Oleh pada 06 Sep 2017 kategori

zul ariffin dedah punca deactivate akaun instagram

Kredit foto: Instagram Zul Ariffin

Aktor Zul Ariffin menegaskan tindakannya menyahaktifkan akaun Instagram bukan kerana takutkan kritikan peminat sebagaimana yang didakwa.

Sebaliknya, pelakon itu hanya ingin menenangkan fikiran dan mengelakkan daripada ketagih melayani media sosial.

Saya cuma deactivate akaun Instagram saya buat seketika sahaja sebab bimbang menjadi ketagih. Ibaratnya bercuti dari media sosial sekejap, bukan kena godam atau sabotaj pun. Saya mahu mengambil sedikit masa selama beberapa minggu untuk relaks dan sekarang saya aktifkan kembali akaun saya sebab keperluan daripada segi promosi produk saya misalnya filem lakonan saya yang terbaharu. Apabila beberapa minggu tanpa Instagram, saya rasa lebih tenang dan fokus dengan kehidupan sehari-hari.
Sumber: Astro Gempak

Zul membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran trailer, lagu tema dan poster filem Tombiruo: Penunggu Rimba di Publika pada pagi tadi.

Terdahulu, pelakon berusia 31 tahun itu menyahaktifkan laman Instagramnya selama beberapa minggu sejak awal Julai lalu.

Dalam pada itu, Zul berkata, dia tidak pernah berasa terkesan dengan komen negatif netizen di laman sosial kerana sudah lali dengan tohmahan sejak awal kemunculannya sebagai artis.

Komen-komen itu tidak penting bagi saya apatah membuatkan saya rendah diri sampai mahu deactivate Instagram. Sekali sekala rasa kelakar apabila membaca balik komen-komen netizen. Saya pun sudah lebih 10 tahun dalam industri dan lali dengan komen-komen sedemikian. Nak balas pun tak guna sebab ia akan sentiasa ada.
Sumber: Astro Gempak

Mengenai perkembangan terbaru, Zul bertindak sebagai teraju utama filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang akan memasuki pawagan mulai 12 Oktober depan.

Filem adaptasi novel karya Ramlee Awang Murshid itu mengisahkan Ejim yang mendapat gelaran Tombiruo, seorang lelaki bertopeng yang dipulaukan masyarakat kerana wajahnya yang tidak seperti manusia.

Antara pelakon lain yang terlibat ialah Nabila Huda, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein, Farid Kamil dan Faye Kusyairi.


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)