Kredit foto: Instagram Faizal Ismail

Bekas penyampai radio popular, Faizal Ismail akur dengan zaman kegemilangannya yang telah lama berlalu.

Empat tahun mengundur dari dari dunia penyiaran, Faizal masih dikunjungi tawaran yang memerlukan khidmatnya di beberapa stesen.

Namun pemegang trofi Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama enam kali itu enggan kembali kepada kerjaya lamanya.

"Cukuplah kerana semua itu sudah berlalu. Saya masih menerima tawaran untuk meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio, tetapi cukuplah setakat itu. Saya tidak mahu lagi berjauhan dengan keluarga," katanya memetik laporan portal Berita Harian Online.

Terdahulu, terdengar khabar angin Faizal bakal kembali ke dunia penyiaran apabila dia kelihatan aktif membuat rancangan radio sendiri menerusi Facebook Live.

Rancangan yang turut mengundang tetamu jemputan itu dimanfaatkannya sebagai medium untuk mengulas topik semasa yang membina minda pendengar.

Lebih menarik, ia bukan sahaja bersifat santai, malah memberikan keselesaan kepadanya sebagai penyampai.

zaman kegemilangan saya dah berlalu faizal ismail 2

Kredit foto: Instagram Faizal Ismail

"Ramai yang mahir dengan teknologi tetapi tidak memanfaatkannya untuk perkara yang menjana minda. Dari situ, saya mendapat idea untuk muncul secara 'live' sebagai penyampai dan bersiaran dari rumah.

"Antara siaran yang mendapat catatan tertinggi apabila Fara Fauzana tampil sebagai tetamu jemputan dengan lebih 200,000 tontonan. Mungkin peminat masih merindui gandingan kami ketika bertugas di Hot FM dulu.

"Alhamdulillah, biarpun masih baharu, purata tontonan setiap kali bersiaran mencecah 50,000. Teruja rasanya apabila dapat melakukan sesuatu yang memberikan saya kepuasan.

"Lagipun, ia tidak memerlukan saya berjauhan dengan keluarga kerana saya baru menimang seorang lagi cahaya mata," jelasnya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga merancang untuk membawa siaran radionya ke dalam bentuk laman sesawang atau aplikasi mudah alih pada masa akan datang.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)