Korea Utara merupakan sebuah negara yang mempunyai aura yang tersendiri, disebabkan dasar pemerintah mereka yang nyata berbeza berbanding negara-negara dunia lain.
Pelbagai kisah menarik, suka dan duka berkenaan corak budaya masyarakat Korea Utara yang didakwa hidup dalam suasana tertekan di bawah pimpinan pemerintahan bercorak diktator; membuatkan kisah berkaitan negara tersebut menarik untuk dipelajari.
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkah anda tertanya-tanya; bagaimanakah sistem pendidikan kebangsaan negara tersebut dan apakah yang membezakan sistem mereka berbanding dengan sistem negara kita khasnya?
Dasar utama pendidikan Korea Utara
Sistem pendidikan Korea Utara diselia melalui bab 3 perlembagaan negara mereka, membentuk visi, dasar dan matlamat utama negara tersebut dalam sistem pendidikan.
Bab 3 perlembagaan Korea Utara mempunyai 18 artikel berkaitan pembentukan budaya dan sistem masyarakat mereka, menyentuh elemen-elemen penting seperti corak budaya, bahasa, cara hidup, perubatan dan alam sekitar.
Artikel 43 sehingga artikel 49 menyentuh dasar dan matlamat negara tersebut apabila hal berkaitan pendidikan kebangsaan dibicarakan.
Artikel 43 menyatakan sistem pendidikan Korea Utara berhasrat mahu melahirkan masyarakat sosialis yang berpegang kepada semangat revolusi dicorakkan pimpinan negara, sementara artikel 44 menjamin keutamaan kerajaan akan diberikan kepada pendidikan awam.
Artikel 45 mewajibkan pendidikan bersifat universal selama 11 tahun kepada semua warga Korea Utara termasuklah 1 tahun pendidikan tahap tinggi, dalam bidang sains dan teknologi.
Artikel 47 menjamin semua pendidikan di peringkat rendah dan menengah adalah percuma, sementara biasiswa akan disediakan bagi pelajar peringkat tertiari.
Artikel 49 pula menjamin bahawa semua kos pendidikandi peringkat tadika atau pra-sekolah adalah di bawah tanggungan kerajaan.
Nampak menarik kan?
Fahami sistem pendidikan Korea Utara
Pada 25 Disember 2012, kerajaan Korea Utara mengumumkan perubahan dasar kepada sistem pendidikan mereka - menambah satu tahun wajib kepada 11 tahun mandatori pendidikan, menjadikan pendidikan mandatori di sana berlangsung 12 tahun.
Dalam sistem baru ini, semua pelajar yang telah menjalani fasa pra-sekolah akan melalui 5 tahun pendidikan rendah ketika berusia 7 hingga 11 tahun, pertengahan selama 3 tahun dari usia 11 hingga 13 tahun, 3 tahun sekolah tinggi semasa berumur 14 hingga 6 tahun dan 4 ke 6 tahun peringkat kolej.
Sama seperti negara kita, mereka juga mengamalkan sistem pendidikan tinggi yang membezakan antara pendidikan berstatus kolej, universiti dan vokasional.
Apa yang membezakan mereka adalah kewajipan yang dikenakan pemerintah mereka, supaya golongan dewasa turut sama terus menjalani pendidikan selepas tamat pendidikan formal mereka.
Golongan pekerja dewasa akan meneruskan pengajian mereka secara sambilan bagi memperbaiki kelulusan mereka di kelas-kelas yang diatur, melibatkan bidang kerjaya mereka.
Wujud sistem pendidikan bertaraf tertiari yang diadakan di kilang, ladang, pejabat-pejabat komunikasi dan penyiaran serta industri perikanan, melalui kelas-kelas sambilan untuk disertai pelajar-pelajar dewasa dalam memperbaiki kemahiran mereka.
Semuanya nampak cantik dan bunyinya seolah-olah sistem di sana lebih baik berbanding negara kita bukan?
Nanti dulu!
Apa yang mereka pelajari dalam sistem kebangsaan?
Disebabkan usaha pemerintah Korea Utara yang mahu mengekalkan kuasa dan dinasti pemerintahan, sukatan pendidikan di Korea Utara sendiri hendak tak hendak dibentuk mencerminkan visi tersebut.
Sistem pendidikan mereka dibentuk untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam sains, matematik dan kemahiran - tetapi dalam masa yang sama diterap agar mempunyai kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap susur galur keluarga Kim, yang menjadi pengasas negara tersebut.
Dua topik utama yang menjadi penggerak kepada pembentukan ideologi dan tahap kesetiaan yang mengukuhkan cengkaman keluarga Kim, dijalankan melalui subjek sejarah dan falsafah.
Semua pelajar di Korea Utara peringkat rendah dan menengah perlu mempelajari subjek khas berkenaan setiap ahli keluarga Kim.
Sebagai contoh, pelajar sekolah rendah berusia 7 hingga 11 tahun akan diajar berkaitan sejarah hidup Kim Il-Sung, Kim Jong-Il dan isteri kepada Kim Il-Sung, Kim Jong-Suk semasa mereka membesar selama 3 tahun pendidikan.
Apabila tiba ke peringkat sekolah pertengahan, mereka mula diajarkan sejarah bagaimana ketiga-tokoh itu memainkan peranan dalam membentuk negara mereka, ditambah dengan satu subjek baru berkenaan Kim Jong-Un, pemerintah mereka ketika ini.
Kesemua subjek itu disambung pengajiannya ke peringkat sekolah tinggi, di mana pengajian terhadap keempat-empat tokoh negara mereka itu diteruskan ke tahap seterusnya.
Setiap pelajar diperingkat ini akan menghabiskan 2 ke 4 jam setiap minggu dalam memahami selok-belok perjuangan dan ideologi Kim Il-Sung, Kim Jong-Il, Kim Jong-Suk dan Kim-Jong-Un.
Pada peringkat ini jugalah latihan ketenteraan wajib diperkenalkan kepada setiap pelajar, di mana pelajar perlu menjalani kelas 48 jam dalam ilmu asas ketenteraan.
Konsep yang diajar dalam buku teks mereka
Kami akhiri artikel ini dengan menerangkan kepada anda antara topik yang diajar kepada warga Korea Utara.
Dalam subjek "Revolutionary History of Our Dear Leader Kim Jong-Un" yang mula diperkenalkan beberapa tahun dahulu, beberapa dakwaaan yang agak keterlaluan dijadikan sebahagian daripada sukatan subjek tersebut.
Para guru dan pelajar diberikan manual serta bahan rujukan terbitan kerajaan yang hanya didedahkan pada tahun 2015, menceritakan beberapa fakta menarik seperti Kim Jong-Un sebenarnya sudah mahir memandu sejak berusia 3 tahun, selain berbakat melukis dan menggubah lagu.
Lebih lucu, dalam topik yang perlu diajar turut memaparkan kisah perlumbaan bot laju yang dimenangi Jong-Un semasa berusia 9 tahun, selepas mendapat cabaran pemilik sebuah syarikat pengeluar bot yang melawat negara tersebut.
Kami belum menyentuh berkenaan topik berkaitan dakwaan kuasa ajaib yang dimiliki ayah dan datuk beliau, diamalkan semasa perang yang membawa kepada kejayaan besar - membolehkan negara gagah itu dibentuk. Itulah yang diajarkan kepada rakyat Korea Utara sebelum ini. Semua pelajar Korea Utara perlu percaya pemimpin negara mereka mempunyai kuasa teleportasi diri.
Rujukan