Oleh pada 09 Jun 2022 kategori

Satu pandangan yang sering berlegar di dalam kotak minda sebahagian besar ahli masyarakat kita, adalah bagaimana kumpulan pendatang dilihat lebih berjaya berbanding warga tempatan.

Dakwaan ini mampu menimbulkan stigma negatif di kalangan mereka yang berpegang kepadanya. Persoalannya - adakah semua stigma yang ada hanyalah stereotaip tanpa bukti dimainkan bagi mengapi-apikan sentimen di kalangan sesetengah kelompok?

Atau memang benar ada asasnya di sebalik persepsi popular ini? Pernahkah anda tertanya kenapa ada pendatang mampu bergerak lebih lancar, lebih pantas sehingga lebih berjaya di Malaysia - berbanding anda yang mempunyai status kerakyatan penuh warganegara Malaysia?

Stereotaip yang mempunyai asas

pasar borong selayang dikuasai pendatang

Jangan terkejut sekiranya kami nyatakan secara fakta memang wujud hubungan di antara kadar kejayaan seseorang khasnya dalam bidang perniagaan, dengan status kedudukannya sebagai pendatang dalam sesebuah masyarakat.

Kajian berkenaan hubungan ini telah dijalankan di banyak buah negara dan hasilnya menemui satu dapatan serupa; golongan pendatang asing termasuklah individu yang memperoleh status penduduk tetap akan mempunyai tahap penyertaan dan tahap kejayaan yang lebih tinggi berbanding kumpulan perniagaan, khasnya dalam sektor perniagaan.

Ada dua faktor menjadi punca utama kenapa fenomena seperti ini berlaku di kebanyakan negara dunia; pertama melibatkan proses selektif yang diamalkan kerajaan bagi menyokong atau menampung kumpulan majoriti yang meminggirkan golongan minoriti.

Kedua adalah tindakan diskriminasi yang dilakukan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi ke atas kumpulan pendatang, sebenarnya memberikan kesan positif kepada kumpulan ini.

Seseorang yang bukan dari kalangan warga tempatan ketika bersaing, tidak mempunyai tempat berpaut seperti mana peniaga warga tempatan atau kelompok majoriti lain, yang memerlukan dia menjadi terbuka untuk mengambil langkah lebih kreatif atau berbeza.

Diskriminasi yang mereka rasai khasnya melibatkan penyertaan mereka ke dalam sektor awam, mendorong mereka untuk cuba mencari jalan yang jarang dipilih warga tempatan atau majoriti - dalam memastikan kelangsungan hidup mereka terbela.

Di kalangan kumpulan pendatang ini juga mereka ada kesedaran bahawa ancaman diskriminasi yang telah mereka tempuhi akan berterusan.

Tekanan ini menyebabkan lebih ramai di antara mereka berusaha membangunkan syarikat atau perniagaan sendiri atau sekurang-kurangnya mencipta pekerjaan bagi diri sendiri, bagi membolehkan mereka keluar dari tekanan yang dirasai.

Pembukaan kedai bagi menyokong kehidupan kaum migran

kedai acheh berkembang kuasa pasaran runcit

Cuba anda lihat sekeliling anda dan kira berapakah jumlah perniagaan dimiliki kaum migran yang berkemungkinan besar kita juga kunjungi? Banyak bukan. Tak perlu lihat dalam skop besar, cukup kita fokuskan hanya dalam sektor kedai makan saja.

Kita di Malaysia sudah sebati dengan restoran mamak atau India Muslim yang asal-usulnya dimulakan oleh kaum pendatang dari tanah besar India satu masa dulu. Pada waktu malam, restoran tom yam menjadi pilihan kita.

Rangkaian perniagaan restoran ini pula dikuasai dan diuruskan peniaga-peniaga dari selatan Thailand, berkemampuan bertutur dalam bahasa Thai, dialek Kelantan mahupun bahasa Melayu yang jelas.

Kedai Acheh pula kini sudah menjadi satu bentuk jenama perniagaan yang popular dalam sektor perniagaan runcit di negara kita.

Pendatang Bangladesh juga semakin galak membuka perniagaan di Malaysia khasnya dalam peruncitan, pembinaan atau pemasangan elektrik; di mana mereka memanfaatkan pengalaman mereka sebagai pekerja untuk memulakan perniagaan sendiri seterusnya menjadi seorang tauke.

Empat contoh di atas merupakan antara contoh yang boleh kita temui dikongsikan namun sayangnya tidak banyak kajian berkenaan perkembangan perniagaan yang dipelopori oleh kaum masyarakat migran dijalankan di negara kita, tidak seperti negara maju lain.

Namun apa yang dapat kita saksikan dengan mata kita sendiri di Malaysia, sama situasinya di kebanyakan negara dunia, di mana perniagaan yang diuruskan oleh kaum pendatang, bercambah dan berkembang pesat. Warga tempatan sendiri ada masanya gagal bersaing.

Di Amerika Syarikat di mana fenomena ini berjaya diselidik dengan lebih mendalam, berjaya merungkaikan dengan terperinci faktor dan punca kenapa situasi sebegini sering berlaku.

Fobia masyarakat terhadap pengaruh minoriti dan pendatang

kedatangan migran mexico didakwa curi kerja

Di Amerika Syarikat, stigma yang timbul apabila bercakap berkenaan topik berkait isu ini adalah berkenaan pengaruh pendatang Mexico kepada sektor perniagaan mereka.

Kehadiran orang Mexico sama ada sebagai pemohon status penduduk tetap ataupun pendatang tanpa izin, dilihat oleh sebahagian besar masyarakat Amerika Syarikat sebagai ancaman kepada kelangsungan hidup mereka.

Mereka yang memegang pendapat ini melihat kehadiran pendatang asing menutup peluang pekerjaan warga tempatan, ekoran permintaan gaji yang lebih rendah serta kemampuan untuk bekerja dengan lebih berat. Mirip situasi dengan kita kan? 

Walaupun demikian, kumpulan migran juga telah dibuktikan merupakan tulang belakang ekonomi Amerika Syarikat, di mana kadar penglibatan migran sangat tinggi dalam bidang perniagaan, khususnya dalam pembukaan perniagaan baru atau start-up.

Dalam erti kata lain, kedatangan kumpulan pendatang ke dalam ekosistem ekonomi Amerika Syarikat secara tak langsung menyumbang kepada pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan, kepada golongan tempatan. Di Amerika Syarikat juga, kadar penyertaan migran khususnya ke dalam sektor perniagaan dua kali lebih tinggi berbanding warga tempatan.

Secara statistiknya, kumpulan pendatang di sana walaupun hanya meliputi 13% daripada jumlah populasi, menyumbang kepada pembukaa 27.5% bentuk perniagaan yang sedang berjalan.

Jika kita lihat nama ahli perniagaan terkenal dunia yang bertapak di Amerika Syarikat, kebanyakannya adalah dari golongan migran atau anak kepada migran.

elon musk pendatang migran amerika syarikat

Elon Musk misalnya merupakan anak kepada pasangan dari Afrika Selatan, memegang status kewarganegaraan Kanada.

Sergey Brin pengasas kepada syarikat teknologi gergasi Google, adalah pendatang dari Moscow semasa pemerintahan Kesatuan Soviet dekad 70-an. Dia dan keluarganya melarikan diri dari negara asal ekoran daripada ancaman terhadap identiti mereka sebagai individu Yahudi.

iklan

Pengasas kepada aplikasi Whatsapp, Jan Koum yang pernah kami tuliskan berkenaan titik hitam karier beliau - lahir di Kiev, Ukraine, sebelum mengikut keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1992 menyara hidup sebagai tukang cuci di kedai runcit pada awal kehadiran mereka.

Ada ramai lagi pendatang atau anak pendatang yang berjaya dan kini dikenali di serata dunia. Persoalannya - kenapa kadar kejayaan mereka lebih tinggi berbanding orang biasa di sana?

Kenapa golongan pendatang lebih berjaya?

kumpulan pendatang asing di singapura

Seperti yang sudah kami sebutkan lebih awal, sistem yang mengenepikan pendatang serta diskriminasi yang telah mereka lalui sebagai individu - merupakan dua faktor utama mendorong golongan pendatang mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan.

Walaupun begitu mereka dibuktikan turut mempunyai kelebihan yang tidak ada pada masyarakat tempatan biasa iaitu pengalaman hidup pelbagai budaya.

Kemahiran itu adalah kemampuan utama yang membolehkan individu pendatang memiliki kemahiran lebih tinggi dalam mengenalpasti apakah model atau bentuk perniagaan baru yang perlu diwujudkan, bagi memenuhi satu kelompongan dalam masyarakat.

Mereka tidak takut mengambil risiko disebabkan pengalaman mereka melihat perkara berbeza, tradisi baru, corak hidup yang berlainan, kaedah komunikasi yang asing pada mereka serta didedahkan kepada proses arbitrasi ilmu pengetahuan secara abnormal, berbanding mereka yang duduk hanya dalam satu bentuk masyarakat.

Dalam erti kata lain; jauh kena berjalan, akan berubah luas pandangan mereka.

Walaupun begitu janganlah kita di Malaysia berasa malu pula dengan situasi ini, sehingga kita sanggup memburukkan diri kita, bangsa kita atau negara kita hanya kerana pendatang asing yang hadir ke Malaysia boleh berjaya lebih dari kita.

Situasi ini berlaku di mana-mana.

Individu ke 40 terkaya di Singapura adalah seorang penduduk tetap kelahiran Bangladesh bernama Muhammad Aziz Khan, terlibat dalam konglomerat gergasi menghasilkan janaan kuasa, kabel optik fiber dan juga hartanah.

Keluarga terkaya di Thailand iaitu keluarga Chearavanont yang menjalankan perusahaan ternakan daging; berasal dari Shantou, China. Mereka memilih untuk lari ke Siam sekitar tahun 1920, selepas kawasan asal asal mereka seringkali musnah di serang ribut taufan.

Kisah tular berkenaan seorang lelaki Bangladesh yang mampu memiliki sebuah rumah 3 tingkat di negara asalnya hasil kerja keras di Singapura dengan gaji sekitar SGD3,000 tular, mendapat reaksi pelbagai warga republik tersebut.

Seperti biasa apabila kisah berkenaan kejayaan pendatang dikongsi oleh rakyat sesebuah negara - reaksi negatif akan timbul menampakkan rasa kurang senang atau iri hati masyarakat tempatan. Begitulah juga rakyat republik jiran kita ini.

Netizen mula mempersoalkan bagaimana pendatang Bangladesh mampu memiliki kediaman 3 tingkat hasil kerja keras di tanah air mereka, sedangkan orang tempatan perlu berpuas hati dengan unit pangsapuri kecil; didakwa bukti ketidakadilan dalam sistem masyarakat mereka.

Kami sudah sebutkan dengan panjang lebar kenapa situasi ini akan terus berlaku. Pendatang ada banyak kelebihan yang sukar kita akui benar. Mungkin ada di antara anda sendiri memandang rendah kumpulan pendatang asing yang masuk bekerja di Malaysia.

Ingin kami peringatkan mereka sebenarnya bijak, berani dan berkemampuan untuk hidup dibantu pengalaman yang dikumpul ketika keluar dari persekitaran yang norma untuk mereka, ke satu alam yang tak menerima mereka sepenuhnya.

Jadi janganlah kita terus memandang rendah sekiranya mereka berjaya melebihi kita kerana pilihan hidup mereka memberikan mereka banyak kelebihan yang kita tidak ada, untuk melangsungkan hidup dalam negara yang penduduk majoritinya adalah kita rakyat Malaysia.

Kekurangan mereka sebenarnya adalah kelebihan untuk mereka lebih berjaya berbanding kita, dalam berniaga.

Rujukan

IMMIGRANT ENTREPRENEURSHIP (PDF)

Immigrants Play a Disproportionate Role in American Entrepreneurship



Hakcipta iluminasi.com (2017)