Kebanyakan orang ingin hidup secara sihat dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Pada waktu ini, kajian mendapati bahawa purata jangka hayat manusia di seluruh dunia adalah sekitar 71.4 tahun.
Ini menunjukkan bahawa sebilangan manusia di dunia ini hidup di bawah kadar purata jangka hayat, manakala selebihnya pula hidup lebih lama berbanding yang lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, kajian juga mendapati bahawa terdapat lima tempat di dunia ini yang mempunyai kadar hidup yang lebih lama berbanding mana-mana tempat lain di seluruh dunia. Selain jangka hayat yang panjang, tempat ini juga mempunyai populasi penduduk paling sihat di dunia.
Lima tempat ini telah dilabelkan oleh para penyelidik sebagai Zon Biru. Penduduk di Zon Biru ini mempunyai ramai penduduk melebihi usia 100 tahun atau lebih dikenali sebagai "Centenarian".
Pengarang buku The Blue Zones dan The Blue Zones Solution, Dan Buettner, menerangkan mengapa penduduk di Zon Biru hidup lebih lama dan bagaimana kita dapat mencontohi tabiat kehidupan mereka yang sihat.
Sardinia - Itali
Sardinia merupakan Zon Biru pertama yang dikenal pasti oleh penyelidik. Tempat ini mempunyai jumlah Centenarian (berumur 100 atau lebih) sebanyak 10 kali ganda per kapita berbanding Amerika Syarikat. Sardinia juga merupakan rumah kepada Centenarian lelaki paling ramai di dunia.
Kawasan ini terpecil dari dunia luar dan penduduknya mengekalkan gaya hidup sihat serta tradisional. Penduduk Sardinia memburu, menangkap ikan dan menanam sendiri makanan yang mereka perlukan. Diet utama penduduk di sini terdiri daripada roti gandum, kacang, sayuran, buah-buahan dan minyak pohon mastik.
Penduduk Sardinia juga mempunyai nilai kekeluargaan yang kuat dan mereka sering berkumpul bersama untuk berbual dan berjenaka. Ketawa mampu mengurangkan tekanan dan risiko penyakit kardiovaskular. Kadar tekanan, kemurungan dan bunuh diri di Sardinia juga amat rendah.
Sebahagian penduduk Sardinia bekerja sebagai pengembala dan mereka berjalan melebihi 8 km sehari menyebabkan kesan positif pada metabolisme otot dan tulang. Selain itu, mereka juga sering minum susu kambing. Segelas susu kambing sehari mampu membantu melindungi masalah penuaan seperti penyakit jantung dan Alzheimer. (sumber)
Okinawa - Jepun
Pulau ini pernah dipanggil sebagai "Tanah Abadi". Penduduk di sini mempunyai kurang pesakit kanser, penyakit jantung dan nyanyuk berbanding tempat lain di dunia. Selain itu, kaum wanita di Okinawa hidup lebih lama berbanding wanita-wanita lain di dunia.
Mereka mengekalkan rangkaian sosial yang kuat iaitu "moai", di mana rakan-rakan akan memberikan bantuan untuk seseorang itu mengharungi kehidupan usia tua. Penduduk Okinawa juga mempunyai tujuan dan pendorong hidup yang kuat dipanggil "ikigai".
Pengaruh moai danĀ ikigaiĀ ini membuatkan orang-orang tua di sana mempunyai tujuan hidup untuk terus bangun awal dan berusaha walaupun berumur melebihi 100 tahun.
Selain itu, diet utama mereka terdiri daripada tumbuh-tumbuhan. Mereka gemar memakan sayur goreng, ubi keledek dan tauhu di mana tinggi nutrisi dan rendah kalori. Penduduk tua di Okinawa juga gemar kekal aktif seperti bercucuk tanam dan bersikap positif sepanjang masa. (sumber)
Nicoya - Costa Rica
Kebanyakan penduduk Zon Biru akan menghindari makanan yang diproses tetapi penduduk di Nicoya melakukan lebih daripada itu. Mereka sebahagian besarnya mendapat majoriti pengambilan kalori dari kacang, jagung dan buah-buahan tropika.
Sumber air di Nicoya juga mempunyai kandungan kalsium paling tinggi di Costa Rica. Ini menjelaskan mengapa penduduk di sini mempunyai kadar penyakit jantung yang paling rendah. Selain itu, mereka juga mempunyai tulang yang kuat dan kurang masalah keretakan tulang pinggul.
Mereka juga berpegang kepada kepercayaan Plan de vida yang bermaksud "tujuan rohani". Majoriti penduduk tinggal bersama keluarga besar termasuk anak-anak dan cucu-cucu yang memberikan makna kehidupan yang lebih tinggi.
Penduduk Nicoya juga bersikap sangat positif dan sering menziarahi jiran tetangga. Mereka juga dilabelkan sebagai pendengar yang baik, sering ketawa dan menghargai apa yang mereka ada. (sumber)
Loma Linda, California - Amerika Syarikat
Kebanyakan penduduk di Loma Linda adalah penganut Kristian Protestant aliran Gereja The Seventh-day Adventist. Majoriti populariti di kawasan ini tidak merokok atau meminum minuman keras.
Selain itu, mereka juga mengelak daripada memakan daging dan memperbanyakkan diet seperti sayur-sayuran, kacang dan gandum. Ini menerangkan mengapa penduduk di sini mempunyai tekanan darah yang baik, kolesterol rendah dan kurang masalah berkaitan kardiovaskular.
Golongan kepercayaan Adventist ini juga gemar memakan kacang sehingga lima kali seminggu. Ini dapat mengurangkan risiko masalah berkaitan jantung. Mereka juga mengamalkan diet makan berat pada waktu siang dan sedikit pada waktu makan malam.
Penduduk di sini juga sering melakukan aktiviti sihat dan mempunyai BMI lebih tinggi berbanding penduduk kawasan lain di Amerika. Selain itu, penduduk Loma Linda mempunyai purata jangka hayat 10 tahun lebih lama berbanding seluruh negara itu. (sumber)
Ikaria - Greece
Pulau kecil ini kaya dengan tradisi kerana pernah dijajah oleh bangsa Parsi, Roman dan Turki. Selain itu, ia juga terkenal kerana mempunyai majoriti penduduk dengan jangka hayat yang panjang. Satu pertiga daripada penduduk di sini hidup lebih daripada 90 tahun.
Majoriti penduduk di sini tinggal di kawasan tanah tinggi. Mereka gemar melakukan aktiviti bercucuk tanam dan menziarahi jiran tetangga. Secara tidak langsung, mereka bersenam di kawasan yang dipenuhi udara segar.
Penduduk pulau ini mengamalkan diet yang sebahagian besarnya terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, gandum, kacang, kentang dan minyak zaitun. Mereka juga gemar minum pelbagai jenis teh herba yang ditanam sendiri.
Mereka juga merupakan penganut taat Kristian Ortodoks Yunani. Kalander agama mereka menuntut untuk melakukan puasa khas sehingga hampir setengah tahun lamanya secara berselang seli. Ketika berpuasa, mereka akan mengurangkan kadar pengambilan kalori sebanyak 30 peratus daripada biasa.
Mereka juga lebih memilih untuk minum susu kambing berbanding lembu. Susu kambing membekalkan lebih potassium dan hormon triptofan yang meredakan stress. Ia juga lebih serasi bagi mereka yang mempunyai masalah ketaktoleranan laktosa. (sumber)