Media sosial sudah jadi sesuatu yang biasa diamati setiap hari, sehinggakan kalau ada orang tak ada akaun media sosial - dia pula yang kita pandang pelik.
Disebabkan penggunaan meluas, pengguna media sosial juga akan mencipta 1001 alasan bagi mengharuskan penggunaannya. Realitinya banyak sangat elemen media sosial ini sudah menjadi medan untuk kita membuang masa, tanpa kita sedar kita membuang masa.
BESARKAN TEKS A- A+
Demi media sosial, ramai akan terus mempertahankan keperluannya; sedangkan jika kita renung dengan ikhlas, banyak yang kita buat adalah sangat berfaedah atau bodoh sebenarnya. Mampukah kita mengubahnya?
1. Bertekak dengan orang yang kita tak kenal
Satu kelebihan media sosial yang tak wujud dalam dunia nyata, adalah wujud jarak digital yang memisahkan antara kita satu sama lain. Kita rasa selamat duduk dalam kepompong kita, mengakibatkan kita berani menyuarakan apa saja pendapat kerana kita tak nampak akibatnya.
Disebabkan jarak itu, ramai di antara kita berani untuk cari pasal dengan sesiapa saja di internet walaupun kita sebenarnya tak ada masalah langsung dengan individu tersebut.
Nak kenali trigger ni mudah saja; bila ada komen atau pendapat yang dikeluarkan tak selari dengan apa yang kita pegang, kita akan rasa cepat nak beri balasan atau respon.
Ada aje kenyataan yang tak kena dengan selera tekak kita, kita komen dengan rasa mendidih. Jika diterapkan perbuatan serupa dalam dunia nyata, ini bermakna ada je perkara yang kita nak bangkang, kita akan bangkang kuat-kuat.
Pernah anda jumpa orang berani bangkang sesuatu tanpa segan silu dalam dunia nyata, sama macam dia bangkang sesuatu dalam media sosial? Jarang sekali berlaku.
2. Menyokong sesuatu isu kontroversi tanpa sebab
Budaya 'cari penyokong' merupakan antara budaya paling toksik wujud ekoran penggunaan media sosial ni, khasnya apabila melibatkan influencer yang kononnya terkenal serta ramai pengikut ni.
'Influencer' berperangai keji selalunya hobi dia akan keluarkan satu kenyataan yang dia sedar akan menimbulkan kontroversi, tetapi dia sengaja nak kontroversi itu.
Ini kerana dia tahu ramai penyokong dan pengikut dia akan sokong dan sokong dan sokong pendapat itu, walaupun tahu pendapat tu salah atau tak berapa tepat.
Kitalah kelompok penyokong tu yang mudah kena influence dengan entah siapa-siapa, hanya sebab dia ramai pengikut. Setiap hari kita dibuaikan dengan isu-isu yang sengaja dicipta influencer dengan harapan ada kontroversi panas berjaya ditimbulkan agar terisi masa kita semasa menelaah media sosial ni.
Tak ada kerja lain ke kita ni? Apa yang kita dapat sebenarnya nak ikut sangat kontroversi, mati-matian membalas komen yang mengecam influencer yang kita sokong sangat tu?
Yang penting, kenapa kita perlu melibatkan diri dalam isu kontroversi yang pihak A sengaja cipta untuk menghentam pihak B yang jadi sasaran dia? Influencer tu bukannya peduli pun kita duk pertahan dia.
Dia nak nama dia jadi hangat saja.
3. Tak suka dengan orang yang kita tak kenal
Salah satu keburukan utama media sosial adalah disebabkan oleh mudahnya penyebaran mesej negatif oleh sesetengah pihak bagi memburukkan satu pihak lain.
Pernahkah anda tidak suka seseorang yang anda langsung tidak kenal, langsung tidak pernah jumpa, langsung tidak pernah berinteraksi hanya disebabkan oleh perkongsian dia dalam media sosial? Mesti ada.
Satu situasi lain - pernah tak anda tak suka seseorang yang langsung anda tak kenal, hanya disebabkan ada orang lain yang berpengaruh dalam akaun media sosial anda ajak anda tak suka dia? Banyak kali berlaku kan perkara sebegini?
Pernah tak anda fikirkan kenapa hanya dalam media sosial anda boleh benci seseorang tanpa sebab munasabah? Cuba anda jelaskan, kalau anda bijak pandai.
4. Semua orang pakar motivasi
Dulu ketika era media sosial zaman Friendster, Myspace dan sebagainya - penggunaannya agak jauh berbeza berbanding sekarang. Tak ramai orang cuba nak jadi pakar nasihat dan motivasi. Kalau kita rasa nak dinasihatkan, bolehlah masuk saluran dalam mIRC minta nasihat.
Tetapi semenjak ada Facebook, Twitter dan sebagainya; ramai sangat orang yang nak cuba-cuba berikan motivasi kepada orang lain dalam bermacam cara. Cara paling mudah, kongsikan kisah-kisah inspirasi yang menjadi bukti kejayaan tu.
Kalau dia kongsi kisah orang lain, boleh juga diterima. Masalahnya dia kongsi kisah sendiri. Kenapa ramai sangat orang kongsi kisah kejayaan sendiri untuk dijadikan motivasi kepada orang lain?
"Saya umur 26 tahun tapi dah ada 10 buah rumah. Saya kahwin 4, semua isteri saya ada rumah sendiri. Dulu saya susah, sekarang saya pakai BMW. Saya mampu sambung belajar walaupun dah bersuami dan anak lima. Anda pun boleh jadi macam saya..... kalau anda beli e-book ini."
Ayat-ayat tipikal selalunya berbunyi begitulah.
Bagus untuk anda kongsikan kisah-kisah positif berbanding kisah negatif, namun agak ganjil jugalah jika anda sendiri kongsikan kisah kejayaan anda untuk menunjukkan yang orang lain pun boleh berjaya macam anda tanpa dipinta sesiapa.
Kalau nak cerita juga, ceritalah dengan sanak saudara anda, sepupu sepapat anda. Lagi sesuai mereka tahu siri-siri kejayaan anda daripada orang yang anda tak kenal tahu anda beli kereta Jerman, sebagai bukti anda dah berjaya.
5. Komen sesuatu isu yang diluar pengetahuan kita
Rata-rata perkongsian yang dibuat dalam media sosial sebenarnya ditulis daripada pemilik-pemilik akaun yang bukan mahir dalam bidangnya apatah lagi apabila berkait dengan tulisan berbentuk pandangan, pendapat atau opinion.
Banyak sekali tulisan walaupun kerap dikongsikan, viral, tular dan meletup kononnya sangat bermanfaat - jelas sekali jarang benar-benar berpijak di bumi nyata. Dalam erti kata lain - syok sendiri.
Bagaimanapun ramai antara kita seronok layan kritikan seseorang terhadap sesuatu topik atau isu kontroversi walaupun orang tu sendiri entah siapalah dia, apatah lagi apabila topik tu seiring dengan pemikiran kita.
Situasi sedemikian hanya menghasilkan pemikiran yang terkurung, digelarkan sebagai 'gua lohong' atau echo chamber dalam teori psikologi yang menerbalikkan pendapat kita sendiri balik ke kita, membuatkan kita rasa puas pendapat kita disokong, dibenarkan dan mencapai kesahihan yang kita harapkan.
Kita perlu sedar, echo chamber tak memandaikan kita kerana kaedah itu bukan proses belajar.
Belajar adalah mempelajari sesuatu yang baru. Sesuatu yang kita tak tahu. Sesuatu yang mencabar apa yang kita dah tahu. Sesuatu yang buatkan kita sedar kita salah selama ini.
Dalam media sosial, fenomena echo chamber ini memperbodohkan banyak pihak walaupun yang berkelulusan tinggi sekalipun, disebabkan wujudnya ilusi bahawa semakin ramai orang sependapat dengan kita menandakan kita seorang yang akademik habislah.
Media sosial pula membuatkan kita rasa kita pandai belaka dalam semua isu yang setuju dengan pendapat kita. Algoritma media sosial sendiri akan menghidangkan kepada anda APA YANG ANDA SUKA.
Oleh sebab itulah setiap hari kita akan dilatih untuk komen, ulas, bincang dan sertai diskusi sesuatu topik walaupun topik itu langsung tak berkait pun dengan hidup kita.
Apabila dah ramai terikut-ikut dengan rentak ni, akhirnya orang yang mula rasa dia pandai, akan jadi malas nak belajar. Sampai ke satu tahap ramai yang akan mula rasa lebih baik belajar dalam media sosial, dalam internet daripada belajar dengan guru, kerana kita akan diajar apa yang kita minat, apa yang kita suka.
Hanya dalam media sosial kita boleh jumpa sifu dan otai segera tumbuh macam cendawan lepas hujan, merata-rata. Bila dipersoal sifu-sifu ini dia belajar mana, ramai yang sebenarnya hanya bersandarkan pengalaman semata-mata. Semakin lama, semakin ramai orang yang cipta gelaran sendiri untuk diberikan kepada diri sendiri, agar diri dia ada value dalam media sosial ni.