Mengingati jasa yang telah disumbangkan pemimpin masyarakat terdahulu, merupakan satu perkara yang biasa dilakukan di mana-mana negara.

Kisah-kisah dan anekdot berkenaan pemimpin tersebut diceritakan dalam pelbagai media, melalui radio, televisyen dan kini siaran di internet bagi membolehkan generasi lebih muda mengenali individu yang telah banyak mencorakkan hidup mereka.

Sambutan sama turut berlaku di Korea Utara, boleh dikatakan setiap hari. Tetapi bagi negara itu, apabila tarikh-tarikh besar - mereka akan meraikannya dengan cara yang unik dan hanya mampu dilakukan masyarakat mereka.

11 hari berkabung Korea Utara

korea utara memperingati berkabung

Walaupun masih dibawah perintah kuarantin, sambutan bagi memperingati 10 tahun kematian mendiang Kim Jong Il dirancang besar-besaran.

Jong Il, ayah kepada Presiden Korea Utara kini, Kim Jong Un serta anak kepada pengasas negara itu Kim Il-Sung meninggal dunia pada 17 Disember 2011. Lahir di Russia ketika pemerintahan Jepun menguasai tanah air mereka, Jong Il didaftarkan dengan nama Yuri Irsenovich Kim selepas kelahirannya.

Selepas kematian ayahnya, Jong-il mengambil alih tampuk pemerintahan Korea Utara secara berperingkat dari tahun 1994 sehinggalah tahun 1998 sebelum benar-benar menguasai kerajaan. Setiap lima tahun sekali selepas itu, Jong-Il akan bertanding pilihanraya dan menang semua pilihanraya, tanpa pencabar.

Pemerintahan Jong-Il mula goyah selepas dia berdepan pelbagai masalah kesihatan dan usaha untuk menamakan penggantinya mula dijalankan pada tahun 2008. Jong-Il meninggal dunia pada tahun 2011 ketika dalam perjalanan keretapi akibat sakit jantung.

Bagi memperingati sumbangannya, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi merencanakan perjalanan majlis. Jawatankuasa itu mencadangkan diadakan hari berkabung daripada 17 Disember sehinggalah 29 Disember, dengan hari terakhir dijadikan hari pengebumian mendiang.

Idea sama digunapakai sekali lagi bagi menyambut ulang tahun ke 10 kematian beliau, tetapi kali ini beberapa syarat baru diperkenalkan.

Majlis ulangtahun memperingati 10 tahun kemudian

kanak kanak korea utara menangis kematian pemimpin

Sempena 10 tahun kematian Jong-Il, kerajaan Korea Utara mengisytiharkan beberapa peraturan yang wajib diikuti oleh warganegara mereka.

Syarat utama yang harus dipenuhi, sepanjang majlis yang dijadualkan berlangsung selama 11 hari adalah untuk mana-mana penduduk Korea Utara untuk tidak menampakkan wajah gembira atau ketawa, sepanjang tempoh tersebut.

Apa saja bentuk ekspresi yang menampakkan keceriaan atau kegembiraan dilarang, dengan pasukan petugas khas ditugaskan memantau wajah semua individu. Mana-mana individu yang gagal memaparkan wajah sugul boleh ditangkap.

Aktiviti membeli-belah juga dilarang pada hari sambutan bagi membolehkan masyarakat mereka fokus kepada majlis yang sedang berjalan. Sesiapa yang didapati meminum minuman keras juga akan ditahan.

Ini kerana kerajaan Korea Utara tidak mahu ada inndividu yang terganggu fikiran mereka, sehinggakan gagal untuk menghayati semua program yang sudah dijadualkan berlangsung.

Semua warga Korea Utara diwajibkan menyertai acara peringatan yang dijalankan, sama adadi lokasi ataupun mengikuti siaran langsung di saluran televisyen tempatan.

Penampilan mengejutkan Kim Jong-un

kim jong un kurus turun berat badan

Dalam upacara yang berlangsung di Istana Kumsusan, tempat persemadian Kim Il Sung dan Kim Jong-Il, pemerintah utama Korea Utara, Kim Jong-Un dilaporkan hadir tetapi ramai terkejut dengan perubahan dirinya.

Dia dikatakan kelihatan kurang sihat serta telah mengalami susut berat badan yang ketara, mula dilaporkan sekitar pertengahan tahun ini. Dalam penampilan terbaru beliau, berat badannya dikatakan telah menyusut lebih 40 kg.

Tidak diketahui ada atau tidak tangkapan dilakukan ke atas penduduk yang gagal memaparkan wajah sedih sepanjang 11 hari ini. Dari pihak Korea Utara, mereka menafikan bahawa peraturan tersebut benar-benar diperkenalkan kepada penduduk mereka.

Isu sama pernah timbul selepas kematian Kim Jong-Il pada tahun 2011, apabila kerajaan Korea Utara didakwa telah menangkap dan menghantar mereka yang gagal bersedih ke kem tahanan.

Dakwaan ini menurut agensi Korea Utara dimulakan oleh media yang mesra dengan kerajaan Korea Selatan, dengan niat untuk mencipta imej negatif terhadap keluarga Kim yang menguasai Korea Utara..

Melihat juraian air mata penduduk Korea Utara dalam meratapi pemergian pemimpin negara itu; sedikit sebanyak kami tetap tidak boleh lari daripada mempersoalkan - adakah air mata itu asli atau hanya sekadar menangis kerana terpaksa?

Rujukan

One N. Korean cadre’s view of the 10th anniversary memorial for Kim Jong Il

North Koreans forced to mourn on 10th anniversary of former leader’s death




Hakcipta iluminasi.com (2017)