Ramai di antara kita yang suka mendengar dan membaca kisah keluarga di raja namun banyak lagi yang mungkin kita belum ketahui. Tahukah anda satu keluarga diraja pernah memerintah keseluruhan benua? Atau tahukah anda ada keluarga diraja yang mendakwa mereka disebut di dalam kitab injil?
Pelbagai kisah menarik di sebalik bagaimana sesetengah keluarga ini meluaskan kekuasaan mereka dan tidak kurang juga legasi ratusan tahun yang hancur akibat pemberontakan hanya dalam masa yang singkat. Mari kita kenali 10 keluarga diraja paling terkenal di dunia.
10. House of Windsor
BESARKAN TEKS A- A+
Jika dibandingkan dengan sesetengah dinasti lain, keluarga diraja ini boleh dianggap pendatang baru kerana hanya berusia 101 tahun. Namun keluarga ini mempunyai populariti dan kuasa yang besar dan sepertimana sejarah yang sering tercatat, kemungkinan pemerintahan mereka akan berakhir tidak lama lagi.
Ketua kepada keluarga ini ialah Ratu Elizabeth II yang juga ditabal sebagai Ratu Britain. Datuk kepada Ratu Britain sekarang iaitu George V yang mengasaskan pertubuhan keluarga ini pada tahun 1917 yang sebelum ini berasal dari keturunan German House of Saxe-Coburg.
30 tahun kebelakangan ini pelbagai kontroversi melanda keluarga ini di mana putera rajanya bercerai, menantu kepada Ratu mengalami kemalangan maut bersama kekasih gelapnya, Ratu dikritik kerana kurang prihatin dan pelbagai lagi. Namun pada abad ke-21 ini populariti keluarga ini semakin melonjak naik. Ini dibuktikan apabila perkahwinan cucu kepada Ratu Elizabeth II mendapat rekod perkahwinan paling ditonton di seluruh dunia.
9. Dinasti Tudor
Zuriat sebagai pewaris adalah sangat penting kepada keluarga diraja, itulah yang dipelajari oleh isteri-isteri Henry VIII yang diceraikan atau dipancung akibat gagal memberikan zuriat. Dinasti Tudor yang berasal dari Wales ini dan diasakan oleh Henry II merupakan salah satu dinasti yang pendek iaitu sepanjang 118 tahun namun sangat berkuasa pada zaman kegemilangannya.
Pelbagai perubahan dari segi kebudayaan yang berlaku dan yang paling terkenal ialah Reformasi Henry yang memutuskan hubungan dengan pihak Gereja Rom kerana ingin menceraikan isterinya Catherine yang tidak boleh dilakukan mengikut undang-undang gereja Katolik Rome. Pada era Tudor ini juga mereka sangat terkenal dengan karya seni dan juga ekspidisi penjelajahan ke seluruh dunia. Begitu banyak kejayaan yang dikecapi semasa pemerintahan dinasti ini.
8. Dinasti Qajar
Kadang kala untuk mendapatkan kuasa, anda perlulah sedikit berhati kering. Namun bagi Mohammed Khan Qajar of Persia (kini Iran), dia bukan sahaja sedikit kejam namun hampir menyebabkan sebahagian besar populasi Persia terkorban atau cedera di dalam misinya untuk menjadi lelaki yang paling berkuasa. Segalanya berhasil apabila dia diangkat menjadi Shah of Persia atau Raja Parsi pada tahun 1796.
Akan tetapi pemerintahannya tidak bertahan lama apabila dia dibunuh oleh pembunuh upahan setahun kemudian. Dinastinya walau bagaimanapun bertahan sehingga 128 tahun lamanya walaupun telah kalah kepada Russia dan terpaksa menyerahkan sebahagian besar tanah jajahan mereka.
Pada tahun 1848, tahta telah diambil alih oleh cicit saudara pengasasnya iaitu Naser al-Din Shah (gambar) yang merupakan seorang pemimpin Qajar yang berjaya. Dia menubuhkan banyak universiti dan meningkatkan kebudayaan Parsi pada ketika itu. Namun ianya tidak bertahan lama apabila pemerintahan dinasti Qajar berakhir pada tahun 1925 setelah digulingkan oleh Reza Khan.
7. Dinasti Ming
Dinasti Ming merupakan salah satu dinasti yang paling terkenal di dalam sejarah negara China namun hanya bertahan selama 276 tahun sahaja. Diasaskan pada 1368 oleh Maharaja Hongwu, ia merupakan salah satu dinasti yang paling berkuasa, dengan lebih sejuta anggota tentera. Bukan itu sahaja, Dinasti Ming ini juga bertanggungjawab dalam meningkatkan perkembangan China di dalam penulisan, sastera dan juga kesenian.
Pada dinasti ini juga lahir 4 orang yang sangat terkenal di dalam sejarah China iaitu Shen Zhou, Tang Yin, Wen Zhengming and Qui Ying yang digelar The Four Master. Akan tetapi perkara baik selalunya tidak akan bertahan lama. Pada tahun 1644 semasa pemerintahan dinasti ini sedang melemah akibat perang dan kejatuhan ekonomi, terjadi satu pemberontakan di mana Maharaja Chongzhen membunuh diri apabila dikepung di istananya. Maka berakhirlah dinasti yang paling terkenal di China ini.
6. Dinasti Romanov
Kebanyakan dinasti berakhir dengan sendirinya namun bagi dinasti Romanov di Russia, mereka digulingkan dengan kejam dan setiap keturunan atau pertalian darah mereka akan dikesan dan dibunuh. Namun khabar angin mengatakan bahawa seorang keturunan ini telah terselamat. Keluarga Tsar ini menjadi sangat dibenci ketika abad ke-20 apabila mereka hidup dalam kemewahan yang melampau sedangkan rakyat sedang menderita akibat perang dan kebuluran.
Dinasti Romanov merupakan dinasti yang kedua memerintah Russia setelah Dinasti Rurik. Bermula pada tahun 1613 dan berakhir pada 1917 semasa pemerintahan Tsar Nicholas II setelah dia digulingkan oleh Lenin dan parti Bolshevik yang berfahaman komunis ketika itu. Kesemua ahli keluarga diraja yang ditangkap dibawa ke Yekaterinburg dan kemudian ditembak mati.
Walaupun khabar angin yang mengatakan salah seorang puteri raja iaitu Anastasia terselamat namun tiada bukti kukuh yang ditemukan dan dipercayai kesemuanya mati pada dibunuh pada 1918, setelah 305 tahun memerintah Russia.
5. Dinasti Piast
Dinasti ini mengambil nama mereka sempena nama lagenda Poland iaitu Piast the Wheelwright. Tidak dapat dipastikan samada lagenda Piast ini benar-benar wujud atau tidak atau ia hanya sekadar kiasan kepada watak yang lain. Namun begitu beberapa orang raja Poland mendakwa mereka adalah dari keturunan ini akan tetapi sepanjang dinasti ini tiada siapa pun yang menggunakan nama Piast ini.
Ia ditubuhkan oleh Putera Miesko I pada tahun 960 dan bertahan sehingga 1370 setelah kematian Casimir III the Great. Semasa pemerintahan dinasti Piast ini Poland sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan bertahan akibat desakan dari Empayar Roman yang ingin memasuki sempadan negara ini. Akan tetapi di atas desakan beberapa negara lain yang cuba menjajah sejak 1000 tahun lamanya akhirnya jajahan Poland telah pecah kepada beberapa bahagian kecil.
4. House of Braganza
Dinasti Braganza ini mempunyai rekod iaitu bukan sahaja memerintah Portugal malah juga Brazil. House of Braganza ini ditubuhkan pada 1442 oleh Afonzo yang ketika itu diberi darjat kebesaran oleh Raja Portugis yang juga merupakan anak saudaranya sendiri. 200 tahun kemudian keluarga ini semakin mendapat pengaruh dan berkuasa di Portugal dengan pertabalan baru Raja João IV.
Pada tahun 1815, satu pertubuhan empayar baru melibat Portugal, Brazil, dan Algarves dijalinkan dengan menjadikan keluarga Braganza sebagai penerajunya. Namun empayar ini hanya bertahan selama 10 tahun sahaja apabila Brazil menggulingkan Maharaja Pedro I yang juga Raja Portugal ketika itu.
Akan tetapi keluarga ini tetap memerintah sehinggalah kedua-dua negara ini mengishtiharkan mereka sebagai negara Republik pada tahun 1889 bagi Brazil dan Portugal pada tahun 1910. Braganza telah berkuasa selama 468 tahun lamanya sebelum berakhir.
3. House of Hapsburg
Kebanyakan keluarga diraja berlainan nagara dihubungkan dengan perkahwinan, ditambah pula dengan calon diraja yang terhad dan seringkali dijodohkan dengan yang setaraf. Akan tetapi Keluarga Hapsburgs mengamalkan sistem perkahwinan sesama sendiri bagi menjaga keturunan dan susur galur keluarga ini. Mereka mendominasi Eropah semenjak dari Middle Ages sehinggalah kurun ke-18, dengan menduduki takhta pemerintahan dari Portugal hingga ke Poland.
Pemerintah Hapsburg yang pertama ialah Rudolph I of Germany, yang mengambil alih takhta pada 1273 dan kemudian menambah pemerintah Austria 3 tahun kemudian. Keturunannya memerintah Austria, Germany dan Bohemia (kini Czech Republik) selama 2 abad lamanya sebelum bergabung dengan keluarga diraja Sepanyol melalui perkahwinan Philip the Handsome dengan Joanna of Castile (juga dikenali dengan Joanna si Gila). Keturunan Hapsburg memerintah kebanyakan negara Eropah sehinggalah keturunan itu berakhir pada tahun 1780.
2. Dinasti Imperial Jepun
Tempoh masa pemerintahan dua dinasti terakhir di dalam senarai ini akan melonjak naik secara drastiknya. Kedua dinasti ini mendakwa mereka wujud sejak sebelum kelahiran Jesus lagi. Di tempat ke dua ialah Dinasti Imperial Jepun yang sangat mengagumkan dunia dan masih berterusan sehingga kini. Ianya ditubuhkan oleh Maharaja Jimmu pada 660SM lagi. Masih lagi diperdebatkan tentang tempoh masa pemerintahan keluarga ini namun terdapat bukti bahawa 25 maharaja yang awal mempunyai pertalian darah. Sehingga kini keturunan ini masih berterusan dengan maharaja Akihito sebagai pewaris terkini. Kini usia keturunan diraja ini sudah pun mencecah 2678 tahun lamanya.
1. Dinasti Solomonic
Susur galur keturunan ini lebih mengagumkan di antara semua. Keturunan dari Ethiopia ini mendakwa mereka adalah keturunan Solomon of Israel (Nabi Sulaiman) anak kepada King David (Nabi Daud) dan merupakan keturunan yang sama Jesus (Nabi Isa) dilahirkan. Melalui perkahwinan dengan Ratu Sheba (Ratu Balqis) keturunan ini mendakwa telah wujud sejak dari tahun 950SM lagi dan bertahan sehingga kematian maharaja Ethiopia terakhir iaitu Haile Selassie pada tahun 1975. Walaupun masih lagi terdapat keturunan diraja di Ethiopia namun Dinasti Solomonic ini berakhir setelah memerintah selama hampir 3000 tahun lamanya (jumlah yang tepat ialah 2924 tahun).
Rujukan: