Oleh pada 22 Jan 2018 kategori

Hidup kita dipenuhi dengan kepelbagaian dalam semua perkara seperti agama, kaum, budaya dan fahaman politik. Kepelbagaian ini sebaiknya diraikan oleh semua orang tetapi perbezaan ini jugalah yang menyebabkan ramai orang bertelingkah kerana kurangnya tolak ansur dalam semua perkara.

Namun begitu, terdapat sebuah bandar di dunia yang mana anda dapat hidup bebas tanpa risau tentang perbezaan fahaman politik atau agama kerana bandar ini menekankan keharmonian dan kesatuan antara manusia. Bandar ini diberi nama Auroville yang diambil daripada perkataan "aurore" yang bermaksud permulaan atau kelahiran dan "ville" yang bermaksud bandar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengasas "Bandar Kelahiran" Auroville 

mira alfassa pengasas auroville

Auroville diasaskan oleh Mirra Alfassa atay dikenali juga sebagai "The Mother" pada tahun 1968 dan terletak di Puducherry, India. Penduduk yang tinggal di bandar ini tidaklah begitu ramai dengan jumlah penduduk seramai 2,400 orang. Semua penduduk di seluruh dunia boleh datang tinggal di bandar ini tetapi haruslah mematuhi undang-undang yang ditetapkan di bandar ini.

Mira Alfassa merupakan seorang pemimpin spiritual di bandar dan dia mempunyai prinsip kehidupannya yang tersendiri. Pada tahun 1968, majlis perasmian buat bandar Auroville telah diadakan yang dihadiri oleh perwakilan daripada 124 negara dan Mira Alfassa telah membentangkan 4 kandungan piagam buat bandar Auroville.

Mira Alfassa percaya yang bandar ini mampu untuk menyatupadukan penduduk dari seluruh dunia tanpa mengira bangsa, negara, agama mahupun fahaman politik. Bandar ini juga tidak dimiliki oleh mana-mana kerajaan atau negara dan ia menjadi tapak kepada penyelidikan spiritual manusia.

Auroville mahu menjadi sebuah bandar sejagat di mana lelaki dan wanita dari semua negara dapat hidup dalam keharmonian yang harmoni dan progresif, di atas semua kepercayaan, politik dan kerakyatan. Tujuan Auroville adalah untuk mewujudkan perpaduan manusia - Mirra Alfassa

Prinsip, Undang-Undang dan Kepercayaan Auroville

kepelbagaian di auroville 238

Bandar ini tidak mempunyai kerajaan mahupun parti politik dan penduduk di bandar hidup harmoni tanpa ada masalah jenayah atau kemiskinan. Terdapat juga beberapa peraturan yang patut dipatuhi seperti penduduknya tidak boleh meminum arak dan memandu kereta. Namun begitu, peraturan ini tidak dilaksanakan dengan begitu ketat kerana tiada pasukan polis.

Penduduk di bandar ini hidup berteraskan kepercayaan antara satu sama dan perpaduan antara manusia. Disebabkan bandar ini sangat menekankan perpaduan, ia juga tidak mempunyai kepercayaan agama secara khusus kerana Auroville percaya bahawa agama merupakan salah satu sebab manusia berpecah di seluruh dunia.

Walaupun begitu, anda bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing kerana penduduk Auroville menghormati setiap kepercayaan individu. Prinsip Auroville sangat menekankan kesemua aspek termasuk fizikal intelek, moral, rohani dan sebagainya. Penduduk bandar ini akan cuba sedaya untuk membantu setiap individu bagi mencapai kesemua aspek ini pada tahap terbaik.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Di Auroville

matrimandir tempat beribadat auroville

Di tengah-tengah bandar ini terdapat sebuah tempat ibadat untuk semua penduduk Auroville yang dikenali sebagai Matrimandir. Bangunan ini bukan khusus untuk mana-mana agama tetapi terbuka untuk sesiapa sahaja yang mahu mendekatkan diri dengan Tuhan mereka ataupun untuk menyelami aspek kerohanian masing-masing.

Selain daripada itu, banyak lagi aktiviti lain yang ditawarkan di bandar ini tetapi aktiviti ini boleh dibahagikan kepada dua pecahan iaitu aktiviti untuk penduduk Auroville dan juga untuk pelancong yang datang melawat. Pelancong yang datang boleh melawat ke zon "antarabangsa" bagi mempelajari prinsip dan budaya yang ada di Auroville.

aktiviti di auroville 904

Untuk penduduk Auroville pula, banyak pilihan yang boleh dibuat bagi mengisi kekosongan kehidupan seharian. Anda boleh memasuki bahagian arkitek dan perancangan bandar, membantu dalam "menghijaukan" bandar ini seperti menanam pokok bagi mengstabilkan ekosistem di bandar ini. Selain itu, seni dan kebudayaan juga ditawarkan di Auroville selain anda dapat memasuki bidang pendidikan seperti mengajar kanak-kanak di sini tentang subjek kehidupan.

Walaupun bandar ini dilihat seperti "old-school" tetapi kemajuan teknologi juga tidak boleh dipandang rendah. Anda boleh mengakses ke internet di bandar ini dan ia juga menekankan komunikasi dan multimedia bagi mereka yang meminati teknologi sebegini. Banyak lagi aktiviti yang ditawarkan dan anda boleh melawati laman web Auroville untuk mengetahui lebih lanjut.

Perubahan Auroville Sejak Penubuhannya

kebudayaan perpaduan auroville 820

UNESCO menderma sebanyak $200,000 setiap tahun dan cuba untuk melindungi hak penduduk bandar ini sejak tahun 1968. Walaupun mendapat bantuan daripada pihak luar, banyak juga masalah-masalah yang timbul kerana tiada kepimpinan atau kerajaan yang kukuh untuk terus mentadbir bandar ini.

Disebabkan ketiadaan kerajaan dan badan-badan penting seperti pihak polis, ramai juga yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini terutama orang luar. Ada di antara mereka yang meminum arak sesuka hati kerana tiada pihak berkuasa yang akan menghalang mereka.

Walaupun Mira Alfassa mempunyai satu wawasan yang sangat idealistik tetapi ia agak sukar untuk dilaksanakan di dunia ini kerana sikap manusia yang rakus dan tamak menyebabkan keharmonian Auroville tercemar. Beberapa tahun yang lepas, terdapat kes rompak, rogol dan pembunuhan yang dilaporkan.

Pada tahun 1980, kerajaan India telah cuba untuk mengambil alih kerana banyak masalah timbul antara penduduk Auroville dan Aurobindo Society (pemilik aset bandar Auroville). Masalah sebegini hanya timbul selepas kematian Mira Alfassa dan ia telah cuba diselesaikan oleh kerajaan India. Akta Auroville 1988 telah ditubuhkan bagi melindungi hak penduduk Auroville.

Selain itu, sebuah organisasi telah ditubuhkan yang dikenali sebagai Auroville Foundation bagi mengambil alih kepimpinan bandar ini supaya tiada lagi masalah yang berlaku. Kepimpinan ini dipilih oleh kerajaan India dan ia juga memberi peluang kepada penduduk Auroville sendiri untuk terlibat dalam organisasi ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)