Oleh pada 12 Sep 2022 kategori

Anda pernah atau masih duduk di kawasan pangsapuri kos rendah? 

Pelbagai tohmahan berkaitan mentaliti masyarakat yang tinggal di kawasan sebegitu sering kedengaran serta dijadikan topik hangat perbincangan kita. 

Kritikan bersifat negatif sudah menjadi stereotaip biasa, walaupun realitinya bukan semua pangsapuri kos rendah atau 'flat' sama. Penulis pun pernah mendiami pangsapuri kos rendah semasa baru mula kerja dulu, menyewa sebuah flat di ibu kota.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penulis merasalah juga suasana keharmonian dan keakraban masyarakat flat tetapi dalam masa sama turut perlu merasai pahit maungnya. Berikut adalah enam situasi bermasalah yang telah penulis rasai sendiri ketika di sana.

1. Perangai 'chup' parking

chup parking di kawasan flat

Masalah 'chop parking' penduduk flat kerap dijadikan hujah mengkritik tindakan segelintir penduduk pangsapuri yang kurang kesedaran, kurang pendidikan dan tidak mampu mentafsir logik akal untuk memahami satu konsep mudah...Parkir di kawasan flat bukan parkir ayah mereka. 

Dengan meletakkan pasu, kon, tong air dan bermacam lagi barangan, mereka merasakan tapak parkir itu sudah jadi milik mereka dan siapa mengganggu 'siap la.' Yang buat lebih haru, ada yang cerdik sikit chop parkir dia guna motorsikal.

Setiap hari motorsikal dia diletak di lokasi sama bila dia perlu keluar menggunakan kereta. Kembalinya kereta, motorsikal dialih ke kawasan 'laman rumah' tidak rasmi mereka seperti seorang pemilik banglo pula. 

Bila ditegur, hujahnya mudah - "dia dah lama parkir di situ jadi secara tak rasmi parkir itu dah jadi milik dia." Kita tahu ada penduduk yang mengamalkan chup parkir ni disebabkan masalah orang luar yang sengaja masuk parkir di dalam kawasan mereka jika tiada kawalan sekuriti. 

Orang luar berperangai pentingkan diri ini senantiasa mencari jalan mengelakkan bayaran sewaan parkir harian, khususnya di kawasan flat yang letaknya berdekatan stesen pengangkutan awam seperti MRT atau LRT..

Tetapi itu tidak menghalalkan kaedah mereka. Nak lawan orang pentingkan diri, kita pun jadi pentingkan diri. Sampai bila masalah nak selesai?

Sebut pasal motorsikal dan penduduk flat ni....

2. Masalah 'chup' parkir motor

chup parkir guna penyidai ampaian

Jika aktiviti chop parkir kereta popular dibincangkan dalam pelbagai jenis media, satu lagi aktiviti chop parkir melibatkan motorsikal pun perlu diberikan fokus sama.

Sesetengah penduduk flat yang memiliki motorsikal gemar 'mengkhaskan' ruangan kosong berdekatan lif sebagai ruang parkir khas motorsikal mereka.

Ye lah. VIP kan? Takkanlah VIP kena parkir di tempat sepatutnya seperti orang biasa, perlu berjalan kaki jauh untuk naik ke unit kediaman dia?

Sudahlah dia chop ruangan itu - apabila ada motorsikal lain cuba mencelah mulalah dia tarik muka.

Yang aneh, dia sebagai pemilik motorsikal yangi parkir di situ merasakan mereka ada kuasa untuk mengeluarkan surat amaran bertulis tangan kepada pemilik motorsikal lain agar tidak parkir di situ.

Yang lucu surat amarannya pula ada banyak kesalahan ejaan menunjukkan kita boleh fahamlah latar belakang pemilik berperangai sebegini biasanya.

3. Simpan motor dalam rumah

simpan motor dalam rumah flat

Jika anda berkunjung ke kawasan pangsapuri kos rendah, jangan terkejut kalau tekan-tekan butang lif, ada penduduk yang naik lif sama dengan anda naik dengan motorsikal mereka sekali. 

Menyimpan motorsikal dalam rumah merupakan antara kaedah yang diamalkan sesetengah pemilik motorsikal, yang percaya parkir mereka selamat atau mungkin juga sangat paranoid ada orang akan mencalarkan buah hati mereka.

Tetamu yang hadir ke rumah-rumah sebegini, tolonglah jangan ingat motorsikal di ruang tamu itu sebagai sofa pula.

Jangan disentuh atau cuba diduduki. Anggaplah motorsikal itu sebagai salah satu perhiasan rumah yang elegan serta membawakan konsep rekaan hiasan dalaman yang unik serta moden.

4. Campak sampah 

longgokan sampah ditinggalkan di depan lif

Bagi segelintir kecil unit yang pemiliknya boleh dikatakan langsung tidak ada kesedaran hidup bermasyarakat, tanggungjawab membawa turun sampah ke bawah memang menjadi satu perbuatan berat sangat bagi mereka.

Jadi pemandangan biasa di sesetengah pangsapuri adalah sampah sengaja dibiarkan di kawasan kongsi bersama, agar ada manusia yang baik hati dan tidak tahan membantu pemilik sampah mengalihkannya.

Bagi pemilik unit yang tingkap mereka bertentangan dengan kawasan-kawasan kosong atau dinding penghadang perimeter kawasan, ramai juga yang gemar mencampak terus sampah ke luar dari tingkap rumah.

Mereka tahu sekiranya mencampak sampah ke bawah ke kawasan sebegitu, sampah itu 'tidak mengganggu sesiapa saja'' sehingga tabiat sebegitu jadi amalan harian.

Yang sedihnya, mangsa yang perlu membersihkan segala campakan penduduk kurang rasa tanggungjawab adalah pekerja-pekerja pembersihan. Mereka inilah yang perlu mencuci sisa dapur, lampin pakai buang bayi dan apa saja jenis sampah yang ada.

Nak kata penduduk tak tahu siapa yang baling, biasanya mereka tahu. Tetapi selepas dah ditegur berkali-kali pun tak jadi apa, akhirnya apa lagi pilihan yang ada?

Nak denda pun dia buat tak tau saja. Lagipun bagi mereka, buat apa ada pekerja pembersihan kalau sampah untuk dibersihkan tak ada?

5. Penduduk takut untuk menjalankan penguatkuasaan

flat pangsapuri kotor sampah

Satu punca utama masalah mentaliti penduduk di kawasan flatn, berpunca daripada kegagalan penduduk sendiri sebagai sebuah komuniti melaksanakan penguatkuasaan bagi membaiki apa-apa yang 'dah biasa.'

Aktiviti chop parkir berlaku tetapi tidak ada pihak berani menegurnya. Gejala buang sampah tetap terjadi kerana tidak ada kaedah khusus mampu dikenakan kepada pelakunya.

Penduduk walaupun mempunyai persatuan kadangkala terpaksa lepas tangan dalam hal melibatkan pemilik-pemilik gila yang tidak ada sifat timbang rasa dalam diri masing-masing.

Rasa takut atau mungkin juga hormat kerana yang buat onar ni antara yang senior dalam komuniti, mengakibatkan banyak masalah di flat tidak terungkai dan kekal menjadi budaya yang sudah dianggap biasa.

Majoriti penduduk flat memilih untuk beralah, daripada mencetuskan konflik yang akan membawa kepada pergeseran antara mereka. Bergeseran macam mana pun dengan kumpulan sebegini, di situ juga tempat tinggal dia kan?

Turun lif bertembung juga.

6. Hidup sentiasa risau tanpa ada pilihan lain

kawasan lif kurang selenggaraan flat pangsapuri

Jika anda tanya penduduk kawasan flat adakah mereka tidak inginkan suasana yang lebih baik untuk membesarkan keluarga mereka, sudah pastilah ramai yang ingin lari dari terus dibelenggu kehidupan sedemikian rupa.

Namun rata-ratanya tidak ada pilihan lain.

Mereka hanya mampu mengharapkan agar kawasan pangsapuri mereka dapat keluar daripada masalah-masalah yang kami senaraikan di atas, menambahbaik kualiti persekitaran serta mendapat kerjasama lebih ramai penduduk sehingga terbasminya masalah kurang kesedaran di kalangan segelintir pemilik atau penyewa.

Namun bila dah duduk dalam kawasan berkepadatan padat dalam ruang yang kecil, pelbagai jenis ragam manusia dapat dilihat daripada yang baik sehinggalah yang sangat buruk tabiatnya.

Kami yakin majoriti penduduk flat mahu peralatan yang dikongsi bersama seperti lif, taman permainan dan surau dapat dijaga sebaik-baiknya. Bagaimanapun sentimen buruk terhadap masyarakat flat sudah terpahat lama.

Hendak berubah macam mana pun, datang seorang individu sengaja kencing dalam lif sehingga tular di media sosial kisahnya, yang dikritik, dicemuh dan dikatakan 'golongan bawahan' adalah penduduk-penduduk yang meneruskan kehidupan di sana. 

"Orang flat, kencing dalam lif ni dah jadi budaya mereka," kata kita mudah menilai, tanpa duduk dalam persekitaran sama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)