Oleh pada 12 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Beautifulnara

Aktor Zul Ariffin menafikan dakwaan kononnya dia sudah kembali bercinta dengan penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai.

Sebaliknya hubungan tersebut atas urusan kerja susulan penglibatan mereka dalam projek filem terbaru, Hantu Kak Limah 2017 arahan Mamat Khalid yang kini berlangsung penggambarannya di Taiping, Perak.

Memetik laporan BH Online, kata Zul, "Gayatri sebagai penerbit eksekutif filem berkenaan, jadi hubungan kami adalah atas dasar kerja. Kami pun memang baik sejak dulu lagi. Saya dan Gayatri juga bersikap profesional ketika bekerja."

Susulan itu, aktor berusia 31 tahun ini menyedari kesan gosip yang mampu mencalarkan nama baiknya.

"Saya kecewa dengan dakwaan kononnya ada pihak melihat kami berdua di hotel, seolah-olah menuduh kami tidur sebilik. Sedangkan pelakon, pengarah, kru produksi dan pihak media massa ditempatkan di hotel sama.

"Apabila gosip ini tersebar, ia sedikit sebanyak mencalarkan maruah saya. Mana mahu letak muka, kebetulan saya pula menjalani penggambaran di kampung halaman sendiri," katanya.

Zul berkata, dia selesa untuk menetap sementara di rumah keluarganya memandangkan lokasi penggambaran yang terletak berhampiran kampung beliau.

Pelakon yang kembali meledak bersama aktres Farah Nabilah, baru-baru ini menerusi drama Titian Cinta, itu juga berasa kecewa dengan tindakan peminat yang sewenang-wenangnya menayangkan foto dan plat nombor kenderaanya kepada umum.

"Saya kesal dengan tindakan mereka yang tidak menghormati privasi saya kerana ia secara tidak langsung boleh membahayakan keselamatan saya.

"Selain dakwaan itu tidak benar, apa yang dilakukan juga melanggar hak peribadi kerana nombor kereta saya juga sudah diketahui umum," katanya.

Menerusi Hantu Kak Limah 2017, Zul memegang peranan sebagai guru silat dan pengamal perubatan tradisional bernama Solihin.

Filem itu turut menampilkan Datuk Awie, Datuk Seri Vida, Uqasha Senrose dan ramai lagi.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)