Dalam hikayat atau kisah-kisah yang diwarisi secara turun temurun, masyarakat zaman dahulu gemar menceritakan tentang cerita berkaitan lokasi yang dikatakan pernah ada, namun kini tidak lagi diketahui di mana tempatnya.

Apa yang unik, tempat-tempat ini pula sehingga sekarang gagal dikesan sama ada berpaksikan kepada realiti atau sebenarnya hanyalah ciptaan imaginasi masyarakat terdahulu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau apa pun, kisah-kisah berkenaan lokasi mitos ini tetap menjadi asas kepada banyak bentuk penceritaan fantasi moden, sehinggakan masih ramai penyelidik menghabiskan hayat mereka mencari kesahihan kisah-kisah dongeng ini. Tahukah anda lokasi-lokasi bersifat mitos yang kerap diceritakan dalam legenda dunia?

1. Shambhala

shambhala tibet pakista

Kerap kali menjadi fokus utama novel, cerpen malahan permainan video popular, Shambhala merupakan lokasi yang menjadi tempat di mana sebuah kerajaan penganut Buddha dibentuk, dengan ibu negara mereka terletak di sebuah bandar bernama Kalapa.

Mitos dan legenda berkenaan Shambhala bukanlah sekadar dari unsur fiksyen semata-mata, Shambhala dikatakan sebuah kawasan yang tenang serta damai seperti disebutkan dalam banyak teks-teks ajaran Hindu dan Buddha kuno. Digelarkan Shambhla kerana maknanya 'kawasan yang sunyi', hanya individu terpilih dan berhati mulia saja dipercayai dibenarkan masuk ke situ.

Shambhla mempunyai pengaruh yang meluas di kalangan masyarakat dunia, dengan banyak masyarakat besar mempercayai kewujudan kawasan ini. Orang Hindu menggelarkannya Aryavartha, orang Cina memanggilnya Hsi Tien dan masyarakat Russia yang mengamalkan kepercayaan lama memanggilnya Belovoyde. Kita mungkin lebih mengenalinya dengan nama popular di Asia; 'Shangri-la.'

Di mana mereka mempercayai lokasi Shambhala? Beberapa kawasan di Tibet dikatakan mirip dengan teks-teks kuno lama tetapi pendapat paling kerap disebutkan, menyebut sebuah lembah bernama Lembah Sutlej yang kini terletak di Pakistan.

2. Shangri-la

shangri la china

Walaupun ada pihak menyatakan Shambhala dan Shangri-la merujuk kepada kawasan yang sama, kajian berkenaan mitos Shangri-la pula menunjukkan wujud perbezaan ketara, dalam catatan yang merekodkan kedua-dua lokasi.

Shambhala dikatakan terletak di kawasan negara Tibet atau Pakistan tetapi rekod-rekod lama menunjukkan kawasan yang dipercayai sebagai Shangri-la pula terletak di negara China. Walaupun begitu, nama Shangri-la sebenarnya datang daripada sebuah novel berjudul 'Lost Horizons' yang diterbitkan pada tahun 1933, seterusnya mempopularkan isitlah tersebut ke seluruh dunia.

Inspirasi penghasilan novel itu pula dikatakan datang daripada sebuah kawasan yang benar-benar wujud di wilayah Muli, yang kini berada dalam Sichuan berdasarkan kepada gambaran yang jelas dalam novel tersebut. Selepas novel itu meletup, istilah Shangri-la mula digunakan secara rasmi bagi merujuk kepada lokasi tersebut dalam usaha meningkatkan aktiviti pelancongan.

Shangri-la terkenal kerana dikatakan mempunyai deposit emas yang banyak dan persamaan itu memang benar-benar wujud di wilayah Muli.

3. Zion

pergunungan zion

Peminat trilogi filem 'The Matrix' pasti menyedari bagaimana istilah Zion digunakan sebagai tempat perlindungan kumpulan terakhir manusia, dalam menyembunyikan diri daripada ancaman pemerintan robotik dan kepintaran buatan. Istilah ini juga popular, digunakan sebagai kata ganti lain untuk bandar Jerusalem serta digambarkan sebagai 'tanah milik orang Israel' dalam kitab Bible.

Zion dipercayai sebagai sebuah kawasan yang terletak dalam kawasan Kan'aan dan pernah diperintah oleh David (Daud), digelarkan sebagai 'City of David.' Walaupun begitu secara akademiknya, penyelidik masih berlainan pendapat dalam memastikan apa itu Zion sebenarnya. Selain 'City of David', Zion juga dirujuk sebagai nama tempat paling awal Jerusalem diasaskan dan ada juga pihak menyebut Zion sebagai tempat di mana Tuhan orang Yahudi tinggal.

Zion digambarkan sebagai sebuah tempat yang mempunyai struktur gergasi, tiang-tiang besar dibuat daripada batu - menjadi tempat aktiviti masyarakat yang memenuhi gereja serta mempunyai sistem pertahanan yang cukup disegani.

4. Zerzura

gambaran bandar zerzura

Menjadi salah satu obsesi tentera barat satu masa dulu yang menjalankan banyak ekspedisi untuk cuba menemuinya, Zerzura merupakan sebuah kawasan legenda orang yang tinggal di Gurun Sahara. Dipercayai sebuah bandar yang dipenuhi bangunan berwarna putih serta tanaman-tanaman yang segar, Zerzura menjadi tarikan kerana dikatakan menyimpan harta karun yang sangat bernilai harganya.

Ekspedisi untuk menemui lokasi Zerzura berjalan sejak abad ke 19, dengan usaha paling hampir dilakukan oleh Lazslo Almasy pada tahun 1932. Menggunakan kapal terbang sebagai pengangkutan utama ekspedisi itu, Almasy dan kru tiga orang bersama beliau berjaya menemui beberapa kawasan mata air yang mempunyai tanaman, namun tidak diketahui adakah itu lokasi sebenar Zerzura.

Zerzura digambarkan sebagai sebuah bandar yang dikeliling dua buah gunung, dipenuhi bangunan-bangunan berwarna putih dengan tugu berbentuk burung didirikan di banyak tempat di bandar tersebut. Kisah berkenaan masyarakat yang mendiami Zerzura dikatakan mirip orang Arab, tetapi mempunyai bahasa yang berbeza dan mereka tidak mengamalkan kehidupan bercirikan Islam.

5. El Dorado

legenda el dorado

Kisah berkenaan bandar yang dibangunkan menggunakan emas ini sangat terkenal di pelusuk dunia. Istilah 'El Dorado' bukanlah nama sebenar tempat tersebut tetapi merupakan panggilan yang diberikan kerajaan Sepanyol yang menjajah kawasan tersebut, kepada lokasi yang menjadi legenda ini.

Kisah berkenaan El Dorado juga berubah-ubah, pada mulanya digambarkan sebagai sebuah tempat di mana masyarakatnya gemar menyalutkan emas ke tubuh sebelum dikatakan sebuah bandar terbina dengan emas. Mula tersebar sekitar abad ke 16 selepas penjelajah Sepanyol tiba ke Amerika Selatan, kedatangan mereka berjaya menemui beberapa kumpulan etnik yang tinggal di banjaran Andes.

Hikayat yang menarik minat lebih banyak pihak cuba menjejaki El Dorado adalah disebabkan kisah yang dikongsikan, menyebut bahawa setiap kali berlakunya pertukaran ketua kepada masyarakat di situ - individu yang dipilih akan disapukan serbuk emas dengan barangan yang diperbuat daripada emas akan dipersembahkan kepada Tuhan mereka.

Persembahan itu pula dilakukan dengan meletakkan barangan-barangan tadi ke dalam sebuah tasik, sebagai usaha untuk Tuhan mereka menerima perlantikan pemimpin baru di kalangan masyarakat di situ. Tasik itu yang dikenali sebagai nama Tasik Guatavita kini, cuba disurutkan beberapa kali pada tahun 1545 dan 1580. Mereka berjaya mengeluarkan lebih $100,000 jumlah emas pada cubaan pertama dan $400,000 pada cubaan kedua.

Kali terakhir Tasik Guatavita cuba diselongkar berlaku pada tahun 1898, namun lumpur yang terlalu tebal menghalang ekskavasi dilakukan. Bermula pada tahun 1965, Tasik Guatavita menjadi kawasan rasmi dilindungi, membolehkan rahsia El Dorado yang menjadi buruan ramai pihak - ditutup buat sementara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)