwikrama

dewa wisnu tiwikrama

Bunyi istilah ini agak aneh kan? Ini kerana jelas daripada struktur istilahnya, istilah ini dipinjam daripada bahasa Jawa.

Tiwikrama bererti sesuatu usaha yang dilakukan secara sungguh-sungguh, dalam merealisasikan impian, visi atau cita-cita yang mahu dikejar.

Istilah ini sebenarnya hadir daripada kepercayaan Hindu masyarakat Jawa terdahulu, yang mempercayai Dewa Wisnu mempunyai kuasa untuk membesarkan dirinya menjadi gergasi. Kuasa itu digelarkan sebagai kuasa tiwikrama.

6. Kesenjangan

senjang kesenjangan tidak seimbang

Istilah ini merupakan alternatif yang cukup baik untuk diguna bagi menggantikan frasa yang lebih popular seperti 'kurang stabil' atau 'tidak seimbang.'

Senjang secara akarnya bererti sesuatu yang tidak sama atau tidak simetri dalam bentuk corak atau rekaan.

Apabila digabungkan dengan imbuhan membentuk kesenjangan, istilah itu mewakili keadaan atau situasi yang jauh berbeza-beza, berlainan atau tidak seimbang komposisinya.

7. Dasawarsa

dekad decade dasawarsa

Kita biasa menggunakan istilah dekad bagi mewakili tempoh masa 10 tahun, yang diambil daripada istilah decade dalam bahasa Inggeris. Istilah Inggeris itu pula diambil daripada istilah Latin 'deka' yang membawa maksud 10.

Apa alternatif 'dekad' dalam bahasa Melayu? Dasawarsa. Istilah ini datang daripada istilah Sanskrit 'dasa' yang membawa maksud sepuluh dan warsa yang bermaksud tahun.

8. Purbasangka

purbasangka makna istilah lama

Jika anda sudah agak berusia zaman sekarang, pasti anda ingat dulu-dulu drama 'Melayu purba' cukup popular di kalangan peminat siaran televisyen kan?

Kita tahu 'purba' merujuk kepada zaman dahulu. 'Sangka' pula merujuk kepada pendapat yang dibuat secara tekaan atau andaian yang belum jelas buktinya.

Jadi 'purbasangka' membawa makna sesuatu andaian atau telahan yang belum sahih, tetapi telah lama disimpan atau dipendam. Sama seperti istilah 'prasangka.'

9. Hubaya

hubaya hubaya istilah lama

Hubaya? Apa ni? Jenis pakaian baru ke? Bukan.

Hubaya adalah satu istilah yang digunakan sebagai satu bentuk peringatan daripada penuturnya kepada pendengarnya. Sebagai contoh 'hubaya-hubaya, berhatilah dengan penipu yang menyamar sebagai polis yang menelefon anda!'

Hubaya boleh membawa maksud ambil perhatian, awas, jaga-jaga, hati-hati,berwaspadalah.

Sementara itu HABAYA adalah sejenis pakaian yang direkabentuk daripada masyarakat Arab. Jangan tertukar pula!

10. Tatanan

tatanan cara kaedah aturan

Dari bunyinya saja sudah jelas istilah ini diambil daripada bahasa Jawa.

'Tatanan' adalah alternatif kepada istilah sama makna lain seperti susunan, susun atur, sistem atau aturan; sesuatu yang melambangkan kaedah menyusun atau mengatur sesuatu agar lebih mudah difahami dan terurus.

Tata dalam bahasa Jawa bererti atur, jadi tatanan secara amnya merujuk kepada kaedah mengatur.




Hakcipta iluminasi.com (2017)